Wednesday, September 30, 2009

Pengebom berlatih depan hotel


Imej yang dikeluarkan polis Indonesia semalam menunjukkan Nana Maulana (kiri) dan Dani Permana memanaskan badan di sebuah padang di hadapan Hotel Ritz-Carlton.


JAKARTA - Sebuah padang berhampiran dua hotel mewah di sini menjadi tempat bersantai oleh dua pengebom berani mati Indonesia beberapa minggu sebelum mereka melancarkan serangan, menurut klip video yang didedahkan polis semalam.

Klip video tersebut diperoleh dari komputer riba yang tersimpan di dalam sebuah beg galas milik Noordin Mohammed Top, militan Malaysia yang ditembak mati dalam serbuan polis di Jawa Tengah dua minggu lalu.

Klip video itu yang dirakam pada minggu terakhir Jun lepas, turut menunjukkan dua lelaki itu, Dani Permana dan Nana Maulana masing-masing berusia 18 dan 28 tahun sedang berjoging di sebuah jalan melintasi Hotel JW Marriott.

Selain itu, rakaman tersebut turut menunjukkan aksi mereka mencuba pakaian yang dipakai pada hari serangan.

Tiga minggu kemudian, kedua-duanya berjalan memasuki ruang istirehat dua hotel itu dan meletupkan diri mereka.

Serangan pada 17 Julai itu membunuh tujuh orang dan mencederakan lebih 50 yang lain selain mencetuskan semula keganasan di Indonesia selepas empat tahun.

"Ini sasaran kami," kata Dani dalam klip video itu sambil menuding jarinya ke arah dua hotel mewah berkenaan.

"Ini (serangan berani mati) adalah cara mulia untuk memusnahkan musuh-musuh Islam. Ia bukan membunuh diri," tambah penyerang yang merupakan seorang lepasan sekolah tinggi Indonesia.

Dani meletupkan dirinya di dalam JW Marriott yang menyebabkan empat warga Barat terbunuh.

Pihak berkuasa Indonesia semalam menyatakan lelaki yang merakam video itu dikenali sebagai Syaifuddin Zuhri.

Menurut polis, suspek yang masih bebas dipercayai merekrut dua pemuda itu untuk menjadi pengebom berani mati.

Sementara itu, keluarga Noordin dijadual membawa pulang jenazahnya dari sebuah bilik mayat polis di sini ke kampung asalnya di Malaysia pada minggu ini untuk dikebumikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: