Thursday, June 4, 2009

Aizat mencari Jakarta




Melihat jumlah peserta program realiti Akademi Fantasia (AF) yang dilahirkan selama tujuh tahun ini, tidak ramai yang mampu bertahan atau menyerlah selepas keluar daripada kepompong AF.

Mereka yang masih 'hidup' dalam industri boleh dikira dan jika mahu mengambil kira kategori yang berpotensi untuk terus bernafas, skalanya semakin mengecil.

Namun, program AF bukannya gagal sepenuhnya. Daripada jumlah itu, bekas pelajar AF5, Muhammad Aizat Amdan (Aizat) boleh dikatakan produk paling berjaya AF. Bukan sahaja menyaksikan transformasi daripada segi imej, muzik Aizat juga melalui perubahan ketara.

Baru sahaja pulang dari Varna, Bulgaria sebagai wakil tunggal Malaysia untuk pertandingan Festival Muzik Pop Antarabangsa - Discovery 2009 yang berlangsung pada 10 hingga 11 Mei lalu, Aizat berjaya mendapat tempat ketiga bagi kategori Lagu Terbaik serta menerima Anugerah Khas Juri.

Bakatnya turut diiktiraf industri muzik tempatan. Penyanyi berusia 20 tahun itu baru sahaja merangkul trofi Vokal Lelaki Terbaik Dalam Lagu pada Anugerah Industri Muzik 16 (AIM16) pada 2 Mei lalu.

Kejayaan itu semua diperolehi menerusi album sulungnya, Percubaan Pertama. Pelaburan dan rintangan yang dihadapi Aizat terbukti tidak disia-siakan dengan pengiktirafan dan kejayaan setakat ini.

Malah baru-baru ini, dia menerima empat pencalonan untuk Anugerah Planet Muzik (APM) Kesembilan yang bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 18 Julai nanti.

Keempat-empat kategori itu adalah Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Artis Baru Lelaki), Artis Lelaki Terbaik, Album Terbaik dan Artis Malaysia Paling Popular.

"Secara jujur, saya rasa keempat-empat pencalonan itu adalah satu penghargaan besar terutama untuk kategori Album Terbaik. Hanya dua penyanyi Malaysia sahaja yang tercalon iaitu saya dan kumpulan Hujan.

"Selebihnya ialah penyanyi dari Indonesia iaitu Yovie & Nuno, Kotak dan Afgan. Semuanya saingan yang sengit," kata Aizat ketika ditemui pada sidang media mengumumkan APM 2009, di ibu kota, baru-baru ini.


BAKAT muda yang bukan hanya tahu menyanyi, tetapi juga bijaksana mencipta lagu dan melodi indah.


Memulakan karier dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu yang dipertandingkan dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Artis Baru Lelaki), Aizat tidak pernah menyangka dirinya akan dicalonkan untuk APM 2009.

"Rasanya perjalanan karier saya masih jauh lagi. Oleh kerana itu, saya tidak pernah sangka saya akan 'diberi' tempat dalam APM. Saya hanya mula mengikuti APM sejak dua tahun lalu dan merasakan APM itu unik kerana melibatkan pemuzik tiga buah negara," tambah Aizat.

Tidak mahu memberikan tekanan kepada dirinya, Aizat memberitahu apa yang membuatkan dirinya lebih teruja kali ini adalah lokasi penganjuran majlis iaitu di Jakarta, Indonesia.

"Misi saya ialah untuk pergi ke Indonesia dan membuat persembahan di sana. Kalau setakat dapat pencalonan sahaja tidak mencukupi untuk memperkenalkan diri kepada orang Indonesia.

"Saya harap diberi peluang untuk membuat persembahan pada malam itu sebagai platform menembusi pasaran Indonesia," jelas Aizat yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di Melbourne, Australia sekitar hujung tahun ini.

Belum pernah membuat persembahan di Indonesia, Aizat juga tidak menaruh harapan terlalu tinggi untuk pencalonan kali ini. Apa yang penting adalah pengalaman yang akan dikumpul untuk membantu kariernya pada masa akan datang.

"Kalah menang itu adalah bonus bagi saya. Peluang untuk berada di majlis-majlis sebegini akan saya gunakan sebaik mungkin untuk berkenalan dengan orang baru dan berkongsi idea dengan mereka yang lebih berpengalaman dalam industri," tuturnya.

Popular dengan lagu, Lagu Kita dan terkini, Fikirlah, penyanyi muda itu merasakan peluang untuk Malaysia membawa pulang anugerah adalah cerah. Berdasarkan kenaikan jumlah pencalonan tahun ini, Aizat memberitahu progres industri muzik kita semakin meningkat.

"Jumlah pencalonan kita naik sebanyak 50 peratus dan Indonesia pula mencatatkan penurunan ketara. Ini bermaksud industri muzik kita sudah berkembang dan boleh dikatakan setaraf dengan Indonesia," tambah Aizat.


PERJALANAN yang masih panjang, Aizat mahu menerobos pasaran Indonesia selepas ini.


Menerima banyak tawaran persembahan semenjak pulang dari Bulgaria, Aizat kini sibuk menggubah lagu sebagai persedian untuk merakamkan album keduanya.

Sudah siap menghasilkan single, Susun Silang Kata yang dicipta oleh abangnya, Anas dan Aizat sendiri untuk album kedua, dia mengehadkan masa enam bulan untuk menyiapkan produk itu.

Namun, buat masa ini dia mempertaruhkan lagu barunya, Kau Aku sebagai kajian bagi mencari konsep album keduanya.

"Buat masa ini saya masih mengumpul lagu. Lagu Kau Aku dijadikan tesis untuk diuji di pasaran. Jika lagu itu mendapat sambutan, album kedua saya akan menjurus kepada konsep itu.

"Harap-harap semuanya berjalan lancar dan saya boleh menghadiahkan album kedua ini selewat-lewatnya penghujung tahun kepada peminat," jelasnya yang merupakan anak kelima daripada enam beradik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: