ANAK seni serba boleh, Fauziah Nawi mengakui tidak pernah menyangka dia masih lagi berada dalam industri selepas lebih 45 tahun bergelar anak seni. Biarpun ramai artis baru, namun namanya masih lagi mendapat perhatian sehingga ke hari ini.
Penglibatan anak kelahiran Ipoh, Perak ini dalam bidang seni bukan hanya sebagai pelakon, tetapi juga sebagai seorang pengarah, penyanyi, penari dan juga sebagai juruhebah radio.
“Mungkin ramai kenal saya sebagai pelakon, namun sebenarnya pada awal penglibatan saya dalam bidang seni, saya juga cukup aktif sebagai penari dan penyanyi serta pernah membuat persembahan dalam pelbagai acara.
“Ketika itu saya berumur 18 dan 19 tahun, saya sering masuk pertandingan menari dan beberapa kali jadi juara membuatkan saya mudah mendapat peluang menari di acara-acara besar selepas itu,” imbasnya yang pernah menghasilkan album Hitam Manis Berseri (1974) dan Kasihku Kasihmu (1976).
Sementara penglibatan sebagai juruhebah radio di RTM pula bermula selepas beliau menghadiri sesi temu duga yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Awam dan kemudian bertugas di Radio 4, Radio 3 Ibu Kota dan Radio 1.
Antara program radio yang pernah dikendalikan ialah Morning Show, Your Host, Non Stop Music, Before We Say Good Nite, Fascinating Malaysia, Manis-Manis Garam dan sebagainya.
“Dulu saya mahu cuba semua bidang seni kerana seronok lihat sejauh mana bakat dan kebolehan diri yang saya boleh teroka termasuk sebagai juruhebah radio yang saya minat.
“Alhamdulillah, tak sangka saya lulus temuduga tersebut dan diterima sebagai juruhebah radio dengan gaji RM180 sebulan untuk tempoh beberapa tahun sebelum saya ambil keputusan untuk aktif sepenuh masa dalam bidang lakonan.
Terima pendedahan awal
Menurut Fauziah, minatnya terhadap bidang seni lahir daripada pendedahan awal  menerusi pemerhatian terhadap pelbagai aktiviti yang berlangsung di sekitarnya.
“Saya bernasib baik kerana dulu bapa saya pengusaha kantin di Kementerian Belia dan Sukan di Taman Budaya, Jalan Ampang di mana tempat tersebut banyak menjalankan pelbagai aktiviti seni.
“Jadi setiap hari saya lihat mereka buat latihan dan macam-macam lagi aktiviti kesenian yang akhirnya turut bawa saya ke situ,” ujarnya yang juga kakak konduktor muzik Orkestra Simfoni Kebangsaan, Mustafa Fuzer Nawi.
Dalam bidang lakonan, Fauziah sebenarnya bermula di pentas teater atau ketika itu lebih dikenali sebagai sandiwara atau drama pentas.
“Penglibatan saya sebagai pelakon bermula menerusi drama pentas Tali di mana ketika itu saya digandingkan dengan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan kami berguru dengan Ahamad Yatim selaku pengarah ketika itu.
“Selepas itulah, saya mula aktif dan terlibat dalam pelbagai drama pentas sama ada yang berbayar ataupun tidak atas dasar minat yang tinggi dalam bidang seni.
“Masih ingat lagi, drama pentas pertama saya dapat bayaran adalah Si Bereng Bereng arahan Khalid Salleh, di mana ketika itu saya dapat bayaran RM400, sementara bayaran paling mahal pula menerusi Salina apabila saya dibayar RM2,000 sekitar 1980-an,” ujarnya yang telah dianugerah Tokoh Karyawan Teater di Festival Teater Malaysia, baru-baru ini.
Antara drama pentas atau teater lakonan Fauziah adalah Kena Main, Angin Kering, Korporat, pera Siti Zubaidah, Tok Perak, Topeng-Topeng, Opera Ayu Cendana, Primadona dan lain-lain.
Cabaran menempatkan diri
Sementara drama TV pula, pelakon serba boleh ini sudah berlakon puluhan drama dan masih lagi aktif sehingga ke hari ini apabila bakatnya turut diterima generasi baru menerusi lakonannya yang cukup berkesan.
“Lakonan dah sebati dalam diri saya, malah saya sentiasa semangat untuk terus aktif dalam bidang seni kerana merasakan pentas itu seperti sebahagian dunia saya.
“Kalau tidak sebagai pelakon sekalipun, saya mahu terus berkongsi ilmu dan pengalaman dalam lakonan kepada generasi muda hari ini yang berminat untuk belajar,” katanya yang kini membuka kelas lakonan.
Berkongsi tentang cabaran yang dilaluinya dalam usaha untuk menempatkan diri dalam bidang seni selama lebih empat dekad ini, Fauziah menyifatkan, hanya mereka terbaik sahaja akan berada di depan.
“Cabaran utama semua anak seni ketika itu adalah bagaimana mahu menjadi yang terbaik dalam apa sahaja yang mereka lakukan tidak kiralah dalam bidang lakonan, nyanyian, tarian dan sebagainya kerana hanya mereka yang ada kualiti sahaja akan diterima.
“Senang cerita jika seseorang itu tidak bagus, maka tiada tempat untuknya dalam bidang seni ini dan itulah yang menjadi motivasi terbesar kami untuk terus memperbaiki diri dan memberikan hanya yang terbaik.
“Dulu orang tak kisah pasal kecantikan fizikal sangat, kalau seseorang itu tiada bakat, disiplin dan tak penuhi kriteria yang melibatkan kualiti, orang tidak akan pandang,” akuinya jujur.