Tuesday, September 29, 2009

'Wali termulia' curi tongkat mimbar - Sasaran kumpul 200 tongkat untuk capai darjah keimanan


TONGKAT mimbar di Masjid Haji Ahmad Ibrahim, di Marang,
Terengganu ini juga dicuri untuk tujuan mencapai darjah keimanan.



KANAN: Sebahagian daripada 23 batang tongkat mimbar curi yang yang ditemui dalam rumah seorang warga emas di Marang semalam.





MARANG - Misteri kehilangan 23 batang tongkat mimbar milik beberapa masjid di daerah ini sepanjang Ramadan lalu akhirnya terjawab.

Rupa-rupanya, kesemua tongkat itu dicuri oleh seorang warga emas berumur 55 tahun yang mendakwa berbuat demikian untuk meningkatkan 'darjah keimanannya'.

Malah, lelaki itu mendakwa menerima arahan daripada suara ghaib yang memintanya mencuri sebanyak 200 batang tongkat mimbar masjid bagi membolehkannya mencapai darjah keimanan yang dihajatkan.

Menggelarkan dirinya 'wali termulia', lelaki itu mengaku masuk ke masjid-masjid berkenaan sambil berpura-pura mahu bersembahyang sebelum membalut tongkat tersebut menggunakan serban yang dipakainya sebelum melarikan diri.

Namun, hasrat lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk mengumpul 200 batang tongkat tersebut tidak kesampaian apabila dicekup polis kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, lelaki itu ditahan apabila sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Marang menyerbu rumah suspek di Kampung Rhu Rendang di sini selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.

"Hasil serbuan itu, polis berjaya menahan lelaki berkenaan dan menemui 23 batang tongkat mimbar masjid di rumah kedai yang didiaminya.

"Akhirnya suspek mengaku mencuri tongkat di beberapa buah masjid antaranya Masjid Haji Ahmad Ibrahim, Masjid Kelulut dan Masjid Kijing di Marang," katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd. Fauzi memberitahu, ketika serbuan, lelaki itu tidak melawan tetapi cuba menyembunyikan sebatang tongkat dibalut dengan sejadah hijau yang dipercayai paling disayanginya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: