Wednesday, June 3, 2009

hakim tegur Radhi OAG


Radhi OAG bersama Shazlin Shariff hadir ke mahkamah untuk sebutan kes lafaz cerai dan waran tangkap ke atas Radhi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA 2 Jun - Vokalis kumpulan Old Automatic Garbage (OAG), Mohd. Radhi Razali hari ini ditegur oleh seorang hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini agar memberikan kerjasama dalam usaha menyelesaikan masalah rumah tangganya.

Hakim syarie, Ghazali Ahmad membuat teguran tersebut apabila Mohd. Radhi buat pertama kalinya hadir selepas permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan isterinya sejak tahun 2008 disebut beberapa kali di mahkamah.

Mahkamah yang sama pada 23 Disember tahun lalu telah mengeluarkan notis amaran setelah mendapati Mohd. Radhi yang lebih dikenali sebagai Radhi OAG tidak menghadiri prosiding sebanyak empat kali.

Pada 21 April lalu, mahkamah berkenaan turut mengeluarkan waran tangkap terhadapnya yang dinamakan sebagai defendan dalam permohonan tersebut.

Mohd. Radhi yang hadir dengan memakai sepasang baju Melayu warna biru dan bersongkok masuk ke bilik perbicaraan bersama-sama Shazlin Shariff selaku plaintif.

Ketika ditanya oleh hakim mengapa dia tidak pernah hadir ke mahkamah, Mohd. Radhi menyatakan, ini kerana dia tidak begitu pasti disebabkan tiada surat (sapina) dikeluarkan secara rasmi.

''Saya sudah memohon surat sapina dan surat mahkamah tetapi saya tidak pasti kerana tiada dokumen yang rasmi,'' ujar defendan.

Mendengarkan penjelasan tersebut, Ghazali menasihatkan artis tersebut supaya memberikan kerjasama kepada mahkamah kerana kes itu membabitkan masalah rumah tangganya.

Selain itu, hakim tersebut mengarahkan supaya Mohd. Radhi memfailkan pembelaan bertulis bagi menjawab segala dakwaan yang dikemukakan plaintif.

''Jika tidak mengetahui caranya, sila dapatkan khidmat nasihat guaman dan melantik peguam sebelum kes disebut semula pada 24 Jun ini,'' ujar beliau sebelum membatalkan waran tangkap terhadap penyanyi itu.

Shazlin, 30, yang bertugas di sebuah firma guaman sebelum ini memfailkan permohonan untuk mengesahkan lafaz cerai yang didakwa dibuat oleh suaminya pada 15 September tahun lalu.

Sejak 'kes induk' difailkan, Mohd. Radhi tidak pernah hadir ke mahkamah.

Namun pada 21 April lalu, Shazlin yang diwakili peguam syarie, Norafizah Abdul Azis memberitahu mahkamah bahawa dia telah diceraikan sekali lagi dengan talak tiga melalui panggilan telefon.

Lafaz tersebut berbunyi: ''Aku ceraikan kau dengan talak tiga terus.''

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: