![]() |
| Yap Mun Leong , K. Kalithas |
SHAH ALAM 4 Jun – Polis mengedarkan gambar dua lagi ahli kumpulan ah long, Kristal 9 - Gem Enterprise (K9) yang diburu untuk siasatan kes mengurung dan merantai peminjam seperti binatang di sebuah rumah kedai di Taman Perindustrian Bukit Serdang, dekat sini 27 Mei lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, dua ah long yang terlibat ialah Yap Mun Leong, 31, yang lebih dikenali sebagai Nick atau Derric, dan K. Kalithas, 28.
Beliau berkata, Mun Leong beralamat terakhir di No. 7, Jalan Perdana 2/16, Pandan Perdana, Kuala Lumpur dan Kalithas di No. 04-3-07, Flat Sri Melaka, Batu 4, Jalan Cheras, Kuala Lumpur atau di No. 1-4 -16, Pangsapuri Anggerik Jalan Teratai 1/2H, Taman Bukit Permai 11, Cheras, Kuala Lumpur.
“Mun Leong dipercayai berperanan menangkap dan mengurung peminjam yang gagal membayar hutang sementara Kalithas pula bertugas menyimbah cat dan memukul peminjam.
“Jadi kita minta kerjasama orang ramai yang tahu di mana dua lelaki ini berada agar memaklumkan segera kepada polis untuk tindakan lanjut,” kata beliau kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Menurut Khalid, setakat pagi ini pihaknya belum membuat tangkapan baru berhubung kes ah long K-9 dan tiga daripada enam anggota kumpulan itu yang ditahan telah ditahan reman hari ini sebelum ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.
Pada 1 Jun lalu, polis mengedarkan maklumat dan gambar enam ahli kumpulan ah long K9 termasuk ketuanya bagi membantu siasatan kes yang berlaku pada 27 Mei lalu iaitu tiga lelaki diperlakukan seperti binatang apabila leher dan kaki mereka dirantai serta dikurung dalam ‘lokap’ buatan ah long kerana gagal menjelaskan hutang.
Malah mereka hanya diberi makan sebuku roti setiap dua minggu dan minum air paip dalam bilik kecil yang dilengkapi tandas.
Kesemua anggota ah long K-9 itu telah berjaya diberkas hasil pengedaran gambar tersebut termasuk seorang yang ditahan di Pandan Indah, kelmarin.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: