Wednesday, September 30, 2009

Hafiz kikis rasa cemburu


HAFIZ teruja untuk menyambut Aidilfitri sebagai insan bergelar artis.


DIJULANG selaku juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pada Mei lalu, dalam diam, sudah empat bulan insan bernama Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau Hafiz meniti liku-liku hidup di pentas seni.

Popular menerusi lagu Masih Jelas yang kemudian diangkat menjadi judul albumnya yang baru sahaja dipasarkan beberapa bulan lalu, Hafiz masih lagi bertatih menyesuaikan diri dengan pelbagai kerenah serta dugaan rentak dunia hiburan.

Biar perjalanan seninya masih berstatus pucuk muda, bakat serta kekuatan vokal yang dimiliki menjadi sandaran buat Hafiz untuk mencapai impian bergelar artis yang disegani suatu masa nanti.

Melihat perjalanan masa depannya masih terlalu jauh, anak kepada pasangan Mohd. Suip Mohd. Suut, 48, dan Halizawati Mohd. Salleh, 44, ini memegang kepada prinsip bahawa dirinya perlu bekerja keras dan jangan sesekali mengalah terlalu awal.

Pada masa sama, dia juga tidak mahu terlalu cepat melatah atau bernada cemburu andai ada saingannya sewaktu bersama di akademi dahulu memperoleh nikmat yang lebih di lapangan seni berbanding dirinya.

Bagi Hafiz, sedari awal lagi sewaktu melangkah ke alam realiti sebenar dunia hiburan, dia menanam pendirian bahawa itu semua adalah rezeki masing-masing yang dikurniakan oleh Allah dan ia tidak perlu dipertikaikan.

Meletakkan prinsip berlawan secara sihat sebagai keutamaan, Hafiz tidak lupa untuk menasihatkan dirinya agar jangan terlalu tamak mengaut itu dan ini umpama peribahasa yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.

Kerana itu, jejaka berusia 19 tahun ini memilih untuk memfokus dan menguatkan namanya terlebih dahulu dalam bidang nyanyian sebelum melangkah serius kepada bidang-bidang lain andai mempunyai rezeki.

"Kalau ada yang membanding-bandingkan Hafiz dengan bekas pelajar AF7 yang lain, itu lumrah dan Hafiz terima seadanya.

"Hafiz tidak cemburukan mereka. Bagi Hafiz, Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan baik. Banyak juga tawaran berlakon tetapi Hafiz mahu tumpu dahulu menyanyi.

"Hafiz tidak mahu terlalu tamak. Biarlah Hafiz lalui satu persatu,'' katanya ketika ditemui pada sesi fotografi sempena Aidilfitri, baru-baru ini.

Sempena Aidilfitri ini, Hafiz akan muncul dalam beberapa slot khas antaranya Habibi Mawi Aidilfitri dan Rumah Terbuka AF7 di saluran Ria (saluran 104, Astro) serta Rumah Terbuka Aidilfitri Nona dan Wanita Hari Ini (WHI) di TV3.

Kepada pelayar laman web Utusan Online di alamat www.utusan.com.my pula, saksikan rakaman ucapan khas Aidilfitri Hafiz bersama barisan artis lain seperti Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Jehan Miskin, Lisa Surihani dan Liyana Jasmay menerusi segmen Memori Di Aidilfitri yang diterbitkan oleh wartawan Hasnurul Mohamed dan dibantu jurukamera, Azman Ahmad.

Beberapa minggu lepas, Hafiz diterbangkan ke Jakarta bagi menjalani penggambaran sebuah drama muzikal Kau Dan Aku.

Menyambung kata-kata, Hafiz berkata, dalam melalui dunia hiburan, dirinya dan Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) punyai perancangan tersendiri terhadap apa yang akan dilalui pada masa mendatang mengenai kariernya.

Tumpang populariti?

Ketika diajukan persoalan tentang album Masih Jelas yang dipasarkan Julai lalu, Hafiz memberitahu, album itu mendapat sambutan menggalakkan.

"Alhamdulillah, saya diberitahu pasaran untuk cetakan pertama adalah bagus. Mungkin akan dicetak untuk kali kedua,'' ujarnya yang sering melontarkan senyuman.

Sungguhpun begitu, dalam kegembiraannya menatang kemunculan album terbabit, Hafiz tidak lari daripada menjadi bahan bualan sesetengah pihak yang mengatakan dirinya menumpang populariti bekas finalis AF7 iaitu Aril, Akim, Yazid dan Isma.

Ini kerana, melalui album berkenaan, ia dilihat bukanlah album penuh Hafiz apabila turut menyelitkan lagu-lagu dendangan finalis berkenaan.

"Bagi Hafiz, tidak salah andai lagu-lagu mereka turut dimuatkan dalam album Masih Jelas. Hafiz bukanlah orang yang suka menumpang populariti orang lain.

"Kami sama-sama berjuang,'' tegasnya yang semakin teruja untuk terus aktif menghasilkan album seterusnya.

Pertama kali raya sebagai artis

Sementara itu, diajak pula berbicara soal Aidilfitri, Hafiz memberitahu, dia menyambut lebaran di Kuching, Sarawak hingga 27 September.

Tidak sabar menanti detik pertama kali menyambutnya selaku artis, Hafiz sekeluarga menganjurkan rumah terbuka khusus untuk peminat pada Hari Raya keempat.

Menggemari Bubur Pedas di pagi Aidilfitri, Hafiz bagaimanapun tidak sabar untuk menziarahi kaum keluarganya di Sibu, Miri serta Brunei.

"Walau saya sudah bergelar artis, Hafiz masih seperti Hafiz yang dahulu. Kalau setiap raya, Hafiz akan membantu keluarga dengan kerja-kerja yang berat kerana ayah ada penyakit jantung.

"Setiap kali tiba raya, Hafiz selalu ditugaskan ayah untuk mengecat rumah. Ayah selalu bagi upah yang lumayan.

"Hafiz punyai keluarga yang besar. Emak saya ada 11 adik-beradik manakala ayah, sembilan orang,'' katanya yang masih terkenang arwah neneknya yang meninggal dunia sekitar tahun 2000 lalu.

Ibu mahu Hafiz tumpu karier

Dalam pada itu, ibu Hafiz, Halizawati dalam satu perbualan pula berkata, Ramadan yang baru disambut merupakan detik penuh syahdu buatnya kerana pertama kali berpuasa tanpa Hafiz.

Menyedari akan hakikat anaknya itu sudah semakin dewasa dan sibuk dengan karier, dirinya terpaksa berkorban rasa demi kemajuan Hafiz.

"Meriahnya puasa kalau ada Hafiz. Tapi tidak mengapa, saya mahu dia tumpukan perhatian dan berjaya dalam bidang yang diceburinya itu.

"Untuk menu raya, sudah pasti saya sediakan Ayam Masak Kari, Rendang Daging, Kuah Sate (Kuah Kacang).

"Pasti meriah Aidilfitri kali ini kerana ramai peminat Hafiz akan berkunjung ke rumah,'' katanya.

Ditanya soalan nakal mengenai teman wanita Hafiz, Halizawati berkata, dia tidak membantah sesiapapun pilihan hati anaknya itu.

Namun, tambahnya, biarlah Hafiz fokus dan berjaya terlebih dahulu kerana masa depannya masih panjang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: