MENGHIMPUNKAN kepelbagaian budaya dari tujuh buah negara, KL International Cultural Tourism Festival (KLICTF) 2009 yang bakal berlangsung 5 hingga 7 Jun ini pastinya memberi pengalaman baru kepada rakyat di negara ini serta pelancong asing.
Masakan tidak, berlangsung di perkarangan Pasar Seni, Kuala Lumpur, festival selama tiga hari itu akan dipenuhi dengan kemeriahan persembahan warna-warni kebudayaan daripada negara-negara terlibat termasuk Malaysia.
Negara-negara lain adalah Indonesia, Thailand, India, Brazil, Jepun dan Singapura.
Menyentuh mengenai elemen budaya, KLICTF bukan hanya menghidangkan persembahan tarian semata tetapi menjadi pentas kepada mempromosikan hasil kebudayaan menerusi lima elemen utama.
Elemen berkenaan adalah peralatan muzik, makanan tradisi, fesyen, jejak warisan negara serta permainan tradisional.
Dianjurkan oleh Rentasche Carriers Sdn. Bhd. bersama Kementerian Pelancongan, KLICTF mensasarkan jumlah pengunjung seramai 5,000 ke 10,000 dalam sehari.
Menurut Pengarah Urusan Rentasche, Rasydan Rahim, perasmian KLICTF akan diadakan pada 5 Jun oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.
"Bagi rakyat Malaysia, mungkin kita sudah biasa dengan budaya negara sendiri tetapi KLICTF akan membawa budaya dari negara luar.
"Ia akan bertambah menarik dengan kepelbagaian budaya yang dipersembahkan seperti dari Indonesia, Thailand, Brazil serta Jepun.
"Pelbagai demonstrasi juga diadakan membabitkan budaya setiap negara seperti batik dan kraftangan lain,'' katanya kepada Hits, baru-baru ini.
Ujar Rasydan, bersesuaian dengan himpunan kepelbagaian budaya, Pasar Seni dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana ia merupakan pusat pameran dan pembangunan kebudayaan, kesenian serta kraf Malaysia.
Selain itu, jelasnya, Pasar Seni merupakan antara lokasi pelancongan yang paling ramai dikunjungi pelancong asing.
"Lokasinya amat strategik dan mudah untuk sampai ke Pasar Seni melalui pengangkutan awam.
"Ditambah dengan cuti sekolah, kita mengharapkan KLICTF akan dikunjungi oleh ramai pihak,'' tambahnya.
Pertama kali menganjurkan KLICTF, Rasydan mengharapkan agar pengunjung dapat menjadikan penganjuran program itu sebagai tapak untuk menerokai dan membina jaringan hubungan menerusi aspek kebudayaan pelbagai negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: