Thursday, June 18, 2009

Dengarnya... Kagum kesungguhan penyanyi ini


LARA Kirana Manja ada berbisik kepada Cik Normah mengenai kesungguhan seorang penyanyi berbakat besar ini. Kata Lara, kerana begitu fokus terhadap persembahan konsertnya, dengar cerita selama sebulan dia kerap membuat latihan bagi memantapkan vokal dan corak persembahannya nanti.

Malahan, selama sebulan itu juga penyanyi yang dimaksudkannya tidak mengambil sebarang tawaran menyanyi. Bagus sangat sikapnya.

Cik Normah tidak nafikan dia memang seorang penyanyi yang mampu membuatkan kita kagum dengan lontaran vokal lemak merdunya. Cik Normah sengaja tak nak sebut nama, sebab yakin peminat setia ruangan ini pasti dapat meneka dengan tepat. Biar datang ‘ribut taufan’ sekalipun, dia masih tegar berdiri meneruskan perjuangan dalam bidang seni yang begitu dicintainya. Penyanyi baru patut contohi dia. Jangan asyik nak berangan saja kerana harapkan gemerlapan populariti yang bersifat sementara itu.

Tengok saja macam Cik Normah, tak jadi artis pun ramai yang memandang dan menyebut. Bukan riak atau takbur, tapi itulah hakikat sebenar menjadi wanita jelita macam Cik Normah. Cik Normah tak pernah minta semua itu, tapi ia datang tanpa diduga. Kalau kita buat kerja dengan bagus, bersungguh-sungguh, pandai menjaga diri, bersederhana dan tidak bermusuh dengan orang, Cik Normah pasti kita juga akan disenangi oleh semua pihak.

Terlanjur menyebut mengenai sikap profesional artis ini, ingatan Cik Normah mula terkenang sikap seorang penyanyi yang sudah berpengalaman bertahun-tahun dalam industri seni. Tak dinafikan penyanyi yang ini memang masih diingati kerana vokal hebatnya. Lucunya, Lara sempat berkongsi cerita memberitahu mengenai sikapnya yang malas nak buat latihan tapi sempat terima undangan di tempat lain. Patut pun Cik Normah tengok kalau tiba tarikh konsertnya, persembahan pasti jadi serba tak kena. Rupa-rupanya ada kisah di sebalik itu. Jadi, makan pengat, sendiri mau ingat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: