Friday, September 11, 2009

Belum tayang sudah beramal


DARI kiri Mohd. Mahyidin Mustakim, Mohamed Mohd. Daud, Wong Kam Hoong bersama para pelakon dan artis veteran yang menjayakan majlis Tayangan Amal Jin Notti di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


MESKIPUN Jin Notti hanya akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 20 September ini, tetapi filem arahan Azhari Zain itu sudah pun mula memperlihatkan tanda-tanda positif berdasarkan jalan cerita dan unsur-unsur komedi yang terdapat di dalamnya.

Senario itu dapat dilihat sewaktu Tayangan Amal Jin Notti yang diadakan di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC), Tropicana City, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini apabila pawagam bukan sahaja penuh, malah ia juga diriuhkan dengan gelak ketawa para penonton.

Selaku penerbit Jin Notti, Norman Abdul Halim yang juga Pengarah Urusan KRU Studios Sdn. Bhd. optimis tayangan filem terbaru mereka sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri ini mampu mencatat kutipan yang baik berdasarkan sambutan daripada tayangan amal tersebut.

"Bagi kami ini adalah satu petanda yang baik untuk filem Jin Notti. Kalau para penonton datang menonton filem ini semata-mata untuk menderma kepada tabung-tabung kebajikan, maka saya yakin lebih ramai yang akan berkunjung ke pawagam semata untuk menonton filem ini," ujarnya.

Pada majlis tayangan amal anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu, Jin Notti berjaya mengaut kutipan derma sebanyak RM50,000 dan daripada jumlah itu, sebanyak RM25,000 daripadanya disumbangkan kepada Dana Kebajikan Artis.

Sementara RM25,000 lagi daripada hasil kutipan amal itu pula disumbangkan kepada Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia yang disampaikan melalui Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Mohd. Daud dan Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong.

Jin Notti yang dilakonkan oleh Mawi yang mendokong watak Ajis dan Fara Fauzana (Notti) mengisahkan tentang Notti iaitu jin perempuan yang dihukum dibuang ke dunia manusia kerana berkelakuan baik di alam jin.

Menurut Norman, biarpun Jin Notti menampilkan genre komedi tetapi intipati ceritanya banyak mencetuskan sindiran sosial terhadap gejala sosial yang banyak berlaku dalam kehidupan masyarakat pada hari ini yang perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak.

"Filem ini selain membawa para penonton bergelak ketawa ketika tayangannya pada Hari Raya Aidilfitri ini, ia juga sarat dengan mesej tentang nilai-nilai murni dalam kehidupan yang membezakannya dengan makhluk lain seperti jin.

"Kalau dalam alam jin masih ada jin yang baik, tetapi amat malang sekali kalau di kalangan manusia ada yang perangainya lebih jahat daripada jin," katanya yang berdebar-debar dan tidak sabar menantikan waktu tayangan filem terbitannya itu.

Dalam pada itu, beliau berharap Jin Notti yang menelan kos lebih RM1 juta bukan sahaja akan dapat balik modal tetapi juga kutipan tiket box-office seperti filem-filem terbitannya yang lain misalnya Cicak-Man yang mengutip kutipan tiket lebih RM4 juta.

Selain Jin Notti yang ditayangkan sempena lebaran ini sebuah lagi filem Melayu berjudul Momok The Movie arahan M. Jamil juga akan ditayangkan serentak di pawagam-pawagam seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: