Tuesday, November 30, 2010

Visi Galeri Seri Endon


GALERI Seri Endon yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu bertujuan mengangkat industri batik tanah air.


PEMAKAIAN batik sebagai busana tradisi mempunyai sejarah yang berlangsung sejak zaman awal tamadun Melayu. Walaupun tidak dapat dipastikan dengan tepat, hasil seni itu telah tersebar ke seluruh peradaban dunia.

Beberapa tahun lalu, apabila Allahyarham Tun Endon Mahmood memberi nafas baru kepada industri batik negara, pelbagai pendedahan mula diberikan sekali gus melonjakkan nama negara.

Pertandingan Piala Seri Endon misalnya, menjadi medan terbaik dalam melahirkan lebih ramai pereka muda yang kreatif dan berbakat.

Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang), Nori Tun Abdullah berkata, dia bertekad meneruskan visi ibunya bagi mengangkat martabat fesyen batik di pentas antarabangsa.

Kesinambungan usaha

Katanya, penubuhan Galeri Seri Endon sejak dua tahun lalu merupakan kesinambungan terhadap usaha yang telah dilakukan oleh bekas wanita pertama itu.


WANITA negara ini juga bertanggungjawab besar mempopularkan batik Malaysia.


“Kehadiran galeri ini bertujuan memartabatkan kembali seni batik di samping menjadi wahana kepada pembangunan perusahaan batik tempatan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis minum petang bertemakan Batik Delight di galeri itu baru-baru ini. Turut hadir, isteri Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datin Narfesah Raja Nong Chik dan Ketua Pegawai Eksekutif Penyayang, Datuk Leela Mohd Ali.

Para tetamu juga turut disajikan dengan pertunjukan fesyen batik moden dan kontemporari hasil sentuhan bekas lima pemenang siri pertandingan Piala Seri Endon terdiri daripada Jalaludin Zaini, Karl Ng, Marina Abdullah, Suhairi Marlina dan Zoe Tan.

Biarpun tanpa sebarang teknik jahitan, namun kreativiti para pereka melakukan lilitan memberikan dimensi berbeza pada fabrik itu. Batik tidak terhad untuk busana tradisional dan formal seperti kemeja dan baju kurung sebaliknya ia boleh dijadikan dres labuh, dres tanpa lengan atau pario.

Lebih menarik, peminat batik mampu merealisasikan imej idaman mereka dengan stail yang elegan seperti mengenakan pemakaian tali pinggang dan riben. Padanan warna pula, banyak menggunakan rona terang bagi menampilkan personaliti wanita yang berani.

Bercerita tentang galeri berkenaan, Nori berkata ia merupakan salah satu platform kepada kepada bakat-bakat baru khususnya para pemenang pertandingan Piala Seri Endon mencipta nama dalam industri berkenaan.


PEMAKAIAN batik kini tidak terhad untuk busana tradisional tetapi boleh dijadikan pakaian moden dan kontemporari.


“Semua produk yang dipamerkan di sini membawa nama Galeri Seri Endon dan nama perekanya, dengan cara ini mereka dapat memasarkan produk dan mengetengahkan hasil rekaan kepada umum.

“Ia merupakan langkah awal sebelum mereka melangkah lebih jauh di dalam industri ini. Selepas produk mereka dikenali barulah kita akan beri bantuan seterusnya, misalnya seperti ilmu keusahawanan, modal dan sebagainya,” katanya.

Nori turut memuji setiap hasil rekaan yang dipersembahkan yang disifatkan kreatif dan mempunyai gaya yang tersendiri.

“Para pereka berjaya menghasilkan gaya elegan bagi wanita yang mementingkan penjagaan personaliti. Mereka lebih berani mempersembahkan potongan fesyen yang tampak moden dan bersesuaian dengan semua keadaan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: