Saturday, November 27, 2010

Lancar album solo sulung

pix_middle

BERGELAR selebriti tidak hanya mempertaruhkan bakat dan komitmen pada kerja semata-mata.

Pada khalayak, selebriti menjadi idola dan sering menarik tumpuan ramai.


Atas sebab itu, selebriti perlu menjaga penampilan mereka agar tidak disalah erti masyarakat hingga menjurus pada pandangan negatif dan mencetuskan kontroversi.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Bagi penyanyi yang makin meningkat nama menerusi bidang lakonan, Nadia Aqilah, segelintir berpandangan gadis berusia 25 tahun ini cukup berani mendedahkan sebahagian tubuhnya ketika hadir pada acara hiburan.


Namun, Nadia menyatakan dia bukan mahu bersikap kurang sopan seperti mana tanggapan orang sekeliling yang memandangnya. Sebaliknya, dia percaya selebriti harus peka dengan penampilan mengikut konsep serta tema majlis yang dihadiri.


"Soal imej, saya sendiri ambil berat dengan apa yang dipakai setiap kali muncul depan khalayak. Mungkin saya dikatakan seksi, tetapi saya masih tahu menjaga penampilan diri agar tidak keterlaluan."Ketika di luar bukan atas komitmen kerja, saya selesa mengenakan baby-T dan jean. Saya memang suka penampilan ringkas sebegini.


"Buat masa ini, saya tidak pernah ditegur penampilan yang sangat seksi. Namun, saya tetap ambil perhatian pada pandangan orang lain pada saya.

"Saya percaya pandangan mereka juga penting dan membantu meningkatkan imej saya agar lebih baik. Tidak kira di mana saya berada, saya lebih berhati-hati dengan penampilan sendiri.


"Saya tidak mempunyai perunding imej, tetapi saya sering melakukan kajian di Internet termasuk mendapatkan pandangan pereka fesyen," katanya.


Menyelami perjalanan kerjayanya, Nadia menyatakan dia kini sibuk dengan persiapan melancarkan album debut yang mengambil judul namanya pada 8 Disember nanti.


Tampil dengan genre R&B, dia mahu memperkenalkan diri sebagai penyanyi solo berbanding pembabitan bersama kumpulan Luscious ketika menyertai program realiti, Gang Starz musim pertama, empat tahun lalu.


"Ramai yang menyokong perjuangan karier solo saya. Begitu juga menghasilkan album umpama mengejar mimpi yang menjadi kenyataan.


"Walaupun solo, hubungan saya bersama anggota Luscious, Nur Shafinaz Mokhtar dan Ruzana Ibrahim masih baik. Sebenarnya mereka juga mempunyai fokus pada matlamat lain.


"Memang tidak dapat dinafikan, pengalaman bersama Luscious dan Gang Starz banyak membantu saya mengorak langkah sebagai penyanyi.


"Saya percaya Luscious dan Gang Starz memberikan jenama kuat pada perkembangan karier saya hingga dikenali ramai. Mungkin jika ada rezeki pada masa akan datang, kami akan bergabung semula menyanyi di pentas," katanya.


Mengenai album baru, Nadia pernah berhasrat tarik diri untuk terus jadi penyanyi kerana merasai cabaran menghasilkan album begitu mencabar dan memerlukan belanja yang banyak.


"Mempunyai album debut solo ini adalah impian yang saya tunggu selama ini. "Berbanding penyanyi lain yang menghasilkan single, saya bertuah kerana muncul bersama album penuh.


"Saya bersyukur kerana label Lakefront Record mahu bekerjasama dan menyokong usaha saya menghasilkan album ini. Menariknya, mereka menanggung kos penerbitan album ini.


"Sejujurnya saya sangat puas dengan hasil album ini. Banyak pengalaman berharga saya timba dari awal pembikinan lagu hingga album ini siap.


"Pengalaman ini cukup menarik dan untuk memberi kepuasan, label memberikan saya kebebasan untuk tonjol kreativiti saya sendiri. "Sebanyak 10 lagu baru ditampilkan dalam album saya ini. Semua lirik adalah hasil karya saya sendiri termasuk bekerjasama dengan komposer Daniel Veerapan.


"Saya menampilkan dua single iaitu D.I.V.A untuk lagu Melayu manakala Free dalam bahasa Inggeris. Sebanyak tujuh lagu dalam bahasa Inggeris dan tiga lagu Melayu termasuk Percaya dan Teman.


"Sebenarnya, saya memang berminat menulis lirik sejak zaman sekolah. Bagi saya, membaca dan menulis adalah terapi terbaik untuk diri sendiri.


"Album ini boleh dikatakan luahan ekspresi hidup saya yang mengisahkan perjalanan hidup saya termasuk kisah cinta, persahabatan dan kegagalan yang pernah dilalui," katanya.


Kata Nadia, pemilihan lebih banyak lagu bahasa Inggeris dalam album ini adalah idea label sebagai strategi pemasaran terbaik untuk menembusi pasaran antarabangsa.


"Untuk lagu Free, saya juga duet bersama penyanyi rap antarabangsa, Chrome Cats. Label ini sebenarnya mempunyai cawangan di Los Angeles.


"Adanya lagu sebegini, ia memberi peluang untuk pasarkan lagu saya ke sana. Bagi saya, muzik sepatutnya tiada jurang menerusi bahasa tertentu.


"Saya percaya jika pemasaran dilakukan dengan strategik dan saya sendiri mengukuhkan jenama dan imej di sini, lagu kita mempunyai potensi diminati peminat luar negara," katanya.


Mengenai lakonan, Nadia berkata dia mahu berehat seketika untuk memberi fokus pada promosi album debutnya ini. Namun, dia berharap dapat kembali berlakon pada tahun depan.


"Kini, saya juga terbabit dengan satu pementasan teater muzikal. Maklumat mengenai pementasan ini masih belum boleh diceritakan dan tunggu saja pengumuman dari pihak produksi nanti.


"Antara berlakon teater dan drama, kedua-duanya memberi keseronokan dan pengalaman berbeza. Jika drama lebih pada cabaran beraksi depan kamera, teater pula lebih mencabar ekspresi diri berlakon secara langsung depan penonton.


"Sejak mula terbabit dalam bidang seni, saya suka mencuba apa saja bidang termasuk pernah menjadi penari dan penyanyi latar.


"Atas komitmen pada nyanyian dan lakonan, saya harus memberi fokus sepenuhnya. Soal kahwin, saya rasakan belum sampai masanya lagi.


"Apa yang penting, saya mahu kerja keras untuk capai kejayaan dalam bidang seni ini dan mungkin suatu hari nanti, saya ingin mencapai impian terbesar menghasilkan konsert solo," katanya.




>PROFIL:
NAMA: Nadia Aqilah Bajuri
TARIKH LAHIR: 16 Ogos 1985
USIA: 25 tahun
ASAL: Subang Jaya, Selangor
KERJAYA: Penyanyi, penari dan pelakon
STATUS: Bujang
DRAMA: Emil Emelda, Sindarella, Merah Putih dan Tari Tirana
TEATER: Puteri Gunung Ledang The Musical (2005) dan P Ramlee The Musical (2008)
PENCAPAIAN: peserta Gang Starz musim pertama (2006)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: