Friday, December 2, 2016

Julia Ziegler Lalui Pelbagai Perasaan Sebelum Jadi Isteri Jurutera



Julia Ziegler
PETALING JAYA: Pelakon Julia Ziegler mengakui sedang melalui pelbagai perasaan   ketika dia membilang hari untuk menjadi isteri kepada seorang jurutera pada 1 Januari tahun hadapan.

Julia nama sebenarnya Julia Bob Fauzi Ziegler, 32, berkata, dia sudah bersedia segi mental dan fizikal untuk mengalas tanggungjawab sebagai seorang isteri kepada pemuda berusia 33 tahun yang mahu dikenali sebagai Johan itu.

"Sekarang tinggal sebulan sahaja lagi, macam-macam perasaan yang saya rasa, berdebar, takut dan rasa seperti nak muntah pun ada bila banyak yang difikirkan.

"Setakat ini persiapan sudah 90 peratus siap dan tinggal sikit-sikit sahaja persiapan akhir yang sedang diuruskan," ujarnya.

Julia Ziegler semakin cantik ketika membilang hari untuk menjadi isteri orang. Foto dari Instagram Julia Ziegler.
Julia ditemui pada majlis sidang media dan penggambaran drama adaptasi novel Selamat Malam Tan Sri yang diadakan di sini, Selasa.

Dalam pada itu, Julia berkata, majlis perkahwinan itu akan diadakan di kediamannya dalam keadaan sederhana dan dihadiri keluarga terdekat.

Dia juga lebih memilih tema tradisional dan dalam taman di hari istimewa itu.

"Saya buat majlis sederhana sahaja kerana saya rasa lebih santai dan boleh bermesra dengan pengunjung tanpa protokol. Saya tidak suka buat majlis di hotel mewah tapi pengunjung buat hal masing-masing sahaja.

"Saya akan jemput rakan-rakan media dan ahli keluarga kedua-dua pihak serta teman-teman artis. Saya memilih untuk tidak terlalu bermewah-mewah seperti selebriti lain," ujarnya.

Tambah Julia, dia juga menolak beberapa produk yang ingin menaja majlis perkahwinannya itu kerana tidak mahu perkahwinannya terikat dengan produk yang menaja.

"Ada yang datang untuk taja beberapa perkara dalam majlis itu tapi saya terpaksa tolak kerana saya mahu ia diadakan secara sederhana mengikut kehendak dan cita rasa saya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: