PETALING JAYA: Rasanya belum terlambat penyanyi Elly Mazlein, 29, untuk menebus penantian peminat yang setia menyokongnya dalam industri nyanyian.
Setelah lima tahun, baru kini Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi kembali dengan album terbaru. Kemunculan single terbaru, Please Forgive Me bagaikan hadiah buat peminatnya.
Lagu tersebut akan diputarkan di corong radio dalam masa terdekat ini. Malah, Elly telah menyanyikan lagu tersebut di hadapan penonton buat pertama kalinya di majlis ulang tahun Suria FM di Studio V, One Utama, di sini, pada 24 November lalu.
Walaupun judulnya dalam bahasa Inggeris, Elly berkata liriknya dinyanyikan dalam bahasa Melayu.
Lagu yang diterbitkan di bawah Millennium Art, syarikat milik komposer Julfekar ini bagaikan suatu permulaan baru bagi Elly menumpukan kepada nyanyian.
“Pada tahun depan, saya akan fokuskan kepada dua perkara iaitu nyanyian dan lakonan. Sebelum ini, saya lebih banyak berlakon berbanding menyanyi.
“Sebenarnya, saya sudah lama memikirkan tentang album baru tetapi peluang baru muncul setelah mendapat tawaran daripada Julfekar,” katanya kepada mStar Online.
Katanya lagi: “Alhamdulillah, segala yang dirancang telah termakbul dan sekarang saya sedang berusaha untuk melakukan yang terbaik kepada peminat dalam dua bidang ini.
“Saya mahu giat mempromosikan lagu-lagu dan drama-drama saya. Saya rasa tak sabar menunggu respons peminat.”
Dalam masa yang sama, dia sedang menantikan kemunculan telefilem Gadis Krokkk, drama Seruan Pulau Nami dan filem Awan Dania The Movie.
Bercerita lebih lanjut tentang lagu terbaru, penyanyi lagu Bakawali dan Usah Di Tambah Bara Yang Tersimpan ini akui semuanya berubah dan berlainan daripada lagu-lagu yang pernah dinyanyikan terdahulu.
Jelasnya, lagu baru lebih bersahaja dan sederhana. Selain lagu Please Forgive Me yang bergenre pop, Elly juga akan muncul dengan single kedua berjudul Kata Saja I Love You.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: