Tuesday, September 29, 2009

Norman, David Teo bertelagah


NORMAN menegaskan pungutan pecah panggung seharusnya dilihat kepada kutipan di Malaysia saja kerana ia dikawal selia Finas.

Pengedar filem Momok The Movie salahkan laporan media

APABILA dua filem Melayu ditayangkan serentak pada musim perayaan, sudah tentulah wujud persaingan antara kedua-duanya. Peminat filem tempatan mempunyai pilihan, tetapi ada juga yang menonton kedua-duanya sekali!

Pada Aidilfitri tahun ini, filem Momok the Movie dan Jin Notti ditayangkan sejak 20 September lalu. Menampilkan genre seram komedi, Momok terbitan Galaksi Seni diarahkan M Jamil, manakala Jin Notti arahan Azhari Zain pula mempertaruhkan bentuk cerita fantasi komedi.

Persaingan berebutkan penonton cukup terasa antara kedua-dua filem ini apabila beberapa akhbar mula menyiarkan artikel berhubung sambutan terhadap filem Jin Notti pada 22 September lalu.

Antara lain, berita yang disiarkan pada Hari Raya ketiga itu mengatakan hampir sejuta penonton sudah pun menonton filem Jin Notti. Ia tentu sekali publisiti yang menggerakkan lagi keinginan orang ramai berkunjung ke panggung menonton filem terbitan KRU Studios itu.

Berita itu mungkin disalah tafsirkan apabila angka sejuta sebenarnya hanyalah jumlah sasaran penerbit bagi filem keluarannya itu untuk tempoh tayangannya pada musim perayaan ini.

DAVID menegaskan, Momok The Movie berjaya mengatasi pencapaian Jin Notti.

Namun, laporan berita itu membuatkan Pengarah Urusan Metrowealth Movies Productions, iaitu pengedar filem Momok, David Teo, membuka mulut. Tegas produser berkenaan, media seharusnya lebih peka sebelum menyiarkan berita sedemikian. David menyatakan rasa tidak puas hati terhadap penyiaran berita itu.

Ini kerana purata penonton filem Melayu iaitu sekitar 300,000 hingga 400,000 saja. Jadi, bagaimana hampir sejuta penonton boleh ke panggung pada hari pertama tayangan Jin Notti?

Apabila ditanya sambutan penonton terhadap filem edarannya Rabu lalu, produser itu mendakwa kutipan filem Momok The Movie mengatasi Jin Notti. Tanpa memberikan jumlah kutipan sebenar, David berkata, maklumat itu diperoleh secara fakta.

Apabila kenyataannya disiarkan oleh Hip sisipan Berita Harian pada 25 September lalu, produser Jin Notti, Norman Abdul Halim terus memberikan reaksi kurang senang.

"Dakwaan David Teo yang mengatakan Momok mengatasi kutipan Jin Notti dalam Gala TV di Awani dan Berita Harian semalam (25 September) adalah mengelirukan. Daripada maklumat yang KRU Studios terima, kutipan Jin Notti melebihi Momok dengan anggaran 20 peratus," kata Norman dalam kenyataan yang dikeluarkan Sabtu lalu.

Menurutnya, bukan dia ingin menjatuhkan filem pesaing, namun kenyataan David itu seolah-oleh Momok lebih berjaya daripada Jin Notti, sedangkan maklumat yang diperolehnya adalah berbeza.

"Bagi mendapatkan pengesahan mengenai filem mana yang lebih berjaya di pawagam setakat semalam (25 September), saya mencabar David agar kutipan box office filem edarannya dan filem kami diaudit oleh juruaudit bertauliah," kata Norman yang turut berharap pihak media mendapatkan pengesahan sekurang-kurangnya daripada Finas sebelum menyebarkan sebarang maklumat berhubung kejayaan sesebuah filem dari segi kutipan di pawagam pada masa akan datang.

Sementara itu, daripada senarai carta filem pecah panggung yang dikeluarkan Fox, filem Momok dianggarkan berada satu anak tangga lebih tinggi daripada Jin Notti bagi tempoh tayangan hujung minggu 18 - 20 September.

Filem Momok berada pada kedudukan kelapan, manakala Jin Notti pula pada anak tangga kesembilan. Juara carta hujung minggu terbabit ialah filem aksi pengembaraan G-Force.

Begitupun, kedudukan dua filem berkenaan adalah dalam bentuk anggaran saja. Ia juga bagi tempoh tiga hari bermula Khamis hingga Ahad, sedangkan kedua-dua filem Melayu itu hanya mula ditayangkan kepada umum pada Ahad, 20 September.

Ketika dihubungi sekembalinya daripada mengadakan persembahan di Brunei, Ahad lalu, Norman berkata, setakat ini pungutan filem terbitannya itu sudah pun bergerak menghampiri angka RM2 juta.

Sebelum itu David dilaporkan berkata, selepas lima hari tayangan, kutipan Momok mencecah RM1.25 juta berbanding Jin Notti, RM1.1 juta.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak bagi apa-apa angka lagi sebab saya tahu, David akan memberikan angka yang lebih tinggi daripada apa yang kami keluarkan. Justeru, lebih baik saya serahkan kepada Finas untuk mengumumkan jumlahnya.

"Saya sendiri tidak tahu, macam mana perkiraan yang dilakukan David dalam menentukan jumlah pungutan filem edarannya. Mungkinkah ia dicampur sekali dengan jumlah lain seperti hak penyiaran di televisyen dan sebagainya. Itulah yang membuat kita keliru," ujar Norman menganggap persaingan antara kedua-dua filem itu amat sihat, asalkan tidak diganggu dengan taktik kotor.

Pada ketika dia mengharapkan kejayaan Jin Notti, Norman berkata, dia sedikit pun tidak mengharapkan kegagalan Momok kerana kejayaan kedua-dua filem itu bermakna perkembangan sihat untuk industri perfileman tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: