MINGGU lalu, ruang terbuka di gedung Pavilion Kuala Lumpur menjadi saksi Esprit tidak pernah melupakan tanggungjawab sosialnya. Biarpun sebelum ini Esprit yang terkenal dengan koleksi pakaian dan aksesori menarik, namun, tugasnya tidak terhad mencantikkan rupa paras seseorang.
Baru-baru ini di ruang terbuka gedung Pavilion, Esprit memastikan senyuman terukir pada wajah kanak-kanak yang kurang berkemampuan.
Biarpun pada petang itu cuaca panas terik, namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat kumpulan pemuzik Esprit. Tepat saja 3 petang, kumpulan pemuzik yang lengkap berbaju T hitam itu menari sambil memukul dram.
Para pengunjung gedung mula mengerumuni ruang tersebut untuk bersama-sama meraikan pesta Big Bang Esprit. Acara pesta semakin rancak dan meriah apabila pihak Esprit mengedarkan pemukul dram supaya para pengunjung turut berpeluang memukul dram untuk satu usaha murni.
Menurut Pengurus Negara Esprit, Yeoh Oon Lai, kempen Big Bang Esprit merupakan simbolik kejayaan Esprit membantu dan menyumbang kepada aktiviti amal SOS Children's Village di India.
Acara kemuncak tersebut sengaja dilancarkan di Malaysia bagi mengharapkan kerjasama masyarakat tempatan memberi sokongan dan keprihatinan pada kempen Big Bang Esprit, seterusnya.
"Sejak pihak Esprit membantu pertubuhan ini pada dua tahun lepas, mereka berjaya membina sebuah perkampungan yang sempurna dari segi infrastruktur, kasih sayang dan pendidikan di Alibaug, India.
"Di sana kemudahan infrastruktur itu menempatkan kanak-kanak yang tiada tempat bergantung dan tidak mampu dibesarkan oleh keluarga kandung kerana kesempitan wang. Penghuni bukan saja tinggal di kediaman yang selesa malah dijaga rapi serta dibekalkan pendidikan secukupnya untuk masa depan mereka," tutur Yeoh Oon Lai, pada majlis pelancaran program tersebut.
Pada tempoh dua tahun itu pihak Esprit sudah membantu dan menyokong enam projek di sekitar Delhi yang fokus meningkatkan taraf hidup beberapa keluarga dari segi pendidikan dan perubatan. Seperti di perkampungan Alibaug yang terletak di selatan Mumbai, Esprit sedang membina perkampungan baru untuk 14 keluarga.
Beramai-ramai memukul dram
Sementara itu, Duta Kempen Big Bang Esprit Malaysia, Belinda Chee, memberitahu rakyat Malaysia hanya perlu memukul dram yang disediakan di butik Esprit, Pavilion Kuala Lumpur.
Pihak Esprit berharap dapat mencapai sasaran tiga juta pukulan dram. Setiap bilangan pukulan itu akan tertera di skrin nombor yang diletakkan bersebelahan dram tersebut.
|
|
"Bayangkan, tiga juta pukulan bersamaan dengan sumbangan 500,000 euro (RM2,089,891) daripada Esprit kepada pertubuhan SOS Children's Village.
"Ketahuilah sokongan pukulan dram anda dapat membantu SOS Children's Village di India dan di seluruh dunia," pohon pengacara Belinda Chee yang turut mengambil peluang memukul dram untuk mencapai sasaran tiga juta pukulan dalam kempen Big Bang Esprit.
Dalam pada itu, wakil daripada SOS Children's Village, Dr. Christian Gruenler menyifatkan kerjasama antara pertubuhan tersebut bersama Esprit sangat unik. Secara amnya, SOS Children's Village iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan bertindak membantu menjaga dan mendidik kanak-kanak yang tidak mampu dibesarkan oleh keluarga kandung mereka sendiri.
"Kami berbangga dan mengagumi inisiatif pihak Esprit. Meskipun misi utama mereka ingin membantu golongan yang kurang berkemampuan di India tetapi Esprit tetap menghulurkan bantuan kepada mereka yang terlibat dalam bencana teruk seperti yang berlaku di Haiti.
"Dalam pada itu, kami juga berterima kasih kepada Esprit kerana mempercayai kumpulan staf SOS yang menjalankan tanggungjawab sosial dan khidmat terbaik kepada insan yang memerlukan," jelasnya.
Bagi keterangan lanjut mengenai kempen Big Bang Esprit sila layari www.esprit.com/sos.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: