Wednesday, September 30, 2009

Siapa pembela nasib artis yang sebenar?

SEJAK dari dulu lagi, banyak pihak yang cukup prihatin dengan kebajikan dan masalah hidup golongan artis tempatan.

Kalangan yang paling mendapat perhatian biasanya penyanyi dan pelakon. Maklumlah mereka ini lebih glamor berbanding yang lain.

Sungguhpun begitu, pada masa sama, ramai juga yang terkilan kerana nasib golongan karyawan lain seperti penulis lirik, pemuzik dan komposer seakan-akan kurang diberi perhatian.

Mungkin mereka berada di belakang tabir. Jadi, ramai yang kurang perasan kewujudan atau sumbangan mereka itu.

Bagi memberi keadilan dan penghargaan kepada semua, banyak pihak termasuklah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan persatuan-persatuan artis yang tidak melupakan sumbangan karyawan-karyawan seni yang lain.

Contohnya pengukir, pelukis dan penyair yang juga boleh dikategorikan sebagai golongan seni. Dua tahun lalu, sewaktu sambutan Hari Seniman Kebangsaan yang pertama, lebih daripada 10 kategori karyawan telah disenaraikan oleh KPKK di mana ia melibatkan pelbagai cabang bidang seni.

Selain kementerian terbabit yang kini sedang mengusahakan Tabung Belaan Artis bagi membantu golongan artis kurang bernasib baik, persatuan-persatuan artis lain juga tidak mahu ketinggalan dalam hal itu.

Sebelum ini pun, KPKK pernah memperuntukkan RM5 juta bagi menyediakan dana demi membantu artis-artis veteran atau yang kurang bernasib baik. Namun, ramai yang tertanya-tanya apa sudah jadi dengan baki dalam dana tersebut?

Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) pula misalnya, sejak dua tahun lalu telah menanggung pencen RM500 sebulan seumur hidup untuk hampir 20 artis veteran melalui dana hasil usaha ahli-ahli persatuan tersebut.

Begitu juga dengan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang kini sedang berusaha merealisasikan skim potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan artis seperti pelakon dan penyanyi.

Skim itu antara lain mewajibkan pihak penerbit album, drama atau filem memotong sedikit daripada jumlah bayaran yang diterima oleh para karyawannya ke dalam tabung KWSP.

Idea dan inisiatif Seniman itu seharusnya diberi perhatian segera termasuklah daripada KWSP sendiri bagi menyediakan mekanisme-mekanisme yang sesuai demi manfaat golongan artis.

Khabarnya, sehingga kini belum ada persetujuan yang dibuat mewakili Seniman, KWSP, golongan artis dan juga pihak majikan iaitu mereka yang terdiri daripada kalangan penerbit.

Bayangkan, selama berpuluh-puluh tahun dunia hiburan meliputi industri perfileman dan rakaman album bergerak aktif dengan pulangan pendapatan beratus-ratus juta ringgit yang juga sedikit sebanyak telah menyumbang kepada ekonomi negara.

Sayangnya, sumber pendapatan itu boleh dikatakan belum diuruskan dengan sistematik terutamanya dalam usaha membantu para penggiat seni sama seperti sektor-sektor kerjaya lain.

Harus diingat bahawa jika skim KWSP di kalangan penyanyi, pelakon, pemuzik dan karyawan seni lain dapat dilaksanakan, ia juga mampu menokok jumlah pendapatan dalam tabung kumpulan pekerja tersebut.

Diharap usaha murni itu tidak terhenti setakat cadangan atau hangat-hangat tahi ayam sahaja! Ini kerana ramai karyawan seni di luar sana yang tentunya ternanti-nantikan pelaksanaan skim itu demi melihat masa depan mereka lebih terjamin.

Semua inisiatif itu harus dipuji kerana ia antara tanda apresiasi mereka terhadap para penggiat seni kita.

Tanpa adanya apresiasi dan penghayatan terhadap orang-orang seni, sesebuah masyarakat tentunya belum mampu memanfaatkan karya-karya yang dipersembahkan kepada mereka.

Sebab itu, apresiasi dan inisiatif tersebut boleh dilihat sebagai salah satu galakan untuk melahirkan lebih ramai insan seni yang berbakat dengan karya-karya yang juga mempunyai nilai moral tinggi pada masa depan.

Malangnya juga, dalam pada kita mahu melihat apresiasi dan bantuan-bantuan itu dihulurkan kepada para karyawan seni kurang bernasib baik, pelaksanaannya pula boleh dikatakan belum terurus.

Dalam senario ini, ramai yang tertanya-tanya siapakah sebenarnya yang benar-benar ikhlas, komited dan layak digelar sebagai pembela nasib golongan artis veteran atau yang kurang bernasib baik di negara ini?

Sepatutnya, KPKK yang mewakili kerajaan dapat menjadi penyelaras dalam menyediakan bantuan kepada golongan artis kurang bernasib baik bersama-sama dengan Karyawan dan Seniman serta persatuan-persatuan lain.

Gabungan itu amat penting supaya bantuan bukan sahaja dapat dihulurkan dengan tepat dan cepat tetapi juga bagi mengelakkan pertindanan dengan agensi-agensi yang lain contohnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebabnya, golongan artis yang kurang bernasib baik sama juga seperti rakyat lain yang susah di mana mereka turut layak menerima bantuan daripada agensi atau badan-badan kebajikan lain termasuklah JKM.

Jangan pula nanti timbul pertikaian atau rasa tidak puas hati atas perhatian serta bantuan yang diterima oleh golongan artis berbanding kalangan anggota masyarakat yang lain.

Justeru, dalam isu ini KPKK haruslah mengenal pasti senarai nama penggiat seni yang layak menerima bantuan sama ada berbentuk pencen bulanan ataupun mendapatkan rawatan perubatan istimewa di hospital-hospital kerajaan.

Sebuah jawatankuasa khas seharusnya juga ditubuhkan bagi mengenal pasti bantuan bagaimanakah yang layak diberikan kepada golongan seni berdasarkan sumbangan mereka dalam bidang masing-masing.

Dengan adanya penyelarasan dan kerjasama antara KPKK dan persatuan-persatuan artis, maka usaha untuk menyalurkan bantuan kepada insan-insan seni yang kurang bernasib baik selepas ini tentunya akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

Malah, ia juga dapat menaikkan reputasi golongan seni bahawa mereka bukan setakat menyumbang bakat yang dimiliki kepada perkembangan seni dan budaya masyarakat di negara ini.

Sebaliknya, dengan adanya tabung bantuan yang lebih sistematik saluran pengagihannya itu, mereka juga tidak akan meminta-minta apabila bakat seni yang dimiliki sudah tidak berupaya lagi untuk disalurkan kepada masyarakat kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: