JIKA dicari pasangan selebriti paling menarik ketika ini, jawapannya mungkin terarah kepada rumah tangga Ryan Reynolds dan Scarlett Johansson. Tidak lama selepas si isteri dinamakan Babe of the Year oleh majalah GQ, si suami pula dinobat sebagai Lelaki Paling Seksi 2010 oleh majalah People.
Pada usia 34 tahun, Ryan yang mencipta nama menerusi filem The Proposal, yang menyaksikan dirinya berganding dengan ratu filem, Sandra Bullock, kini mampu duduk sebaris dengan beberapa aktor ternama Hollywood lain yang sebelum ini diberikan gelaran sama termasuk Johnny Depp, Brad Pitt, George Clooney, Richard Gere, Mel Gibson dan Matt Damon.Walaupun ketampanan dan susuk tubuhnya mendapat pengiktirafan, aktor dari Kanada itu nyata merendah diri apabila mengulas gelaran yang baru diterima. "Nampaknya, seluruh anggota keluarga bolehlah mengejek sepanjang hayat saya nanti," katanya yang gemar bergurau tatkala ditemubual, sebagaimana didedahkan pasukan penganjur.
Namun begitu, Ryan tetap berasakan wujudnya aspek positif daripada gelaran yang baru disandang. Isterinya, yang sememangnya tidak asing dengan gelaran seksi, kini bolehlah menggunakan gelaran berkenaan untuk menyuruhnya melakukan sesuatu perkara.
Dia membayangkan, Scarlett akan bersuara: "Lelaki paling seksi, sila angkut sampah ini ke luar."
Begitupun, dia juga risau sekiranya perbualan dengan orang asing selepas ini hanya berkisar kepada gelaran terbabit, bukannya mengenai topik lebih serius, mahupun soal kerjayanya.
Anugerah Lelaki Paling Seksi muncul sebagai isu paling popular majalah People sejak 1985. Dan, hos program ABC, 25 Years of Sexy, Kim Kardashian percaya, majalah berkenaan membuat pemilihan yang tepat pada tahun ini.
"Dia begitu kacak dan kelakar. Dia memiliki pakej yang sempurna dan saya berasakan, itulah ciri-ciri yang sebenarnya dicari oleh majalah People," kata bintang realiti itu.
Pada pemilihan kali ini, nampaknya Ryan berjaya mengatasi beberapa nama hebat lain termasuk pelakon Leonard DiCaprio, Jon Hamm, Will Smith dan Patrick Dempsey, begitu juga pereka fesyen dan pengarah filem Tom Ford.
Bagi memberikan kelainan pada edisi kali ini, People turut menyenaraikan lima lelaki yang boleh diundi pembaca serta peminat menerusi Facebook. Wakil khas majalah itu, Julie Jordan, berkata Vin Diesel mendapat undian hebat di kalangan calon Facebook, yang turut mengandungi bintang realiti Jersey Shore, Pauly D; atlit, Chad Ochocinco; penyanyi, Enrique Iglesias; dan bintang Old Spice Guy, Isaiah Mustafa.
Julie turut mendedahkan, Ryan berada pada tangga teratas lelaki seksi yang disenaraikan kerana ciri-ciri yang dimilikinya, selepas setahun pemilihan dilakukan. Selain keyakinan diri yang tinggi, Ryan juga memiliki wajah yang tampan dan berkahwin pula dengan bintang anggun, Scarlett Johansson.
Begitupun, bukan sekadar wajah yang diperhatikan panel pemilih. Mereka nyata mahukan lelaki yang pandai berjenaka, merendah diri, serta berhati mulia. Semua ciri itu, kata Julie, ada pada lelaki yang bertubuh tegap berkenaan.
"Dia nampaknya cukup seronok dengan semua itu, dan dia lelaki yang baik. Itulah lelaki yang kami cari," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: