Wednesday, September 30, 2009

Saya masih siuman...Farawahida



KUALA LUMPUR: “Sebagai umat Islam, saya tidak akan sama sekali melakukan tindakan paling bodoh iaitu membunuh diri hanya kerana masalah hidup. Saya masih siuman,” kata penyanyi Farawahida Razali, 24, menafikan khabar angin kononnya dia mencabut nyawa sendiri akibat tekanan emosi.

Dia yang dihubungi Harian Metro semalam terkejut dan tidak menyangka berita palsu terbabit boleh tersebar dan akhirnya sampai ke pengetahuannya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui berita palsu itu selepas beberapa rakan menghubungi selain menghantar SMS bertanya kesahihan khabar angin berkenaan.

“Saya yang masih hidup dan segar bugar pastinya terkejut dan tidak menyangka khabar angin itu boleh tersebar luas.


“Malah, berita berkenaan turut diketahui wartawan yang segera menghubungi saya bagi mendapatkan kepastian,” katanya sambil ketawa.Farawahida berkata, dia kini dalam keadaan sihat di samping keluarga, apatah lagi dengan ketibaan Syawal yang amat dinanti-nantikan.


“Ketika berita itu diketahui, saya dan keluarga sedang bersiap-siap untuk berhari raya di rumah saudara-mara di Beruas, Perak.

“Apa yang saya tahu, khabar angin itu mendakwa saya membunuh diri gara-gara kontroversi yang melanda sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pasti motif sebenar individu yang menyebarkan khabar angin berkenaan, namun dapat mengagak siapa dalang yang bertanggungjawab melakukan kerja nakal itu.

“Sebagai umat Islam, saya menyedari mati membunuh diri perbuatan yang tidak diampunkan dosanya. Pastinya saya langsung tidak terlintas untuk melakukan perbuatan berkenaan.

“Lagipun saya kini gembira dengan kehidupan bersama keluarga selepas kemelut yang melanda sebelum ini kian reda,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, apa yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri kerana ia membuktikan masih ramai rakan dan saudara-mara mengambil berat terhadapnya berdasarkan panggilan telefon yang diterima sehingga dia tidak menang tangan.

“Saya terharu dan berterima kasih terhadap sokongan mereka yang tidak putus-putus memberi dorongan dan semangat agar terus gigih mengharungi apa jua cabaran mendatang,” katanya.

Farawahida terbabit dalam kontroversi apabila enggan menyambung kontrak dengan syarikat rakaman milik komposer Julfekar Ahmad, hujung tahun lalu.

Kemelut antara mereka bermula apabila Julfekar yang juga pemilik Millenium Art Sdn Bhd (MASB) mendakwa Farawaheda yang masih mempunyai setahun kontrak pilihan gagal menyempurnakan perjanjian yang ditandatangani apabila menyepikan diri sejak Februari lalu.

Dia pernah dua kali menghantar surat untuk keluar daripada pengurusan MASB dalam tempoh 24 jam pada Februari dan awal Jun lalu.

Bagaimanapun, permintaan penyanyi itu tidak dapat dilaksanakan berikutan kuasa menamatkan kontrak pilihan didakwa milik MASB.

Kontroversi kian panas apabila penyanyi berasal dari Taiping, Perak itu, membuat tiga laporan polis terhadap komposer terkenal terbabit, masing-masing di Balai Polis Klang pada 6 November tahun lalu, Balai Polis Taiping (9 Februari) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Julai lalu, mendakwa menerima ugutan daripada Julfekar untuk mengedar gambar dan video lucahnya.

Berikutan itu, Julfekar dipanggil memberi keterangan di IPD petaling Jaya selain telefon bimbitnya diambil polis untuk siasatan lanjut selepas ia dipercayai mengandungi klip lucah penyanyi berkenaan.


Kronologi kontroversi

>6 Februari 2009
Farawahida dilapor hilangkan diri selepas Anugerah Juara Lagu ke-23 menyebabkan pengurus dan penerbit albumnya, Julfekar kecewa kerana mendakwa penyanyi itu melanggar kontrak.


>19 April 2009
Farawahida tampil membuat pengakuan pulang ke kampungnya di Taiping, Perak, untuk mencari ketenangan selain mendakwa perlu meneliti semula syarat perjanjian dengan Julfekar yang ditandatangani ibunya ketika dia berusia 17 tahun.


>2 Julai 2009
Julfekar tuntut ganti rugi RM231,000 keseluruhan produksi dan promosi album Farawahida `09 jika penyanyi terbabit ingin membatalkan kontrak.


>4 Julai 2009
Farawahida buat pendedahan tiga laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan untuk mengedar gambar dan video lucahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: