Friday, December 2, 2016

Wan Maimunah Sudah Boleh Balik Rumah




Wan Maimunah terharu menerima sumbangan daripada Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M).
JASIN: Pelakon Wan Maimunah Abdul Aziz, 62, yang dimasukkan ke Hospital Jasin sejak Khamis lalu berikutan mengalami bengkak jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru kini berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang ke rumah petang Rabu.

Pengerusi Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) Datuk Irwanshah Abdullah atau DJ Dave berkata, keadaan kesihatan pelakon veteran itu semakin beransur pulih dan doktor turut menasihatinya supaya banyak berehat apabila keluar dari hospital.

"Keadaan Wan Maimunah semakin sihat dan sudah mampu senyum dan ketawa apabila dikunjungi rakan-rakan serta saudara mara. Kami akan sentiasa mendoakan agar dia sembuh secepat mungkin," katanya kepada pemberita, di sini Rabu.

Turut hadir Anggota Pemegang Amanah YA1M Datuk A. Rahman Hassan, isterinya yang juga pelakon Datin Fadillah Mansor dan Pengurus Besar YA1M Lisza Abd Kadir, yang meluangkan masa kira-kira sejam menemani aktres itu selain menyerahkan sumbangan bagi meringankan bebannya.

YA1M yang dilancarkan pada 11 Nov 2012, merupakan satu badan untuk memajukan kebajikan warga artis tanah air, khasnya anggota yayasan, melalui bantuan meliputi kesihatan, khairat/derma kematian dan bencana.

Wan Maimunah dikunjungi teman artis iaitu DJ Dave (dari kanan), Datuk A. Rahman Hassan dan Datin Fadilah Mansor.
Sementara itu, Wan Maimunah yang lebih mesra disapa ibu, gembira dan terharu kerana tidak menyangka ada pihak masih mengingatinya dan sudi meluangkan masa melawatnya yang kini sedang sakit.

"Terima kasih tidak terhingga ibu ucapkan kepada semua. Ibu juga ingin memohon maaf kepada rakan-rakan dan saudara mara kerana tidak memaklumkan kepada mereka tentang keadaan kesihatan ibu.

"Ada juga yang marah... bukan ibu tidak mahu beritahu tetapi ibu merasakan sakit ibu tidak begitu teruk," katanya.

Ibu tunggal dua anak itu yang baru menunaikan umrah baru-baru ini, berkata  sebelum ini beliau sering berasa sakit di bahagian dada sehinggalah dia ditahan  di hospital itu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Ketika itu, ibu hendak menarik nafas pun tidak boleh. Rasa sempit. Semakin  ibu panik, semakin itulah ibu rasa sempit. Hinggakan ibu rasa dah nak mati ke  aku ni Ya Allah. Sekarang Alhamdulillah, ibu syukur keadaan kesihatan semakin stabil," katanya.

Wan Maimunah yang terkenal dengan watak Mak Usu menerusi sitkom popular 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu', pernah memenangi kategori Artis Komedi Wanita Popular dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama lima tahun berturut-turut dari  1992 sehingga 1996. 

Beliau menceburi bidang lakonan sejak 1972 dan merupakan pelakon serba boleh yang mampu membawakan apa sahaja watak diberikan, selain lebih terkenal dengan watak air mata yang paling melekat di hati peminat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: