Monday, June 8, 2009

Sarimah sah bercerai


SarimAH bersama Amir Andrew Browning Abdullah ketika mereka masih berstatus suami isteri.


KUALA LUMPUR 7 Jun - Hanya sempat menikmati alam perkahwinan selama tiga tahun, selebriti terkenal Sarimah Ibrahim, 31, mengaku sudah bercerai dengan suaminya, Amir Andrew Browning Abdullah, 38, sejak Disember tahun lalu selepas beberapa bulan tinggal berasingan.

Ternyata, berita tersebut cukup mengejutkan industri hiburan tanah air kerana sebelum ini tidak kedengaran sebarang cerita tentang masalah rumah tangga pasangan itu.

"Sudah tertulis bahawa jodoh saya dengan Amir tidak panjang dan tiada rezeki kami untuk memanjangkan usia perkahwinan ini.

"Namun, saya dan bekas suami akan terus berkawan seperti biasa kerana tidak mungkin untuk kami memutuskan ikatan persahabatan yang terjalin sejak sembilan tahun lalu setelah mengharungi suka dan duka bersama," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun, anak kacukan Melayu-Ireland itu enggan mendedahkan perkara sebenar yang membawa kepada perceraiannya kerana menyifatkannya sebagai sesuatu yang cukup peribadi untuk dikongsi.

Sarimah dan Amir, seorang warganegara Australia dan bekerja sebagai akauntan itu mendirikan rumah tangga di Masjid Dublin, Ireland pada 13 Mei 2006 namun tidak dikurniakan cahaya mata.

Tambah pengacara Diari Akademi Fantasia musim keenam dan ketujuh itu, sepanjang setahun lalu mereka berdua cuba mengatasi perbezaan dan memperbaiki kelemahan masing-masing dalam usaha menyelamatkan rumah tangga mereka.

Namun ia tetap juga tidak berhasil dan setelah perbincangan dilakukan, kedua-duanya mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.

"Jujurnya, perceraian ini bukanlah satu perkara yang mudah dihadapi dan perlu mengambil masa untuk saya pulih seperti sedia kala.

"Mungkin juga kami tidak serasi menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Apa sahaja yang berlaku, saya menganggapnya sebagai satu suratan takdir," jelas anak sulung daripada tiga beradik itu.

Sarimah yang juga seorang pelakon dan penyanyi turut memohon agar diberi ruang dan waktu sebelum dia bersedia untuk tampil di khalayak seperti sedia kala.

1 comment:

  1. bnyak sngt uda cerai kawin artis2 malaysia nie,mcm dah jd satu trend la pulak....

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: