|
| NAMANYA mungkin belum meniti di bibir peminat muzik tanah air malah timbul persoalan siapakah gerangan penyanyi remaja ini? |
Namun, jangan terpedaya dengan tubuh kecil atau raut wajah yang bagai si pemalu itu kerana Ikhwal Hafiz Ismail, 17, (Iqwal) membuktikan dia dilahirkan untuk memeriahkan lagi persada muzik tempatan apabila bakat seninya berjaya mendapat pengiktirafan di luar negara.
Tahun lalu, Iqwal membanggakan negara apabila berjaya merangkul empat pingat emas dan satu perak dalam Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-12 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Kejayaannya di pentas antarabangsa diteruskan apabila memenangi Anugerah Artis Antarabangsa Terbaik dalam pertandingan World Best New Talent di Kodak Theatre sekali gus membuka ruang kepadanya untuk melebarkan lagi sayap dalam pentas muzik.
Ekoran kejayaan itu, Iqwal yang bakatnya dikenal pasti sejak berusia 12 tahun, mendapat kepercayaan penuh dari Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) untuk menghasilkan album sulungnya berjudul, Iqwal '09.
Iqwal, yang berkebolehan menyanyikan lagu dalam 14 bahasa dianggap bertuah kerana berjaya menambat hati kementerian. Apatah lagi, ini pertama kali kementerian terbabit dari segi pemberian modal untuk penghasilan album artis tempatan.
Melihat keadaan ini, persoalan timbul sama ada Iqwal adalah 'anak emas' kementerian itu. Maklumlah, bukan mudah meyakinkan kementerian untuk bekerjasama dari segi sumbangan modal dalam penghasilan album, tambahan pula, artis baru.
Ketika ditemui selepas pelancaran album sulungnya di Laman Beringin, Istana Budaya, Iqwal terus menyangkal persepi yang dia dikatakan 'anak emas' kementerian.
"Saya sangat berterima kasih kepada kementerian kerana membantu merencanakan perjalanan karier menerusi penghasilan album ini.
"Tanpa bantuan kementerian, sudah tentu saya tidak akan sampai ke tahap ini. Cuma, saya harap masyarakat tidak salah faham dengan melabelkan sedemikian.
"Semua itu tidak timbul kerana apa yang dilakukan kementerian adalah bertujuan memartabatkan muzik tempatan di pentas antarabangsa.
"Tambahan lagi, saya diberitahu kementerian bersedia memberi bantuan kepada artis tempatan terutama golongan muda untuk menyerlahkan bakat ke peringkat lebih tinggi. Cuma, mungkin kali ini adalah rezeki saya," katanya.
Diajukan sama ada kementerian membiayai penuh pembikinan album sulungnya, Iqwal yang menjadikan Allahyarham Sudirman dan Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee sebagai idolanya, terus menyangkal dakwaan terbabit.
"Album ini menelan kos pembelanjaan RM125,000 termasuk promosi. Namun, bukan semua ditanggung kementerian. Daripada jumlah itu, hanya separuh yang diberi kementerian dan selainnya ditampung sendiri syarikat milik keluarga, Empire All Star Event.
"Namun, saya perlu membayar balik kepada kementerian dari segi persembahan. Maksudnya, secara automatik saya terikat dengan persembahan anjuran kementerian.
"Bagaimanapun, saya tidak anggap ia sebagai bebanan kerana ini adalah platform yang baik untuk mempromosikan album Iqwal '09," katanya.
Menariknya, album yang mengetengahkan konsep versatil itu mendapat sentuhan nama terkenal dalam dunia muzik tanah air seperti M Nasir, Pak Ngah, Audi Mok, Nas Affandi dan Jebat dengan tanggungjawab keseluruhan diserahkan kepada Hadi Hassan.
Menyentuh bagaimana anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini berjaya mendapat kerjasama komposer terkenal, kata Iqwal, semuanya bermula sebelum dia berjuang mewakili negara untuk WCOPA yang berlangsung di Los Angeles tahun lalu.
"Sebelum ke sana, saya sudah meminta untuk bekerjasama dengan mereka. Alhamdulillah, selepas melihat bakat dalam diri, mereka bersetuju menjalinkan kerjasama dengan saya.
"Walaupun tempoh proses album ini agak lama iaitu lima bulan, saya bersyukur kerana penat lelah selama ini terbayar jua. Cuma ketika ini mengharapkan reaksi positif diterima peminat muzik tempatan," katanya.
Album Iqwal '09 memuatkan lapan lagu dan tiga bonus track dilancarkan Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Kamaruddin Siaraf. Turut hadir, Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Ibrahim Yahaya dan Presiden Karyawan, Freddie Fernandez.
Tidak lengkap, tanpa menjengah persoalan mengeluarkan album ketika negara dibimbangi dengan kemelesetan ekonomi. Namun, kata Iqwal dia mempunyai pandangan tersendiri dengan fenomena berkenaan.
"Isu ekonomi gawat bukanlah penghalang kepada seseorang penyanyi untuk mengeluarkan album. Melalui penghasilan album, ia strategi baik untuk memperkenalkan artis baru seperti saya.
"Ada sekali tu, saya mendapat undangan mengadakan persembahan di Sabah dan Sarawak. Mereka tertanya siapa Iqwal, ada album atau tidak? Justeru, saya fikir dengan pengeluaran album, dapat mengukir nama di pentas muzik tempatan," katanya.
Bercerita mengenai projek selepas ini, beritahu Iqwal, dia terbabit dalam konsert Untuk Mu Sudirman di Istana Budaya (IB) bermula esok hingga 6 Jun untuk mengenang kembali jasa dan pengorbanan bintang legenda itu.
"Saya memang peminat setia Sudirman dan apabila mendapat undangan itu, memang teruja sangat. Apatah lagi, bergandingan dengan artis terkenal tanah air.
"Dalam konsert itu, saya akan menyanyikan lima lagu iaitu Patah Hati, Toyol, Gerimis Di Lautan, Hore Hore, Balik Kampung dan Salam Terakhir yang dinyanyikan secara beramai-ramai dengan artis lain," katanya.
Selain itu, anak muda ini sibuk menghasilkan album kedua yang mengetengahkan konsep pelbagai bangsa atas nasihat kementerian.
"Album kedua ini akan memuatkan lima lagu iaitu Mandarin, Tamil dan Sepanyol masing-masing satu lagu serta dua lagu Inggeris.
"Album kedua adalah cadangan kementerian dan saya fikir ia idea yang baik kerana mengajar erti perpaduan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: