HIMPUNAN anugerah membuktikan Sheila sebagai permata berharga kepada industri lakonan. |
Sheila Rusly, Jinggo terkenang detik sukar menggapai impian dalam bidang seni
SEDIKIT kesenangan yang dipinjamkan Tuhan kepadanya tidak sesekali membuatkan dia gelap mata, sebaliknya anak seni berwibawa ini menyifatkan semua itu sebagai ujian Allah supaya dia tidak alpa akan nikmat pemberian serta anugerah-Nya.
‘Kemewahan’ andai itu dinilai daripada pandangan mata kasar orang lain, kata Sheila Rusly, tidak datang bergolek kerana segala apa yang diraih adalah hasil jerih perih dia dan suaminya, Azman Yahya atau Jinggo bertitik tolak daripada keinginan untuk mengubah hidup mereka.
Tanpa berselindung Sheila mengakui, sejak hari pertama dia menjejakkan kaki ke lokasi penggambaran sudah tertanam impian di sudut hatinya untuk bergelar penerbit suatu hari nanti.
Biarpun ketika itu hala tujunya dalam industri hiburan masih kabur, namun anak kelahiran Kuala Lumpur bertekad, impian besarnya itu pasti akan direalisasikan apabila tiba masanya.
Ternyata Tuhan mengabulkan doanya dan pada 2004, JS Pictures ditubuhkan. Pada permulaan operasi, mereka hanya menumpang di sebuah pejabat kecil, sekadar berbekalkan sebuah telefon dan mesin faksimili.
| BERSAMA Jinggo yang merealisasikan misi mereka bersama untuk mempertingkatkan mutu drama tempatan. |
Segala urusan perbincangan pula dilakukan di luar. Berdikit mereka menabung, hari ini pasangan suami isteri sudah mampu tersenyum lebar. Atas segala jimat cermat serta perancangan teliti, bermula awal Jun lalu mereka berpindah ke ruang pejabat sendiri di Platinum Walk, Danau Kota.
Bercerita mengenai perjalanan panjangnya dalam bidang seni, Sheila berkata, keinginan untuk membina rumah produksi sendiri bertitik tolak apabila Azman atau lebih dikenali sebagai Jinggo menerima tawaran mengarah daripada Radius One untuk telefilem Enot.
Tawaran itu kata Sheila, agak mengejutkan kerana ketika mendirikan rumah tangga dengan lelaki itu dia cuma mencari kebahagiaan tanpa pernah menyangka akan membuka pintu rezeki baru kepada mereka berdua.
“Saya tidak nampak ‘cahaya’ di wajah Jinggo untuk dia bergelar pengarah. Tetapi apabila dia bercerita mengenai tawaran itu, saya katakan padanya mengapa tidak merebut peluang pertama yang datang kerana kesempatan berharga itu mungkin tidak berulang.
| BARISAN pelakon yang menghangatkan drama Cucu Betong. |
“Saya cuma berpesan lakukan yang terbaik dan alhamdulillah, Enot menjadi titik permulaan yang bermakna buat kami berdua.
“Kami membina nama bersama menerusi telefilem itu. Memang sebelum ini orang mengenai saya sebagai pelakon tetapi tiada siapa yang nampak kualiti dalam diri Sheila Rusly sebagai anak seni.
“Mungkin sudah tertulis rezeki kami, drama itu mendapat sambutan dan saya pula menerima anugerah pertama apabila memenangi trofi Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006,” kata Sheila mengimbas detik permulaan terbinanya JS Pictures.
Melewati usia empat tahun penubuhan, Sheila bersyukur kerana kredibiliti JS Pictures semakin diakui malah syarikat itu sudah mampu bernafas selesa dengan pelbagai tawaran.
Bagaimanapun, kata Sheila, pencapaian pantas itu bukan terletak di tangan mereka berdua semata-mata. Sebaliknya, banyak pihak memainkan peranan terutama mereka yang terbabit dalam produksi terbitan JS Pictures selain penonton yang menjadi kekuatan mereka.
Ketika enak mengulit rahmat yang diberikan Tuhan, Sheila berkata, dia sentiasa ingat akan perjalanan hidup yang ada pasang dan surutnya.
“Disebabkan itu apabila sudah berada pada tahap ini, saya sentiasa beringat dan berwaspada terutama mengenai kualiti penerbitan.
“Dalam apa juga hal, kualiti menjadi keutamaan dan saya tidak akan memberikan produk sekadar melepas batuk di tangga.
“Alhamdulillah usaha itu juga sentiasa disokong oleh suntikan idea daripada pelbagai pihak yang setia bersama kami dan mahu maju bersama JS Pictures. Kesetiaan mereka membuatkan kami begitu terharu,” katanya.
Ditemui pada majlis kesyukuran sempena penggambaran drama bersiri terbaru, Cucu Betong siaran slot Legenda di TV3, Sheila berkata, sudah menjadi prinsip dia dan suami untuk tidak membuat sebarang pinjaman dalam urusan perniagaan.
Baginya, biar susah bagaimana sekali pun untuk menggerakkan sesuatu produk mereka lebih selesa menabung daripada menanggung beban hutang.
“Saya bernasib baik kerana suami mempunyai asas dalam bidang perbankan, jadi ini memudahkan kami menyusun perancangan.
“Kami melabur wang tabungan sebanyak RM75 ribu untuk menerbitkan drama pertama, Sesudah Talkin pada 2005 dan projek itu sebenarnya adalah hidup dan mati kami.
“Syukur kerana drama itu diterima dan daripada situ, kami mempertingkatkan kualiti dengan memberikan pelbagai idea baru dalam tontonan penonton.
“Andai dulu dalam setahun kami hanya berani menerbitkan dua telefilem tetapi sekarang dalam sebulan kami cuba menerbitkan satu program tidak kira telefilem, drama bersiri atau program lain,” katanya.
Sengaja diusik akan kehidupannya yang mungkin dilihat mewah, Sheila cuba merendah diri kerana baginya, kemewahan itu boleh dinilai daripada pelbagai sudut.
Limpahan wang ringgit semata-mata katanya, tidak menjanjikan kemewahan total kerana itu bukan kemuncak kepada segala-galanya.
“Kami tidak terlalu mewah sebaliknya kami orang susah yang berduit. Kemewahan itu sesuatu yang subjektif dan apa yang dapat saya katakan, alhamdulillah kerana semua yang diperoleh ini adalah atas usaha kami sendiri,” katanya.
Kotakan janji siap produksi sebelum Ramadan
SEPERTI tahun terdahulu, pelakon berusia 39 tahun ini setia dengan janjinya untuk tidak terbabit dalam apa-apa aktiviti seni sepanjang Ramadan.
Disebabkan itu kata Sheila, dia berusaha menyiapkan semua urusan menjelang Ogos dan bersedia menangguhkan penggambaran telefilem, Taubat Nasuha yang sudah disediakan slot oleh stesen televisyen untuk siaran Aidilfitri nanti.
“Mungkin Tuhan mahu menduga apakah saya gelap mata dengan wang ringgit atau bagaimana apabila diberikan rezeki ini. Tetapi ini janji saya kepada Tuhan dan saya tidak mahu mungkir.
“Biarpun tertunda, drama itu akan disiapkan untuk siaran Aidiladha nanti. Saya terpaksa menunda kerana kebetulan menjelang Ramadan, kami perlu menyiapkan Cucu Betong yang akan bersiaran November depan.
Kesinambungan drama bersiri Anak Betong itu memperlihatkan kesungguhan Sheila mempertingkatkan mutu penerbitan apabila memilih nama terbaik dalam industri bergabung dalam produksi itu.
Mudah bagi Sheila kerana bekerja dengan mereka yang terbaik akan membuahkan produk berkualiti dan begitulah sebaliknya.
Drama Cucu Betong menampilkan Sheila beraksi di samping Emelda Rosmila, Sofia Jane, Noorkhiriah dan Shahronizam yang memperlihatkan penggunaan efek untuk memberi sesuatu yang berbeza kepada khalayak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: