Monday, November 29, 2010

Peserta Kamilah Bintang Berbakat

Semua peserta Kamilah Bintang teruja bila diberi peluang berjumpa dengan Aizat.

KETIKA bertemu dengan enam peserta program pertandingan nyanyian, Kamilah Bintang, mereka sibuk dengan sesi latihan vokal di Federal Academy Balet, Petaling Jaya bersama mentor mereka pada minggu ini, Aizat Amdan.

Enam peserta tersebut adalah Dayang (Dayang Nazilah Awang Astillah), Wani (Syazwani Sapari), Aiman (Mohammad Aiman), Faisal (Raja Mohd Faisal Khairullah Raja Abdul Halim Shah), Farhan (Muhammad Fathullah Farhan Muhammad Rosdi) dan Qistina (Qistina Amira Rohaizad).

Aizat kelihatan seperti seorang abang yang melayan karenah adik-adiknya pula. Manakan tidak, masing-masing tidak melepaskan peluang untuk ‘berkepit’ dengan penyanyi kesayangan mereka.

Malah, salah seorang peserta, Farhan begitu teruja sehinggakan lututnya menggigil ketika pertama kali melihat kemunculan Aizat.

“Memang saya tak sangka Aizat berada bersama saya dan rakan-rakan dalam memberi nasihat tentang persiapan mengadakan persembahan pada konsert minggu ini.

“Sampai kaki terketar-ketar dibuatnya,” ujar kanak-kanak kelahiran Pekan Pahang itu.

Pada sesi bersama mentor itu, sambil bermain piano, Aizat dan peserta-peserta itu menyanyi bersama-sama dan setiap seorang daripada mereka akan bersoal jawab dengan penyanyi itu mengenai teknik nyanyian dan cara lontaran suara.

Beritahu Aizat, dia gembira dapat menghabiskan masa bersama mereka dan terkejut dengan bakat unik yang dimiliki setiap seorang.

“Bila melihat mereka dengan sekali pandang, keenam-enam peserta ini hanyalah seorang kanak-kanak yang normal seperti yang lain.

“Tetapi di sebaliknya pula mereka memiliki faktor ‘wow’ dalam bidang muzik. Cuma saya risau jika perangai mereka berubah bila dah jumpa dengan orang baru dalam industri. Maklumlah, mana-mana kita pergi, pasti ada orang yang baik dan buruknya.

“Saya harap mereka perlu ada rasa sifat kebudakan dan jangan hilang sifat itu. Mereka juga memiliki potensi untuk berjaya dalam bidang nyanyian kerana semangat tinggi yang dimiliki,” katanya.

Tambah Aizat, ketika diberi tugasan sebagai mentor buat peserta-peserta tersebut, dia tidak merasakan langsung ada jurang antaranya dan dia dapat melihat antara peserta yang paling menyerlah ialah Dayang yang memiliki suara yang lunak dan memiliki ton suara seperti wanita dewasa.

“Suara dia sedap gila! Dia begitu ‘sempoi’ dalam setiap lagu yang dibawakan. Mungkin dia juga ada potensi untuk menang jika kekal dengan gaya persembahan yang tersendiri.

“Kalau Dayang serius dalam dalam bidang nyanyian, bagus juga dan saya akan menyokongnya. Tapi pastikan akademiknya juga tidak terabai.

“Secara keseluruhan, saya suka berborak dengan mereka. Saya menganggap mereka juga memiliki pemikiran yang dewasa dan jelas, mereka bijak berkomunikasi,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, keenam-enam peserta ini telah pun bersedia untuk memberi persembahan terbaik untuk minggu ketiga kali ini.

Menurut Faisal, dia memiliki beberapa tips sebagai persiapan untuk mendapatkan persembahan yang terbaik.

“Buat masa ini, saya menjaga pemakanan saya seperti mengurangkan makanan yang berminyak, elakkan coklat dan kurangkan ais.

“Sebelum menyanyi, saya akan memastikan memakan sekeping roti sebagai alas perut ataupun memakan nasi putih berlauk ayam goreng dengan amaun yang sedikit.

Qistina dan Wani lebih berhati-ati dalam penjagaan vokal agar tidak sumbang ketika menyanyi. Manakala Aiman pula memastikan dirinya tidur secukupnya.

Keenam-enam peserta bakal bersaing merebut gelaran juara dan beraksi menerusi program Kamilah Bintang pada setiap Jumaat, pukul 5.30 petang menerusi saluran 611 Astro Ceria.

Juara Kamilah Bintang akan menerima hadiah pakej percutian ke Taman Tema Gold Coast, Australia sekeluarga, komputer riba VAIO, dua tiket VIP ke Dewan Filharmonik Petronas dan sebuah Ipod Sudffle.

Bagi naib juara pula akan membawa pulang hadiah pakej percutian ke Taman tema Hong Kong bersama keluarga, dua tiket VIP ke Dewan Filharmonik Petronas dan sebuah Ipod Shuffle.

Manakala tempat ketiga akan membawa hadiah pakej percutian ke Pulau Sentosa Singapura sekeluarga, dua tiket VIP ke Dewan Filharmonik Petronas dan sebuah Ipod Shuffle.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: