Sunday, June 7, 2009

Faezah semakin bermutu




PERLAHAN-lahan pelakon cantik manis ini mendaki nama dalam dunia hiburan. Bermula dengan pembabitan dalam sebuah filem yang diakuinya sebagai masih ‘kayu’, Faezah Elai kini sudah boleh berpuas hati dengan mutu lakonannya.

Mengukir nama sebagai pelakon wanita baru di kaca televisyen, diam-diam pemilik nama sebenar Noor Faezah Md Elai ini ‘membuat kerja’. Tanpa sedar, wajahnya boleh dilihat hampir dalam semua saluran televisyen sekarang – daripada saluran berbayar Astro kepada saluran RTM dan swasta yang lain.

Bermula dengan karakter tomboi dalam Sutera Maya yang meninggalkan kesan buat khalayak terhadap kemunculannya, Faezah perlahan-lahan terbang. Drama siri Hartamas yang ditayangkan di ntv7 menjadi medan dia membawa karakter gadis nakal dan beberapa karakter lain yang diselami dalam drama-drama seperti Cempaka Berbunga yang menyaksikannya membawa watak gadis bertudung dan kembali hangat ditayangkan di RTM 2.

Terkini, bekas pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) berusia 28 tahun ini akan menghiburkan khalayak dengan keletahnya dalam drama berantai La Dolce Maria.

“Alhamdulillah, selepas beberapa drama dan berpeluang berlakon di bawah pengarah yang berbeza, saya dapat merasakan mutu lakonan saya semakin baik.

“Banyak pengetahuan baru yang saya kutip daripada semua yang terlibat dalam sesebuah produksi. Sebab itu juga saya enggan mengambil beberapa kerja dalam satu masa kerana saya mahu belajar dan meninggalkan impak positif dalam setiap pembabitan saya,” ujar Faezah yang turut berasa semakin selesa berada dalam kepompong hiburan.

Tidak ketinggalan, dia juga kini telah mengumpul kekuatan untuk kembali berlakon dalam filem. Jika selepas filem sulungnya, Otai, tiga tahun lalu membuat dirinya trauma dan berehat enam bulan kerana ‘terduduk’ dengan kritikan, hari ini Faezah sudah kembali mempunyai keyakinan.

Filem Adik Manja Returns arahan pelakon lama Dharma Harun Al Rashid menjadi platform buatnya untuk menakluki layar lebar.

Terbabit dalam filem yang cukup popular 29 tahun lalu, Faezah melahirkan rasa terujanya untuk berada di lokasi penggambaran yang dijadualkan berlangsung pada Julai ini. Dia akan berlakon bersama Dharma sendiri serta beberapa pelakon lain termasuk Scha dan Rozita Che Wan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: