Sunday, November 28, 2010

Maut digilis lori

PILU... ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak melihat jenazah mangsa.
PILU... ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak melihat jenazah mangsa.

KUALA LUMPUR: Hati bapa mana tidak sayu selepas mengetahui anak kesayangannya maut dalam kemalangan walaupun sejam sebelumnya arwah datang ke rumah bagi menziarahi keluarga.

Pertemuan singkat Kamalrozaman Johari dengan anaknya, Muhammad Naimullah, yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akan dikenang seumur hidup selepas ia saat terakhir melihat anak ketiga daripada lapan adik beradik itu ketawa di rumah mereka di Kampung Baru, di sini.

Dia yang jarang melihat anaknya gembira seperti itu berkata, arwah tidak tinggal bersamanya tetapi menemani neneknya di AU4 Keramat.

Ketika mangsa datang melawatnya, dia dilihat tidak seperti biasa apabila sungguh mesra dan bergurau dengan setiap ahli keluarga.“Dia singgah sebentar bertemu kami dan dan banyak bergurau dengan dua abangnya di rumah mereka.


“Anak saya baru selesai menghadiri kelas tambahan SPM di Setiawangsa sebelum singgah ke rumah bertemu kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, selang beberapa minit selepas itu, dia pulang ke Keramat.

Kamalrozaman berkata, selang sejam selepas itu, dia mendapat panggilan bahawa anaknya yang menunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Gurney, di sini.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning ketika dihubungi berkata, mangsa bermotosikal dari arah Jalan Semarak menuju ke Keramat.

Katanya, arwah kemudian gagal mengawal motosikal sebelum terbabas dan tersungkur di laluan bertentangan.

“Mangsa tidak sempat mengelak sebuah lori yang datang dari arah bertentangan lalu merempuhnya, menyebabkan mangsa cedera parah di kepala.

“Ini menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian,” katanya.

Jenazah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat manakala pemandu lori berkenaan dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar bagi tujuan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu sehingga menyebabkan kematian.

Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: