|
 |
| ULANG tahun perkahwinan yang seharusnya diraikan penuh kegembiraan dan kesyukuran pada 3 April lalu, bertukar menjadi episod hitam dalam kehidupan penyanyi Dewi Sandra Killick, 29. |
Mahligai yang dibina bersama suami tercinta, Glenn Fredly, kini dilanda badai.
Kurang 20 hari meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga, Dewi yang menikahi penyanyi R&B tersohor Indonesia itu pada 3 April 2006, menerima khabar menyedihkan.
Glenn menfailkan penceraian melalui surat yang dikeluarkan Pengadilan Agama Jakarta Selatan pada 12 Mac lalu.
Sedih dan kebingungan, apatah lagi dihukum tanpa mengetahui sebab musabab dan punca sehingga Glenn bertindak sedemikian, wanita campuran Inggeris dan Indonesia ini bagaimanapun berusaha menyelamatkan rumah tangganya kerana cinta yang menebal terhadap penyanyi popular dengan lagu Januari itu.
Menyedari penceraian hanya berlaku dengan persetujuan kedua-dua pihak memandangkan perkahwinan mereka dilakukan secara berdaftar kerana Glenn tidak bertukar agama Kristian kepada Islam, Dewi melantik peguam belanya untuk mempersoalkan tindakan suaminya yang inginkan perpisahan.
Selepas pelbagai usaha dilakukan, Dewi akhirnya akur dengan keputusan Glenn yang bertekad menceraikannya dan tidak sedikitpun menunjukkan usaha memperbaiki hubungan, sekali gus menyelamatkan ikatan kasih mereka.
"Saya ikhlas, tapi bukan pasrah. Pasrah dan ikhlas adalah dua maksud berbeza. Selepas pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan rumah tangga kami, saya tidak tahu harus berbuat apa lagi.
"Saya tidak nampak jalan penyelesaian seandainya satu pihak saja yang berusaha memperbaiki keadaan sedangkan pihak sebelah sana tetap dengan keputusan bercerai.
"Jujur saya katakan, saya masih mencintai dia dan sangat sayangkan perkahwinan ini.
"Saya tidak rela menjadi janda untuk kedua kali selepas perkahwinan pertama dulu juga berakhir dengan kegagalan.
"Namun, sebagai wanita saya juga punya harga diri. Jika suami tidak lagi menginginkan, apakah saya harus terus merayu sedangkan cintanya tiada lagi," katanya.
Menerusi prosiding penceraian mereka, beberapa perkara dibangkitkan majlis hakim namun, dipercayai perbezaan agama serta kewujudan orang ketiga adalah punca utama masalah rumah tangga mereka.
Glenn yang dikatakan sedang menjalin cinta dengan model terkenal Indonesia adalah penganut agama Kristian sementara Dewi seorang Muslim. Mereka berkahwin secara sivil kerana Glenn enggan meninggalkan Kristian.
"Tidak wujud sama sekali orang ketiga dan begitu juga soal pertentangan agama kerana selama berkahwin kami tidak pernah membangkitkannya.
"Dia tetap dengan ajarannya dan saya menjalani kehidupan sebagai Muslim.
"Pokoknya, saya tidak tahu apa alasan Glenn kerana saya sendiri tidak dijelaskan apa-apa. Malah, sejak berumah tangga saya menyerahkan 100 peratus kehidupan saya kepadanya hingga bidang glamor pun sanggup saya ketepikan kerana mahu menjadi isteri yang baik.
"Mungkin ini namanya takdir. Tidak seperti mula-mula dulu sekarang saya juga tidak perlukan sebarang penjelasan kerana sudah menerima takdir Tuhan ini dengan hati yang rela dan terbuka.
"Mungkin disebabkan itu sampai sekarang saya dan Glenn masih boleh berbual dan sekali-sekali mengirim SMS bertanya khabar.
"Walau apapun berlaku, saya enggan bermusuh dengannya dan masih mahu menjadi kawan kerana dia adalah insan yang pernah saya sayang," katanya.
Sidang perceraian Glenn dan Dewi sampai saat ini masih berjalan di Pengadilan Negeri Jakarta Selatan.
Dewi yang pernah menjanda ternyata senang jika penceraian itu dapat dibatalkan.
"Kalau manusia hidup tanpa ada harapan pasti akan hampa. Alhamdulillah, kalau itu (rujuk kembali) bisa terjadi," katanya.
Sebelum Glenn, wanita yang dilahirkan di Brazil ini pernah mengahwini aktor kacak Surya Saputra, yang khabarnya sedang menjalinkan hubungan dengan Cyntia Lamusu.
Hanya beberapa bulan bergelar janda Surya, Dewi dan Glenn melangsungkan perkahwinan secara tertutup di Bali yang juga tarikh sama Dewi meraikan ulang tahunnya yang ke-26.
Perkahwinan itu mengundang tanda tanya dan menguatkan lagi khabar angin bahawa Dewi berlaku curang kerana menjalin hubungan sulit dengan Glenn ketika masih isteri Surya.
Mungkinkah dugaan yang sedang menguji Dewi ini adalah hukum karma atas perbuatannya terhadap Surya selain kesanggupannya membelakangkan agama demi mengejar sebuah cinta?
Biar apapun hukuman bakal dijalani, yang pasti Dewi tenang saat berhadapan dengan masalah rumah tangganya meski dirundung duka.
Model, pelakon dan penyanyi popular dengan lagu Ku Akui ini tidak mahu perceraiannya dengan Glenn menjadi halangan dan beban untuk berkarya apatah lagi merencatkan promosi album terbarunya, Wanita.
"Saya seorang yang selalu berfikiran positif dan menjalani masalah kalau itu sudah ketentuan-Nya. Saya tidak mahu memusnahkan karier saya hanya kerana dibelenggu hal peribadi," katanya.
PROFIL DEWI
NAMA: Dewi Sandra Killick
NAMA KOMERSIAL: Dewi Sandra
TARIKH LAHIR: 3 April 1980
UMUR: 29 tahun
BINTANG: Aries
TEMPAT LAHIR: Brazil
ALBUM: Biarkan, Kurasakan, Menari-Nari (Bersama Model Indonesia), Tak Ingin Lagi, Kuakui dan When I Fall In Love (Single Duet Dengan Glenn Fredly)
DRAMA: Disaksikan Bulan dan Aku Cinta Kamu.
PENGALAMAN MENGACARA: Indonesian Idol dan Clear Top 10
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: