Sunday, November 28, 2010

Khayal hidu darah


HUSIN (tengah) telah mula menyembelih haiwan sejak berumur 16 tahun lagi.


KATAKAN sahaja, haiwan apa yang tidak pernah disembelih, kalau sekadar lembu atau unta itu perkara biasa. Malah, beliau juga pernah menyembelih puluhan ribu ekor ayam di sebuah syarikat penyembelihan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Ironi, dengan ribuan ekor ayam yang disembelih sehari untuk keperluan pengguna sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, Husin Harun, 61, sememangnya menggemari kerjaya tukang sembelih.

“Saya akan memastikan urat halkum haiwan tersebut dikerat dengan sempurna selain menghadap kiblat manakala pisau yang digunakan perlu tajam,” katanya.

Badan Husin agak berisi, berkepala botak namun dia yang berasal dari Seri Menanti, Negeri Sembilan mula menyembelih haiwan sejak berumur 16 tahun.

“Mulanya dengan melastik burung dan burung itu disembelih. Ayah pun ada membela ayam dan lembu.

“Saya banyak sembelih ayam dan lembu yang diternak jadi secara tidak langsung saya mahir cara-cara penyembelihan,” katanya.

Wangi bau darah

Di kampungnya, Husin digelar ‘raja sembelih’ kerana banyak haiwan terkulai di tangannya.

“Soal bau dan percikan darah haiwan sudah biasa. Ada orang cium bau haiwan pun sudah pengsan. Tetapi selepas 40 tahun bergelumang dengan ‘dunia’ penyembelihan, bau dan darah (haiwan) terasa wangi dan menyegarkan,” katanya ketawa.

Jelas Husin, pisau yang tajam amat penting untuk menyembelih haiwan kerana pisau yang tumpul akan menyakitkan dan menyiksa haiwan malah ada kes lembu tiba-tiba bangkit lalu mengamuk selain boleh mencederakan orang.

“Perkara itu berlaku kerana urat halkum haiwan itu tidak dipotong dengan sempurna,” katanya.

Bagi Imam Masjid Kampung Bharu, Batu 14 Puchong, Idris Ahmad, 64, berkata, beliau biasanya menyembelih enam ekor lembu setahun dan kebanyakannya semasa Hari Raya Aidiladha.

“Sembelihan perlu mematuhi syarat dan tidak boleh kasihankan haiwan yang dikorbankan,” katanya.

Ujarnya lagi, sebaiknya penyembelih mengambil wuduk sebelum menyembelih haiwan.

Sementara itu, Abdul Malek Abdul Samat, 43, berkata, beliau menguruskan perniagaan menjual lembu, kambing serta unta untuk majlis korban dan akikah sejak 20 tahun lalu.

Perniagaan Amas Livestock Farm di Kampung Bharu, Batu 14 Puchong, Selangor itu diwarisi daripada bapanya.


ISLAM mensyaratkan rukun sembelihan termasuk penggunaan peralatan seperti pisau yang tajam.


Katanya, pada tahun ini syarikat menjual lebih 200 ekor lembu dan ribuan kambing untuk dikorbankan.

Tanduk lembu

Ujarnya, beliau mendapatkan bekalan lembu dari Johor, Pahang, dan Negeri Sembilan.

“Bekalan dari Thailand lebih murah tetapi tahun ini lembu di sana banyak penyakit,” katanya.

Abdul Malek menjual baka lembu jenis Brahman dan KK (kacukan Kedah, Kelantan).

“Kebiasaan seekor lembu boleh mencecah harga RM2,200 hingga RM4,000 untuk saiz lembu 200 hingga 500 kilogram,” katanya.

Kebanyakan pelanggan Malek berasal dari negara Arab, Sudan, Afrika, Palestin dan Britain serta ada yang menyembelih mengikut mazhab masing-masing, katanya.

Malek memberitahu, peristiwa terkena tanduk dan ditendang lembu lembu merupakan perkara biasa yang beliau alami.

“Bohong jika saya katakan tidak pernah ditanduk lembu. Tangan kanan saya hampir patah kerana dirempuh lembu,” katanya.

Bicaranya lagi, beliau juga pernah menangkap lembu yang mengamuk selepas terlepas daripada ikatan dalam satu majlis korban yang diadakan oleh pengurusan sebuah masjid di Kuala Lumpur tahun lalu.

Kejadian itu menyebabkan lembu itu lari ke jalan raya berhampiran dan melanggar tiga buah kereta.

“Mulanya, lembu itu saya ikat di sebatang pokok tetapi pihak pengurusan masjid mengalihkan haiwan itu secara tiba-tiba sehingga menyebabkan haiwan itu mengamuk. Saya hanya berjaya menangkap kembali lembu itu selepas lima jam,” katanya.

Insiden lembu terjatuh longkang dan ikatan di lori terlepas merupakan perkara biasa tetapi semuanya dapat diatasi dengan baik.

Mengulas mengenai baju merah menyebabkan lembu mengamuk dan mampu mencederakan manusia Malek memberitahu, semua itu hanya retorik semata-mata.

“Jika kita memakai baju berwarna apa sekali pun jika lembu tidak selesa dengan kehadiran kita akan mengamuk juga haiwan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: