Wednesday, September 30, 2009

Beli kek sambil beramal


DARI kiri, Raja Farah, Intan Ladyana, Diana Danielle dan Juliana Evans

Selebriti luangkan masa sertai kegiatan di Great Eastern Mall

MENGIMBAU majlis Jualan Kek Cokelat Selebriti pada tahun lalu, lebih 30 selebriti hadir mewarnai majlis sebagai tarikan kepada orang ramai untuk membantu melaksanakan projek amal.

Jualan kek amal ini dianjurkan untuk mengumpul seberapa banyak dana bagi membantu insan kurang bernasib baik menjalani kehidupan normal seperti kita hari ini.

Dengan pembabitan hotel terkemuka di sekitar ibu negara yang menyediakan pelbagai kek untuk selebriti menjualnya, ia menjadi dijadikan aktiviti tahunan yang menyeronokkan buat semua yang terbabit.

Menurut pengatur acara projek ini, Bill Bora, usaha untuk mempopularkan acara amal ini tidak akan berhasil tanpa sokongan selebriti tanah air.

“Ini adalah tahun ketiga penganjuran program amal yang diadakan di Great Eastern Mall, Jalan Ampang dengan kerjasama hotel-hotel bertaraf lima bintang seluruh ibu kota.

DARI kiri; Juliana Evans, Intan Ladyana, Raja Farah bersama Chef Kumaran (duduk), Rizu dan Diana Danielle dengan pelbagai jenis kek.

“Memang saya akui, program amal sekiranya tidak membabitkan selebriti tidak akan mendapat sambutan. Bukannya kita sengaja menggunakan populariti mereka untuk menarik orang ramai agar dapat berkunjung ke sini, tetapi kita meminta bantuan mereka untuk lebih memeriahkan lagi program ini,” katanya.

Program amal yang dijadikan sebagai program tahunan ini akan berlangsung pada 3 Oktober depan di ruang legar Great Eastern Mall bermula jam 3 hingga 5 petang dengan pembabitan ramai selebriti.

“Kita akan mengundang seramai 35 selebriti untuk memeriahkan program ini yang akan mewakili 14 hotel di sekitar ibu negara. Setiap hotel akan dibantu empat hingga lima selebriti yang membantu menjual kek ini.

“Setiap hotel juga dihadkan untuk menjual kek tidak kurang daripada 10 kilogram setiap hotel. Pastinya kek yang bermutu tinggi yang dihasilkan chef profesional daripada seluruh hotel terkemuka ibu negara ini dijual pada harga RM15 sepotong dan semua hasil jualan itu dimasukkan ke tabung untuk membantu kanak-kanak jalanan.

“Tahun ini setiap pengunjung yang hadir dikenakan tiket sebanyak RM15 untuk masuk ke program kek amal ini dan diberikan sepotong kek istimewa. Mereka yang masuk dibenarkan bergambar dengan sesiapa saja selebriti yang ada di sana,” katanya yang mensasar dapat mengutip RM18,000.

Sementara itu, Chef Kumaran dari Hotel Istana berkata, dia memang teruja untuk menyertai program amal ini.

“Ini kali kedua saya menyertai program ini mewakili hotel Istana. Sebenarnya program ini juga adalah pertandingan bagi chef yang mewakili setiap hotel. Penganjur turut menyediakan dua kategori iaitu Coklat Kek Terbaik dan Rekaan kek coklat Terbaik.

“Tahun lalu saya tidak menang apa-apa tetapi berazam untuk menghasilkan rekaan terbaik pada tahun ini dengan bertemakan ‘kereta klasik’. Saya juga akan menyediakan lima kek dengan berat satu kilogram setiap satu dan lima kilogram untuk kek utama.

“Sebenarnya bukanlah anugerah yang saya buru tetapi keseronokan dapat menghasilkan kek bersama chef yang lain. Bagi saya cukuplah orang ramai yang hadir dapat memeriahkan program ini dengan membeli dan mengambil gambar,” katanya yang pernah menerima anugerah Chef Pastri Terbaik pada pertandingan Salon De’ Culinaire baru-baru ini.

Intan Ladyana
“Peranan kami sebagai selebriti untuk membantu menarik orang ramai berkunjung ke program ini. Ia program amal yang berbeza daripada sebelum ini. Kami akan mewakili salah satu hotel bertaraf lima bintang di ibu negara ini untuk menjual kek mereka disediakan.

“Dalam melakukan kerja amal seperti ini, saya tidak pernah terfikir balasan yang akan saya terima namun akan membuatnya secara ikhlas untuk membantu insan yang sedang dalam kesusahan.

“Pastinya program ini seronok kerana ramai rakan artis lain yang turut ikut sama. Seronoknya kami akan bersaing sesama sendiri menggunakan apa saja cara untuk menarik pengunjung ke gerai kami.”

Diana Danielle
“Apabila diundang menghadiri program amal seperti ini, saya tidak pernah berasakan yang saya dipergunakan untuk kepentingan seseorang. Sebagai selebriti saya dan rakan artis yang lain menyedari bahawa kami mempunyai kuasa tarikan untuk menarik orang ramai berkunjung ke sesuatu majlis. Kenapa tidak dengan kuasa yang kami miliki ini kami berjaya menolong orang yang di dalam kesusahan.

“Ini tahun kedua saya sertai majlis seperti ini. Tahun lalu saya, Liyana Jasmay dan Juliana Evans mewakili hotel Berjaya Times Square berjaya menjadi kumpulan pertama dapat menghabiskan jualan kek dan tahun ini kami berharap dapat mengulangi kejayaan lalu untuk membantu mengumpul seberapa banyak dana,”.

Juliana Evans
“Jika tahun lalu saya menyertai majlis ini buat pertama kali dan dapat merasa keseronokan itu, tahun ini apabila saya diundang lagi saya tidak akan melepaskan peluang itu untuk terbabit lagi.

“Saya bangga apabila tahun lalu kumpulan saya menjadi kumpulan pertama dapat menghabiskan jualan kek. Tahun ini juga saya berharap kejayaan itu akan diulang oleh kumpulan kami. Disebabkan saya juga adalah penggemar kek tentu seronok dapat menjual kek sambil menikmati keenakan kek terbaik ciptaan chef profesional. Saya menggemari semua jenis kek dan tidak takut dengan kegemukan.”

Iqram Dinzly
“Pertama kali dijemput untuk melakukan kerja amal menjual kek ini walaupun sudah mengetahui tahun ini adalah tahun yang ke-3.

Namanya pun sudah kerja amal kenalah ikhlas apabila melakukannya. Sebenarnya apabila mengatakan ia adalah kerja amal untuk membantu orang yang kurang bernasib baik saya sedikitpun tidak kisah untuk sertai tetapi sekiranya diundang untuk mempergunakan saya demi kepentingan sendiri saya akan pertikaikan.”

Raja Farah
“Setiap selebriti yang menjayakan program amal ini mempunyai peminatnya sendiri. Sejak menjadi selebriti, banyak jugalah program amal yang pernah saya ikuti namun kali ini lebih berbeza sekali. Saya menerima banyak jemputan untuk program amal tetapi terpaksa ditolak kerana terikat dengan jadual penggambaran. tapi kali kali ini saya dapat luangkan masa memandangkan ramai rakan artis yang turut serta sebelum ini berkata seronok.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: