Thursday, June 4, 2009

TV2 nombor satu waktu perdana



IBRAHIM (kiri) dan Pengarah Urusan Utusan Airtime, Adi Satria Ahmad ketika melancarkan 'Blockbuster RTM Media Screening' di The Gardens Hotel & Residences, baru-baru ini.

RTM berusaha mantapkan lagi siaran dengan pelbagai program menarik

SALURAN TV2 menjadi pilihan nombor satu penonton dari lingkungan umur empat tahun ke atas pada waktu perdana iaitu sebanyak 16.1 peratus berbanding TV9 dengan (13.2 peratus), ntv7 (9.3 peratus) dan 8TV (7.3 peratus).

Sementara itu, rancangan Gerak Khas yang berusia sedekad adalah program nombor satu untuk semua program yang disiarkan di TV2. Program mengenai dunia kepolisan yang menemui penonton setiap Jumaat jam 10.30 malam itu menewaskan stesen televisyen lain termasuk TV3 dengan 39.0 peratus jumlah tontonan berbanding 34.6 peratus yang dicatatkan TV3 pada waktu sama.

Bagi mengukuhkan lagi kedudukan RTM yang sudah pun memasuki usia 63 tahun, RTM berusaha memantapkan lagi siarannya dengan menghidangkan pelbagai program menarik dari Jun hingga September ini bagi saluran TV1 dan TV2. Majlis RTM Media Screening itu diadakan baru-baru ini di The Gardens Hotel & Residences.

Pelbagai rancangan blockbuster bakal dihidangkan kepada penonton khususnya saluran TV2 merangkumi program terbitan tempatan dan luar negara. Bagaimanapun beberapa program dikekalkan berikutan sambutan baik daripada penonton.

RTM turut menyenaraikan pelbagai program menarik mengikut tema bulan istimewa sesuai dengan kedudukan TV2 sebagai stesen komersial saluran kerajaan itu.

Sebanyak lapan program animasi dan filem menarik disediakan untuk mengisi slot blockbuster Cuti Sekolah, Jun ini seperti Madagascar; Ice Age 2; 3 Dara, 1 Diari; Angelina Oh Angelina; Shrek 1; Click; Cheaper By The Dozen dan A.I Artificial Intelligence. Selain itu, TV2 juga menghidangkan program menarik sempena hari Merdeka, Ramadan, Raya serta sembilan filem blockbuster setiap minggu.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Ibrahim Yahaya, berkata ini adalah amalan tradisi RTM yang sentiasa menjanjikan program terbaik dan pelbagai pilihan kepada pengiklanan melalui tayang program blockbuster.

“RTM menjanjikan pulangan pelaburan kepada pengiklan dengan memastikan bahawa setiap pelaburan bakal memberikan pulangan yang baik kepada pengiklan kami.

“Pulangan pelaburan boleh meningkat dengan menyelami pengiklan kami. Bagi memastikan matlamat itu tercapai, RTM sentiasa bergerak pantas dengan meletakkan sasaran. Kami tidak meletakkan stesen lain sebagai pesaing semata-mata tetapi persaingan juga wujud antara saluran kami sendiri,” katanya.

Jika TV2 menjadi saluran komersial RTM, TV1 pula menghidangkan program bual bicara mega seperti Forum Perdana Ehwal Islam, Fenomena Seni, siaran langsung sukan dan dokumentari blockbuster seperti National Geographic.

Meraikan kehadiran Ramadan, TV1 akan menayangkan kembali siri hit, Syahadah yang memasuki musim kelima. Syahadah musim ini bakal membawa penonton menyelami kehidupan masyarakat Timur Tengah meliputi Kazakhstan dan Uzbekistan.

Program masakan yang dikendalikan Sheila Rusly, Ketuk Ketuk Ramadan turut mendapat kepercayaan TV1 untuk kembali menemui penonton sepanjang Ramadan nanti. Manakala Chef Wan pula bakal membuat kemunculan semula di dalam program masakan Sajian Ramadan Bersama Chef Wan.

Sempena Aidilfitri pula, TV2 akan menayangkan filem hebat tempatan dan Hollywood. Antara yang bakal menemui penonton ialah Cuci, Fantastic Four: Rise Of The Silver Surfer, X-Men: The Last Stand dan Impak Maksima.

Majlis RTM Media Screening yang bertemakan filem lagenda Ali Baba Bujang Lapok itu turut menggabungkan adegan daripada drama popularnya Gerak Khas yang dijayakan pelakon utama drama berkenaan. Penonton pada petang itu turut dihiburkan dengan persembahan daripada tiga artis popular tempatan iaitu M Nasir, Datuk Sheila Majid dan Misha Omar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: