KUALA LUMPUR – Ditikam bertubi-tubi selain lehernya disembelih.
Demikian nasib seorang lelaki yang ditemui mati dibunuh dengan kejam, mayatnya kemudian dibuang di tepi jalan menuju ke tangki air di Kampung Batu, Jinjang di sini semalam.
Mayat lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui pada pukul 1.30 pagi oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, ketika ditemui mangsa lengkap berpakaian baju kemeja T belang dan berseluar panjang.
“Pemeriksaan awal mendapati, mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an dan berbadan gempal. Kita juga mendapati terdapat lebih lima kesan tikaman di depan dan belakang badan mangsa selain lehernya disembelih,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, polis tidak menemui sebarang senjata di situ dan pihaknya percaya mangsa telah dibunuh di tempat lain beberapa jam sebelum itu.
Menurut Zakaria, setakat ini, tiada ahli keluarga yang datang untuk membuat pengecaman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: