Friday, September 11, 2009

Kos terbit filem Jebat RM5.5 juta


MEMILIKI wajah kacak dan tubuh tegap, tidak mustahil watak Jebat menjadi milik Remy Ishak.


KALAU disebut apakah filem bercorak epik dan sejarah yang pernah dihasilkan di negara ini, pastinya kita akan teringat filem Puteri Gunung Ledang.

Andai mahu diselak direktori filem tempatan dari tahun 1940 sehinggalah sekarang, bilangan filem yang bercorak patriotik, epik mahupun sejarah jumlah yang dihasilkan sekitar 20 buah filem sahaja.

Antara filem-filem bercorak sedemikian yang pernah menghiasi sinema tempatan adalah seperti Mat Salleh Pahlawan Sabah (1983), Yassin (1988), Sumpahan Mahsuri (1989), Raja Melewar (1998), Leftenan Adnan (2000) dan 1957 Hati Malaya (2007).

Entah di mana silapnya, filem-filem sebegini kurang mendapat perhatian penonton tempatan dan mencatatkan kutipan yang cukup menyedihkan.

Apakah masalah utama filem epik, sejarah dan patriotik yang dihasilkan anak tempatan ini gagal di gelanggang sendiri?

Adakah kerana masalah skrip, pemilihan pelakon atau suntingan yang tidak berkesan sehingga filem-filem genre ini dilabel sebagai yang membosankan dan meleret-leret?

Sebagai contoh, filem 1957 Hati Malaya yang diarahkan oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba dilabelkan sebagai sebuah filem sejarah yang mampu menjadi kebanggaan negara.

Sayang sekali, ia juga kecundang di pasaran tempatan biarpun 1957 Hati Malaya dianggap sebagai naskhah terbaik.

Hakikatnya, untuk menghasilkan filem bercorak epik dan sejarah ia mengundang risiko yang tinggi berikutan bajet yang besar diperlukan untuk mengangkat sesebuah karya itu ke layar perak.

Namun bagi Jufry Anuar Azmi, dia sanggup mengambil risiko itu dan bersedia berdepan dengan kritikan apabila filem sulung terbitannya, Jebat dijangka ditayangkan tahun depan.

Jufry memang baru dalam dunia perfileman dan dia sendiri mengakui, tiada pengalaman dalam penerbitan filem.

Namun, atas kecintaan pada filem, dia sanggup melaburkan RM5.5 juta untuk menerbitkan Jebat.

Jebat merupakan filem pertama terbitan syarikatnya, Jufry Anuar Film Production dan bakal menjalani penggambaran sekitar Melaka dan Pulau Pangkor selepas Aidilfitri nanti.

Untungnya Jufry, dia dikelilingi oleh mereka yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni dan kelebihan itu banyak membantunya untuk merealisasikan Jebat.

Persoalannya, sebagai seorang penerbit baru dan langsung tiada pengalaman dalam bidang perfileman, mengapa filem bercorak epik dan sejarah menjadi pilihannya?

Sedangkan, penerbit yang sedia ada pun tidak berani menerbitkan filem seumpama itu sebaliknya hanya menghidangkan filem komedi, cinta atau seram.

Sewaktu berkunjung ke ibu pejabat Hits baru-baru ini, Jufry menjelaskan rasionalnya.

"Sebab saya memilih untuk menerbitkan filem ini ialah kerana hanya genre ini sahaja yang saya arif. Jujurnya, sewaktu memulakan projek filem ini pun saya tidak tahu filem Jebat mampu menjadi sebesar ini sehinggalah saya diyakinkan oleh orang-orang yang berpengalaman di sekeliling saya," katanya.

Tambah Jufry, ideanya untuk menerbitkan filem Jebat bermula hampir empat tahun lalu dan apa yang mahu difokuskan dalam naskhah ini ialah jalan cerita filem itu.

Apatah lagi, sebelum ini belum pernah lagi kisah pahlawan Hang Jebat diangkat ke layar perak dan dia mahu menjadikan filem ini sebagai karya yang mampu dibanggakan.

"Kalau diperhatikan, pergolakan politik yang berlaku sekarang sebenarnya merupakan refleksi kepada apa yang pernah berlaku di Melaka sekitar 550 tahun lalu.

"Kerana itu saya mahu filem ini diterbitkan dan mahu menunjukkan kepada masyarakat betapa pentingnya kekuatan dan perpaduan yang perlu disemai serta dipelihara seiring dengan gagasan 1Malaysia," ujarnya penuh bersemangat.

Matlamat lain Jufry menerbitkan Jebat juga ialah untuk mempelbagaikan kisah sejarah negara yang sememangnya cukup banyak yang boleh diketengahkan.

Filem yang bakal diarahkan oleh Zack Idris itu kelak akan mengambil kisah dalam tempoh pergolakan politik yang berlaku ketika Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mansur Syah.

Jufry juga mengakui, bukan satu kerja yang mudah untuk menghasilkan filem sebegini dan kerana itu, dia banyak membaca buku-buku sejarah seperti Sejarah Kesultanan Melaka dan Hikayat Hang Tuah.

"Filem Jebat akan menjadi sebuah filem yang penuh dengan aksi dan peperangan selain diselitkan elemen percintaan.

"Tentang pemilihan Zack sebagai pengarah, saya memilihnya kerana percaya dengan pengalaman dan ilmu pengetahuan yang dimilikinya.

"Saya tahu dia belum pernah mengarah filem cereka tetapi setelah duduk dan berdiskusi dengannya, saya lihat semangatnya tinggi untuk mengarahkan filem," katanya yang juga sudah merancang projek filem seterusnya biarpun Jebat belum memulakan penggambaran lagi.

Jufry juga memberitahu, Jebat akan menjadi sebuah filem yang sarat dengan teknik pengimejan janaan komputer (CGI) di samping menggunakan teknik kamera yang paling canggih dari Austria.

Bukan itu sahaja, Jufry juga berjaya mendapatkan pakar teknik kesan khas yang pernah terlibat dalam filem-filem blockbuster Hollywood seperti Spider-Man 3, Terminator Salvation, I Am Legend dan Valkyrie.

Mengenai pelakon pula, ada beberapa nama yang bermain di fikirannya dan nama Remy Ishak antara pelakon yang difikir layak membawakan watak Jebat.

"Tetapi, saya tetap akan membuat uji bakat baik untuk pelakon baru mahupun yang ada nama kerana terdapat 33 watak dalam filem ini," katanya.

Uji bakat terbuka untuk filem Jebat sudah pun bermula sejak 10 September lalu dan berakhir pada 13 September ini.

Bagi mereka yang berminat untuk menghadirinya, bolehlah datang ke pejabat Jufry Anuar Film Production di B5-3-1, B5-3-2, Megan Salak Park, Jalan 1/125E, Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur.

Sementara itu, uji bakat untuk pelakon pula hanya akan diadakan pada 12 dan 13 Oktober depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: