KUALA KRAI - Penderitaan ditanggung ibu kepada seorang anak yang menghidap tiga penyakit kronik mula mendapat perhatian orang ramai.
Wan Nuraskin Wan Razali, 29, sejak kisahnya disiarkan di Sinar Harian awal bulan ini, dia mula menerima bantuan kewangan yang membolehkannya membeli keperluan perubatan, terutama jarum.
Katanya, walaupun jumlah diterima tidak banyak, namun ia cukup bermakna buat dirinya.
"Penduduk yang juga kawan kepada bapa saudara saya ada tampil membantu.
"Pemimpin tempatan  juga hadir membawa borang pesakit kronik bagi membolehkan saya menerima bantuan," katanya.
Dia yang menderita penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang bocor sejak 2008.
Menurut Wan Nuraskin, sejak kebelakangan ini penyakitnya semakin kritikal sehingga dia tidak mampu menguruskan anaknya yang berusia 14 bulan .
"Saya tak boleh dukung dia terlalu lama kerana mudah letih.
"Penglihatan saya kini semakin kabur dan kerap kali sukar bernafas," katanya sayu.
Tambahnya, perbelanjaan keluarga hanya bergantung kepada pendapatan suaminya, Mohd Sayuti Che Hashim, 35, yang bekerja estet dengan gaji bersih RM450 sebulan.
"Dengan gaji tak seberapa inilah kami gunakan untuk belanja harian termasuk membeli jarum untuk penyakit kencing manis saya.
"Saya perlukan 30 batang jarum dalam sebulan, namun kadangkala saya tidak mampu membelinya," katanya.
Wan Nuraskin berkata ,dia tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak tetapi telah membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan bulanan.
"Saya baru hantar permohonan dan amat berharap ia diluluskan segera," katanya.
Lebih rumit lagi, dia dan suami kini mula resah memikirkan tempat tinggal mereka seterusnya kerana rumah didiami kini adalah perumahan sementara mangsa banjir.
"Sebelum ini, kami difahamkan rumah ini hanya boleh didiami hingga hujung tahun ini.
"Jika benar kami tak tahu ke mana hendak tinggal selepas ini," katanya yang tidak menerima bantuan  rumah mangsa banjir.
Orang ramai berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam, Wan Nuraskin Wan Razali, 03072020867782.