Thursday, June 4, 2009

Soseh Soseh: Hubungan Almy, Fizz masih utuh


SELASA lalu, ruangan hiburan Harian Metro, Rap menampilkan pelakon muda sedang meningkat naik namanya, Almy Nadia sebagai gadis penghias muka depan bersama Sherry Ibrahim.

Antara isi kandungan artikel ditulis termasuk mengenai hubungan cintanya mereka dengan pasangan masing-masing yang juga pelakon. Almy kini hangat bercinta dengan Fizz Fairuz dan Sherry pula dengan Ashraf Muslim.

Bagaimanapun, sebaik artikel itu disiarkan, ada seorang rakan wartawan menyampaikan berita mengejutkan kepada teman SS dengan berkata sebenarnya cinta antara Almy dan Fizz sudah putus selepas timbul perselisihan faham antara mereka.

Teman SS yang menulis artikel itu berasa cuak, bimbang jika apa yang disampaikan itu betul akan menjadikan berita disiarkan itu tidak lagi relevan kepada pembaca.

Teman SS juga yakin tidak mungkin perkara yang disampaikan itu berlaku memandangkan pertemuannya dengan Almy sewaktu menjayakan Karnival Jomheboh masih lagi baru. Kebetulan pada waktu sama Fizz turut terbabit, jadi dia dapat lihat sendiri kemesraan pasangan itu.

Tidak puas hati dengan cerita disampaikan, teman SS sempat menghubungi Fizz sendiri bagi mendapatkan penjelasan. Syukur apabila pelakon utama drama Nur Kasih itu berkata dia masih berkawan rapat dengan Almy.

Fizz sendiri terkejut apabila perkara itu ditanyakan kepadanya. Enggan mengulas panjang kerana bimbang akan timbul isu yang boleh memburukkan keadaan, dia hanya menyatakan, harap peminat mendoakan saja percintaan mereka berakhir dengan ikatan perkahwinan.

SS sendiri turut mengharapkan perkara yang sama dan selalu mendoakan Fizz dan Almy. Nampaknya apabila sudah timbul cerita sudah tidak sedap begini, Fizz dan Almy kenalah mengambil keputusan mendirikan rumah tangga secepat mungkin. SS bukannya apa takut kalau berkawan lama-lama nanti lain pula jadinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: