Thursday, June 18, 2009

Tidak sembunyi status...Dira Abu Zahar




MELANGKAH kaki ke gelanggang seni dengan membawa gelaran sebagai isteri orang pasti memberi banyak pro dan kontranya kepada pendatang baru, Dira Abu Zahar.

Biarpun begitu, keputusan pemilik nama lengkap Khaidirah Abu Zahar yang tidak sesekali menyorokkan statusnya sebagai isteri memang begitu dikagumi peminat di luar sana.

Ada sesetengah muka baru yang tanpa perasaan berdosa atau malu mengaku masih bujang. Pengakuan yang pada akhirnya boleh memakan diri sendiri apabila rahsia sudah terbongkar.

Walhal diri sebenarnya sudahpun mendirikan rumah tangga serta beranak-pinak. Rela menipu khalayak demi mendapatkan sedikit cebisan glamor yang tiada penghujungnya dalam dunia seni.

Faktor itulah yang menjadikan Dira amat berlainan daripada yang lainnya. Apa yang cuba dimaksudkan dengan berlainan itu ialah wanita berusia 25 tahun itu ikhlas mengabdikan diri dalam bidang seni sekali gus bebas daripada serangan gosip yang sudah menjadi asam garam dalam bidang ini.

Jika melihat secara luarannya ditambah dengan memiliki susuk badan yang cukup langsing, pastinya ramai yang menyangkakan Dira masih solo. Sukar untuk ditebak wanita itu sebenarnya sudah diikat seumur hidup dalam ikatan kekeluargaan.

Hakikatnya dia sudah mendirikan rumah tangga sejak tahun 2007 bersama lelaki yang dicintainya sepenuh hati, Ash, 26, yang merupakan vokalis kumpulan Bau.

Menurut Dira, dia tidak pernah menyesal bergelar seorang isteri pada usia yang muda lalu mengambil keputusan untuk bergelar anak seni.

"Saya menyertai bidang lakonan setelah mendirikan rumah tangga. Bahkan tidak pernah sesekali pun saya menipu orang ramai tentang status sebenar saya.

"Lagipun buat apa saya ingin menyimpan rahsia kerana hakikatnya saya sudah berkahwin serta mempunyai anak di alam realitinya.

"Bagai menjadi lumrah apabila pelakon sama ada lelaki atau wanita yang masih belum berpunya akan menjadi kesayangan peminat.

"Bahkan sesetengah produser dan pengarah juga sibuk mengejar pelakon yang belum mendirikan rumah tangga untuk terlibat dalam produksi masing-masing.

"Terus-terang saya tidak mahukan glamor sebaliknya saya di sini dalam bidang lakonan sebab ingin menampilkan bakat. Ini sudah cukup membahagiakan saya.

"Cuma selepas ini saya harap pihak media tidak lagi bertanya soal perkahwinan sebab ia sudah terlalu banyak didedahkan kepada umum.

"Jangan cepat salah anggap. Bukan saya berkira tentang status tetapi saya tidak mahu orang lain fikir saya tidak ada perkara lain yang hendak dikongsi bersama peminat. Saya tidak kisah hendak bercakap perihal keluarga sebaliknya takut orang lain pula yang akan berkata tidak elok di belakang nanti," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Anak Wayang yang diadakan di Starhill Gallery, Kuala Lumpur minggu lalu.

Kalau sesetengah pelakon mengharapkan keindahan glamor yang sifatnya tidak berkekalan namun Dira pula ada pengertian lain untuk glamor.

Bagi kamus Dira sendiri, istilah glamor akan muncul sendiri dalam hidup seseorang artis jika bakat yang dimiliki mampu diluahkan dengan baik sekali gus auranya dapat dirasai oleh masyarakat.

"Sejak jadi pelakon setahun lalu, saya memang tidak biasa dengan benda-benda yang berkaitan glamor.

"Saya juga masih belum terbiasa apabila ada peminat yang tersenyum atau datang menegur kepada saya apabila berada di tempat awam.

"Entahlah, mungkin saya masih berasa diri sama sahaja macam orang lain. Tiada yang membezakan saya dengan sesiapa.

"Pada saya glamor akan datang sendiri kalau kita mampu menunjukkan lakonan yang berkualiti dalam drama mahupun filem.

"Kalau setakat ingin sertai bidang seni untuk dipuja dan meraih kemasyhuran maka lebih baik hentikan niat tersebut," jelas Dira serius sambil mempertahankan pendiriannya.

Bijak bahagikan masa

Sambung ibu kepada Tengku Anggun Deandra yang sudah mencecah usia setahun setengah, dia tidak berdepan dengan masalah untuk membahagikan waktu di antara rumah tangga dan karier seni.

"Alhamdulillah, saya tidak mengalami kesulitan untuk menguruskan keluarga dan lakonan sejak setahun yang lalu.

"Anak saya semakin meningkat usia sehingga tidak menyukarkan kepada saya untuk keluar bekerja dan menjalani penggambaran.

"Kalau tidak dapat dielakkan juga maka saya akan bawa anak ke lokasi penggambaran jika ia tidak mengambil waktu yang panjang dan seharian suntuk.

"Boleh dikatakan jarang jugalah saya bawa anak kerana ditakuti mengganggu tumpuan saya dan tenaga produksi lain.

"Kalau sudah terdesak sangat seperti tiada sesiapa menjaganya di rumah, barulah saya akan bawa anak bersama ke lokai," akui anak kelahiran Melaka itu yang teruja berbicara tentang keluarga bahagianya.

Tidak menyesal jadi pelakon

Meskipun memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam namun Dira memberitahu hatinya lebih terpaut untuk bergelar seorang anak seni berbanding kerjaya dalam bidang undang-undang.


TIDAK malu mengaku sudah bergelar isteri orang dan mempunyai anak.


Tiada sebarang kekesalan kepada Dira memilih jalan hidupnya dalam bidang lakonan yang ditafsirkan mempunyai banyak rintangan dan dugaan di laluan depannya.

"Saya pilih untuk jadi pelakon disebabkan ada minat yang mendalam untuk meluaskan bakat yang saya miliki.

"Minat lebih ke arah seni. Jadi lebih bagus kalau saya teruskan niat untuk menjadi seorang pelakon. Kini saya dalam proses pembelajaran tentang asas lakonan dan berharap untuk melibatkan diri dalam dunia perfileman pula selepas ini.

"Saya cuba untuk memperbaiki diri daripada semasa ke semasa. Saya mahu dilihat sebagai pelakon yang versatil dan tidak hanya tertumpu kepada watak stereotaip.

"Ijazah yang dimiliki ini sebenarnya penting kerana selain bergelar pelakon yang boleh membawakan apa jua watak sekalipun, saya mahu dikenali sebagai pelakon yang berpendidikan tinggi.

"Lantaran itu saya berazam untuk menyambung pelajaran sama ada dalam peringkat Ijazah atau pun Sarjana dalam pembikinan filem.

"Dalam universiti di negara kita tidak menyediakan kursus jangka pendek. Nampaknya saya kena ambil di luar negara untuk merealisasikan impian ini," jelas Dira yang juga berminat untuk menjadi orang di belakang tabir selepas ini.

Dira sebelum ini terlibat dalam kerja-kerja di bahagian belakang produksi semasa masih menuntut. Dia juga mencuba untuk berlakon sebagai ekstra sebelum kebolehannya dilihat oleh tuan pengarah bagi membawakan watak utama.

Gemar menunggang motosikal

Kalau diperhatikan, Dira secara luarannya mempunyai fizikal sebagai wanita yang lemah-lembut. Tetapi tahukah anda bahawa Dira sebenarnya merupakan seorang penunggang motosikal berkuasa besar? Cukup mengejutkan!


WAJAH eksotik Dira mampu membawanya pergi dengan lebih jauh dalam dunia lakonan.


Dira mempunyai sebuah motosikal model Sportster daripada Harley Davidson dan minat tersebut berputik sejak dia berada di sekolah menengah.

"Saya selalu ikut abang ke mana-mana terutama kalau dia berkonvoi dengan rakan-rakan yang memiliki minat sama.

"Kalau diikutkan saya tergolong sebagai wanita yang mempunyai personaliti umpama seorang lelaki. Dari dahulu hingga sekarang, saya masih sama dan tidak berubah.

"Cuma sekarang hobi menunggang motosikal besar tidak dapat dilakukan dengan kerap. Apa tidaknya, masa saya banyak dihabiskan di lokasi penggambaran tanpa mengira waktu dan hari.

"Tetapi saya tidak akan melupakan minat menunggang motosikal berkuasa tinggi. Saya pernah berdepan dengan pengalaman yang menakutkan semasa tengah gian menunggang motosikal.

"Banyak kali jugalah saya hampir terbabas semasa menunggang motosikal ini. Tetapi kerana minat, itu semua tidak menjadi masalah kepada saya," katanya pelakon yang pernah terlibat dengan drama Rona Roni Makaroni, Delima dan Merah Putih ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: