Friday, September 11, 2009

Muzikal hiasi Marhaban di Astro


Akma (kanan) dan Farah begitu menjiwai lagu Ayat-Ayat Cinta.


TAHUN demi tahun Astro tidak pernah ketinggalan menjayakan program berbentuk keagamaan, Marhaban di Astro.

Malah, sejak dianjurkan empat tahun lalu, pelbagai perubahan dilakukan demi memastikan program jelajah bersiri itu terus mendapat tempat di hati penonton.

Membariskan wajah-wajah yang kebanyakannya pernah menghiasi Akademi Fantasia, program tersebut ternyata tidak pernah gagal menarik ribuan penonton yang setia menanti hingga tamat persembahan.

Program yang dahulunya fokus kepada pertandingan nasyid dan marhaban kini menjalani pembaharuan dengan penambahan acara pertandingan.

Pertandingan yang dianjurkan termasuklah bercerita kategori kanak-kanak dan dewasa, pertandingan busana muslim serta pertandingan seni khat.

Tambah menarik, segmen nyanyiannya kali ini di beri transformasi berkonsepkan drama muzikal yang melatari kisah sekumpulan pencinta seni tanah Arab ke sebuah kampung bernama Kurma Sebatang.

Memulakan sesi jelajah di kawasan bandar iaitu Batu Pahat Mall pada pertengahan Ogos lalu, penjelajahan program tersebut turut singgah ke beberapa lokasi seperti Sunway Mall, Pulau Pinang (22 dan 23 Ogos), Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang (29 dan 30 Ogos) dan AEON Bukit Tinggi, Klang (5 dan 6 September).

Sementara sesi jelajah di kawasan luar bandar ialah ke Pengkalan Chepa, Kelantan (22 Ogos), Pekan Temerloh, Pahang (22 Ogos), Jerteh, Besut, Terengganu (5 September) dan bakal berakhir di Bandar Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu pada 12 September ini.

Naib Presiden, Pemasaran Segmen Melayu Astro, Molina Musa yang ditemui pada sesi jelajah program itu di AEON Bukit Tinggi, Klang baru-baru ini memberitahu, perubahan tersebut dilakukan kerana ingin memberi kelainan berbanding persembahan-persembahan yang pernah di pertontonkan sebelum ini.

Selepas empat tahun berlangsung, Molina berkata, pihaknya enggan meneruskan persembahan berteraskan konsep serupa saban tahun kerana tidak mahu penonton berasa bosan.

Justeru, pendekatan muzikal dilihat sebagai salah satu yang cukup berkesan untuk menyampaikan mesej untuk program berteraskan keagamaan seperti ini.

Persembahan muzikal jelasnya, lebih mudah untuk menyampaikan mesej kepada khalayak.

"Walaupun konsep muzikal tidak mudah untuk direncanakan namun, menerusi koreografi, pemilihan lagu serta latihan yang mencukupi mampu memberikan persembahan yang menarik.

"Untuk sesi jelajah sepanjang Ramadan, kita buat dalam dua cara. Di bandar kita buat menerusi pertandingan, jualan serta persembahan muzikal.

"Berbeza dengan kawasan luar bandar kita cuba mendekati masyarakat dengan pemberian bubur lambuk, pemberian sumbangan serta sesi solat terawih bersama-sama," kata Molina lagi.

Berlatih selama hampir sebulan, barisan artis yang terlibat antaranya Zainal Alam Kadir, Akma, Idayu, Hazama, Edlin dan Yazer masing-masing mempunyai peranan dan tugas sama berat dalam menjayakan persembahan tersebut.

Artis lain yang terlibat ialah Aishah, Fitri, Tam dan kumpulan Firdaous.

Pada persembahan di AEON Bukit Tinggi, Klang itu penonton turut dihiburkan dengan persembahan tiga artis jemputan iaitu Imad, Aishah dan Yassin.

Sebanyak 19 buah lagu dinyanyikan antaranya Alhamdulillah, Samrah Mentari, Hijau Bumi Tuhan, Imad, Zapin Kesyukuran, Putihnya Lukisan, Cinta Adam Dan Hawa, Falsafah Cinta, Manis, Laskar Pelangi dan Ayat-Ayat Cinta.

Antara lain ialah Doa, Seindah Biasa, Insan, Di Taman Teman, Satu dan Kerana Dia.

Lima lagi lagu dinyanyikan secara medley iaitu Dari Tuhan, Meniti Titian Usang, Sepakat Kampung Pening Lalat, Selamat Pengantin Baru dan Dondang Dendang.

Mula terlibat dengan program Marhaban di Astro sejak empat tahun lalu, Zainal Alam Kadir mengakui, dia sangar teruja dengan perubahan konsep persembahan yang dilakukan.

Selain menarik dan menghiburkan, kata Alam, penonton juga terpaku dengan lakonan barisan artis.

Mungkin inilah peluang keemasan bagi penonton yang hadir juga untuk menyaksikan bakat lakonan artis-artis kelahiran Astro itu yang mungkin sebelum ini terlepas pandang.

"Boleh dikatakan saya terlibat dengan kebanyakan aktiviti Astro bukan sahaja Marhaban di Astro, tetapi juga Gempak Selebriti Astro dan projek-projek Astro yang lain.

"Walaupun saya pernah terlibat dengan persembahan muzikal tetapi untuk Marhaban ini adalah yang pertama.

"Menariknya, muzikal untuk Marhaban di Astro kita kembangkan dengan jalan cerita, pemilihan lagu yang sesuai dan juga kesungguhan setiap ahli kumpulan," kata Alam lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: