TANGKAK - “Rezeki ini sememangnya bermakna buat kami sekeluarga. Bak kata pepatah, yang bulat datang bergolek, yang pipit datang melayang,” demikian luahan seorang ibu tunggal dari Bukit Gambir, di sini, yang terharu selepas terpilih sebagai penerima kediaman bagi Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar dalam daerah Tangkak.
Hariyati Harun, 42, berkata, sebelum ini kediaman yang pernah dihuni pada 1998 hingga 2010 di Kampung Serom 2, Tangkak musnah dalam satu kebakaran tahun lalu.
“Meskipun saya tidak lagi menetap di situ, rumah tersebut merupakan kenangan berharga buat saya dan arwah suami kerana kami menetap di sana sejak dari awal perkahwinan.
“Bagaimanapun, selepas suami meninggal pada 2010, saya terpaksa berpindah ke rumah orang tua di Bukit Gambir kerana usia anak yang masih kecil dan perlu diberi perhatian. Dengan tuntutan kerja menyebabkan saya sukar menguruskan mereka secara sendirian,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Kesyukuran dan Penyerahan Kunci Rumah, Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar di kediaman baharunya di Bukit Gambir, di sini, semalam.
Hariyati berkata, dia sekeluarga lega akhirnya mempunyai kediaman sendiri yang dibina di belakang rumah ibu bapanya.
“Saya hanya bekerja di kantin sekolah dengan pendapatan sekitar RM700, memang susah kalau nak bina rumah sendiri. Tambahan pula anak-anak masih bersekolah dan ada yang menuntut di institut kemahiran menyebabkan kewangan agak terbatas.
“Tapi, syukur alhamdulillah atas rezeki yang diterima ini. Rumah memang satu keperluan dan apabila mampu memilikinya, keselesaan dan kebebasan itu lagi berganda sebab kita dapat duduk di rumah sendiri,” katanya.
Sementara itu, bapanya, Harun Parman, 71, berkata, ketika pertama kali menerima panggilan daripada pihak bomba memaklumkan mengenai projek pembinaan rumah tersebut, dia sangat terkejut dan menganggap itu hanya gurauan.
“Saya ingat itu panggilan main-main. Tapi bila mereka beritahu lebih lanjut baru saya percaya sebelum pihak bomba minta izin untuk datang ke rumah bagi membincangkan hal berkenaan,” katanya.
Terdahulu, sesi penyerahan rumah dibuat Pengarah Jabatan Bomba Negeri, Othman Abdullah.
Hariyati merupakan satu-satunya penerima di daerah ini yang dipilih secara rawak oleh pihak bomba negeri di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 (NBOS 7).
Selain Tangkak, Kota Tinggi, Mersing dan Kluang juga turut mempunyai seorang penerima bagi program itu.