![]() |
| dari kiri: Aznil Nawawi, Normah Damanhuri dan Os merakamkan kenangan di hadapan bangunan Universal Studios, Hollywood. |
ADA saja halangan sebelum rombongan pemenang Anugerah Skrin TV3 diterbangkan oleh stesen televisyen itu ke Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Selepas dua kali tertunda akibat sebab-sebab tertentu, ahli rombongan juga diuji dengan serangan virus yang membimbangkan, influenza A (H1N1).
Sehingga satu peringkat, di saat-saat akhir, daripada 28 anggota rombongan itu, ada yang masih dalam dilema sama ada mahu menyertai rombongan itu atau sebaliknya.
Kesudahannya, jaminan yang diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan mengenai perkembangan semasa di Los Angeles meyakinkan semua anggota rombongan.
Akhirnya pada 20 Mei lalu, dengan pesawat MH094, kesemua tetamu yang menjadi undangan TV3 (termasuk penulis) berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Los Angeles.
Kunjungan singkat ke negara Uncle Sam itu barangkali bukan asing bagi beberapa anggota rombongan yang sebelum ini pernah ke sana.
Bagaimanapun, bagi yang kali pertama ke Los Angeles, lawatan itu memberikan manfaat yang bukan kecil untuk disuntik ke dalam diri khususnya untuk memperkasakan kerjaya seni mereka.
Anggota rombongan pemenang Anugerah Skrin 2008 itu yang diketuai oleh Farid menarik kehadiran barisan pemenang acara itu selain penerbit daripada empat stesen yang menaungi Media Prima Berhad selain beberapa wartawan akhbar utama serta penggiat industri hiburan.
Namun, hampir seminggu di sana, orang yang paling gembira dengan lawatan itu sudah tentu Farid iaitu individu yang merintis idea lawatan tersebut.
Membawa karyawan seni berkunjung ke pusat perkembangan industri filem dan televisyen dunia itu disifatkan Farid sebagai ganjaran yang jauh lebih baik berbanding wang ringgit.
Berbeza dengan majlis pengiktirafan lain yang menawarkan wang tunai, Anugerah Skrin lebih selesa menawarkan pakej bercuti sambil belajar yang dianggap beliau lebih berharga daripada daripada wang ringgit.
Menurut Farid, Media Prima umumnya dan TV3 khususnya menyifatkan, tawaran rombongan yang diberikan kepada pemenang Anugerah Skrin semata-mata melibatkan kepentingan industri hiburan.
"Melalui pemerhatian saya berdasarkan siri lawatan sebelum ini, rombongan ini menawarkan banyak ilmu kepada karyawan yang turut serta.
"Bahkan pendedahan yang diterima di sini banyak mengubah mentaliti karyawan kita dalam berkarya. Ini saya anggap satu kejayaan yang cukup bermakna buat mereka para pemenang," jelas Farid dalam perbualan dengan wartawan tempatan di Los Angeles pada sesi lawatan itu.
Dalam hal ini, Farid sangat berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh artis popular, Afdlin Shauki yang pernah dua kali menyertai rombongan yang sama sebelum ini.
Menurut Farid, Afdlin merupakan salah satu contoh artis yang benar-benar menggunakan ilmu yang diperolehnya sepanjang di Los Angeles dalam berkarya.
"Saya sangat kagum dengan Afdlin yang banyak melakukan perubahan selain memberi perhatian pada aspek kualiti kerjanya. Inilah pulangan positif yang kami harapkan," jelas Farid lagi.
Apa yang menarik pada kunjungan kali ini, selain daripada lawatan ke studio-studio terkemuka seperti Universal Studios, Warner Bros Studios, Sony Pictures Studios dan tempat-tempat lain, beberapa anggota rombongan juga diberikan pendedahan yang cukup eksklusif.
Lantaran jumlah tiket yang diperoleh amat terhad, maka hanya empat orang daripada anggota rombongan yang bertuah berpeluang menonton program akhir American Idol musim kelapan yang kebetulan berlangsung pada hari ketibaan kami.
Sementara, empat lagi anggota rombongan diundang menonton rakaman secara langsung program bual bicara The Tonight Show With Jay Leno.
"Semua ini kami berikan kepada anggota rombongan dengan harapan ia akan membuka dimensi baru buat mereka dalam kerja-kerja seni apabila pulang ke Malaysia," katanya.
Justeru, buat masa sekarang Farid memberitahu, beliau belum terfikir untuk mengubah lokasi destinasi percutian sambil belajar kerana memikirkan banyak yang boleh dipelajari di Los Angeles.
Farid tidak menafikan banyak menerima respons mengusulkan Media Prima membawa rombongan pemenang Anugerah Skrin pada masa depan ke India atau Hong Kong yang juga terkenal sebagai pusat perkembangan industri filem dan televisyen.
Dalam hal ini, Hollywood kata Farid, wajar diberi kredit kerana di sanalah tumpuan segala aspek berhubung industri filem dan televisyen.
"Hollywood menjadi pilihan utama kerana segala aspek berkaitan penerbitan filem dan televisyen berpusat di situ. Kami belum ada cadangan untuk beralih angin," katanya lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: