Saturday, June 6, 2009

Emosi Green Day




Trio berasal dari Amerika Syarikat kembali beraksi bersama Century Breakdown

MEREKA mengambil keputusan berani untuk berehat seketika selepas menyelesaikan konsert jelajah American Idiot yang berakhir pada penghujung 2005.

American Idiot membawa transformasi kepada tiga nama yang membentuk Green Day iaitu Tré Cool, Billie Joe Armstrong dan Mike Dirnt, malah produksi itu juga meletakkan mereka sebagai antara band popular serta mengecapi segala yang pernah dirasai U2.

“Kebanyakan band akan membawa haluan sendiri selepas tiga tahun tidak beraksi bersama,” kata pemain bass, Dirnt, 36, dalam satu temu bual baru-baru ini.

Kembali berani, sekali lagi mereka mengambil risiko dengan memainkan lagu terbaru, petikan daripada 21st Century Breakdown yang menemui peminat sejak 15 Mei lalu.

Produksi yang memberi makna besar kepada Armstrong, Dirnt dan Cool apatah lagi selepas American Idiot menerima sambutan hebat pendengar.



“Selepas American Idiot, kami tertanya apa lagi yang boleh dilakukan? Kami meletakkan penanda aras yang tinggi dalam pembikinan album itu, jadi produksi terbaru juga harus melebihi apa yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Kami mencabar diri dengan memastikan pembikinan produksi ini mampu menandingi American Idiot, namun keseluruhan proses menyiapkannya dibuat cukup berhemah,” kata Armstrong, 37.

Menyiapkan album itu juga kata Armstrong, membuatkan mereka kalut namun pada masa sama merasai keseronokannya.

“Ia menjadi faktor penggalak yang mendesak kami mencapai sasaran lebih tinggi,” katanya lagi.

Diterbitkan Butch Vig, pemain dram Garbage yang bertanggungjawab dalam pembikinan album Nirvana, Nevermind, sesi awal rakaman dibuat di ibu pejabat Green Day di Oakland.

Lokasi itu mengundang nostalgia kepada mereka kerana di situ Dirnt dan Armstrong pertama kali bertemu, malah mengimbas pengalaman sukar ketika menempuh alam remaja.

Armstrong kehilangan bapanya kerana kanser, manakala permasalahan keluarga membuatkan Dirnt membawa diri dan menumpang tidur di rumah temannya untuk beberapa ketika.

“Selera muzik kami yang semakin membesar membuatkan kami bertambah rapat. Kami juga menyukai punk rock pada waktu sama,” imbas Armstrong.

Album itu dibahagikan kepada tiga senario; Heroes and Cons, Charlatans and Saints dan Horseshoes and Handgrenades dengan mengekalkan elemen muzik opera rock seperti yang terkandung dalam album American Idiot.

“Kami melihat apa yang berlaku malah sangat bertuah menjadi sebahagian daripadanya terutama menatap bagaimana muzik dimainkan dalam keadaan mentah,” katanya.

Era pemerintahan Bush serta tragedi 11 September membuatkan Armstrong tidak mampu berdiam diri. Dia menyuarakan pandangannya mengenai perang di Iraq serta kekeliruan dan kebimbangan yang melanda Amerika Syarikat.

“Saya mula menyentuh mengenai isu sosial menerusi album Warning yang diterbitkan pada 2000, namun American Idiot memberi saya lebih keyakinan untuk menyuarakan pandangan dengan lebih berani,” katanya.

Meskipun sudah mula menikmati sedikit perasaan lega selepas Obama menaiki takhta pemerintahan, namun perasaan ragu dan bimbang masih bersarang di hatinya.

“Era yang mengelirukan serta penuh tanda tanya dan itulah yang menjadi teras kepada album terbaru kami. Ia mengenai berakhirnya sebuah era dan permulaan era yang baru.

“Kita tahu bagaimana era lalu berakhir dan kini sedang meneliti permulaan era baru. Pada suatu peringkat saya semakin optimistik namun kebanyakan lagu meluahkan kekalutan dan kekeliruan ketika berdepan saat yang mendesak.

“Saya rasa sebahagian besar rakyat Amerika merasai itu. Kita tidak mampu meramalkan masa depan namun kita percaya kepada satu harapan baru terutama dengan pemilihan Obama,” katanya.

Pembikinan 21st Century Breakdown ternyata memberi kesan mendalam kepada Armstrong, malah mengakui ketika ini sukar untuk dia melangkah keluar dan menempuh dunia yang lebih besar.

“Ia cukup menyukarkan apabila terpaksa membataskan diri tanpa mengetahui apa yang difikirkan orang lain. Saya masih mencari makna di sebalik sesuatu lirik,” katanya.

Lebih dua dekad membentuk Green Day, ketiga mereka percaya antara pencapaian terbesar apabila mereka masih mampu bertahan untuk jangka masa panjang.

“Saya sangat berbangga kerana kami masih bersama. Kami melalui saat suka dan duka namun itu lumrah dalam sebuah pertalian. Kami saling menghormati antara satu sama lain, malah sentiasa menghabiskan masa bersama.

“Ia sesuatu yang jarang berlaku kerana kebiasaannya sesebuah kumpulan tidak akan mampu bertahan lebih daripada lima tahun,” kata Dirnt.

Tambahnya lagi, mereka juga berbangga kerana diberi kelebihan untuk memperjuangkan muzik rock malah sentiasa mencabar diri untuk terus menyumbang sesuatu kepada pembangunan genre itu.

“Kami menyukai rock, mencintai sejarahnya malah meminati genre itu tidak kira ia baru atau lama. Kami tidak mengambilnya sambil lewa, sebaliknya percaya akan ada sesuatu kebaikan di sebalik perjuangan ini,” katanya.

Sejarah Green Day:

  • TRIO rock Amerika ini ditubuhkan pada 1987 dianggotai Billie Joe Armstrong (vokal, gitar), Mike Dirnt (bass, vokal) dan Tré Cool (dram, perkusi).

  • ASALNYA mereka adalah sebahagian daripada kumpulan punk rock yang bermain di 924 Gilman Street, Berkeley, California. Rakaman awal bersama label bebas, Lookout! Records membuka ruang untuk mereka membina kelompok peminat tersendiri.

  • APABILA Green Day menyertai label besar, sebahagian peminat mereka mula menjauh namun album perdana, Dookie pada 1994 mencipta kejayaan besar apabila dijual melebihi 10 juta salinan di Amerika Syarikat.

  • PENCAPAIAN itu meletakkan mereka sehangat The Offspring dan Rancid, malah membantu untuk mempopularkan punk rock di Amerika Syarikat. Mereka seterusnya melahirkan album Insomniac, Nimrod dan Warning namun tidak mencatat kejayaan besar seperti Dookie.

  • BAGAIMANAPUN album rock opera, American Idiot yang dihasilkan pada 2004 mencetuskan fenomena baru kepada Green Day terutama kepada peminat muda dengan jualan melebihi lima juta salinan di Amerika Syarikat.

  • ALBUM kelapan mereka, 21st Century Breakdown diedarkan pada 15 Mei lalu. Sepanjang karier, Green Day berjaya menjual lebih 22 juta salinan album di samping memenangi tiga Anugerah Grammy iaitu Album Alternatif Terbaik menerusi Dookie, Album Rock Terbaik (American Idiot) dan Rekod Terbaik menerusi Boulevard of Broken Dreams.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: