
“Seingat saya, kami hanya pernah berjumpa sekali sahaja, ketika sesi fotografi selepas Hari Raya beberapa tahun lepas. Selepas itu kami tak pernah jumpa apatah lagi melepak bersama jadi saya tak tahu bagaimana cerita sebegini boleh timbul,” komen Marsha yang ditemui sejurus selepas rakaman program 1..2 Jus! di Studio NTV7 kelmarin.
Mengakui sudah jelak dengan khabar-khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan lelaki, Marsha kini menerima apa sahaja yang dilemparkan kepadanya seperti angin lalu. Pun demikian, sebagai perempuan dia mengakui perasaan malu masih dirasai apabila sering dikatakan berpasangan dengan banyak nama.
“Macam Andy, saya kenal dia dah lama sebab saya pernah tinggal serumah dengan Velvet. Andy pula kawan baik Rich (suami Velvet sekarang) jadi dari situ saya kenal dia,” kata Marsha, sekali gus menepis satu lagi gosip yang merimaskannya.
Biarpun kerjaya seni Marsha boleh dikatakan belum mencapai puncak memandangkan dia masih menanti kelahiran albumnya menjadi realiti, anak kelahiran Michigan, Amerika Syarikat ini tidak betah duduk diam dan berserah kepada takdir sahaja. Menurutnya jika proses penerbitan album penuh yang sekian lama dijanjikan tidak menjadi kenyataan dalam tahun ini, dia sudah merencana ‘pelan B’ iaitu mengeluarkan album dengan modal sendiri.
Begitu pun pada masa terdekat ini, dia mahu menghadiahkan single berjudul Yang Terbaik ciptaan Edry KRU kepada peminatnya dahulu. Single berkenaan bakal dimainkan di stesen-stesen radio bermula bulan hadapan.
“Saya juga agak sibuk dengan aktiviti lakonan. Minggu hadapan saya akan mula menjalani penggambaran untuk filem 4 Madu arahan Profesor Razak Mohaideen. Saya juga terlibat dengan drama dokumentari lapan episod berjudul Qurban 44 yang akan disiarkan di Astro Citra,” ujarnya.
Satu lagi perkembangan menarik tentang Marsha, dia bijak mencari peluang niaga. Selain menubuhkan syarikat sendiri, Marsha Londoh Entertainment yang menguruskan aktiviti seni dan kegiatan kelab peminatnya, dia bakal mengeluarkan rekaan jeans sendiri.
“Di luar negara banyak artis yang melahirkan rekaan sendiri tapi tidak di negara kita. Jadi saya mahu merebut peluang ini. Mengikut perancangan, jeans yang mahu saya keluarkan kelak dibuat di kilang sama yang menghasilkan jeans untuk Victoria Beckham. Dari situ saya yakin dengan kualiti produknya. Tapi para peminat tidak perlu risau kerana harga yang dikenakan untuk jeans yang saya jual nanti pasti mampu untuk dibeli kebanyakan kita,” tutur gadis Kadazan Dusun yang menjadikan kerja sebagai eskapisme untuk melupakan segala kisah negatif dalam hidupnya ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: