ORANGNYA kecil molek namun cita rasanya terhadap perabot dan perhiasan rumahnya agak tinggi melangit. Menyusuri segenap sudut dan ceruk ruang Rubaidah Omar, tersingkap ketelitian usahawan wanita ini kala memilih aksesori baik untuk dinding mahupun dipamerkan di rak terbuka serta kabinet hiasan penjuru dinding.
“Tiada siapa pengaruhi saya kerana minat itu hadir selepas saya tahu kesenian serta keindahan mutunya. Pada mulanya, saya kumpul kelengkapan menghidang lama milik ibu, Saliah Sakiman, sebelum melarat ke perabot dan aksesori rumah,” katanya.
Koleksi antiknya pula bukan sedikit, malah tak terhitung merangkumi pinggan mangkuk, lampu gasolin, beg peti, guri atau takar, tempayan serta dulang. Malah, Rubaidah turut menyimpan sejumlah telefon bimbit ketika awal keluarannya dulu.
Semua koleksi antiknya disusun serta dipamerkan di sudut strategik kediaman teres berkeluasan 2.4 meter persegi X 5.2 meter persegi berkenaan. Sebahagian dipamerkan dalam kabinet kaca dan para terbuka sementara selebihnya diletak di atas meja kopi dan sudut tangga.
Menjadikan klasik bersulam kreatif serta imaginatif tunjang gaya penataan, Rubaidah nyata bijak memanfaatkan ruang dan fungsi selain tahu memadankan aksesori dengan keperluan tempat. Lampu gasolin misalnya, berbanding diletak begitu saja sebagai perhiasan sudut, diubahsuai Rubaidah menjadi lampu siling.
“Biasanya, lampu berkenaan sekadar hiasan siling dan meja konsol namun saya menganggapnya sebagai pembaziran besar. Sekiranya masih elok dan berfungsi, lebih baik diubah fungsi menjadi lampu menerangi ruang. Bukan susah manapun, hanya tambah mentol dan lakukan pendawaian diperlukan, saya jamin ia mampu menyinari ruang,” katanya yang menolak kaedah lama menghidupkan lampu itu menggunakan minyak tanah kerana mual dengan baunya.
Beg peti pelbagai ukuran, bentuk dan material disusun bertingkat di kawasan tangga misalnya, bukan saja menyelitkan karektor klasik diingini tetapi kadang kala digunakan juga buat mengisi barang keperluan sewaktu melancong dan pulang ke kampung.
“Saya pastikan barangan yang dibeli mestilah 80 peratus dalam keadaan baik dan boleh digunakan. Beg peti misalnya, sungguhpun nampak uzur benar namun masih kukuh dan boleh dikunci serta buka. Begitu juga dengan kipas logam di atas kabinet hias bersebelahan televisyen yang masih boleh digunakan ketika keadaan memerlukan,” katanya yang rajin meninjau kedai menjual barang antik tempatan serta sanggup ke Thailand, Indonesia dan Vietnam semata-mata melengkapkan himpunannya itu.
Sewaktu melancong ke Indonesia khususnya Bali, Rubaidah suka mencari jam dinding, barangan tembaga dan piring hiasan lama buatan England. Sementara, apabila berpeluang bercuti ke Thailand dan Vietnam, aksesori kayu dan replika beca serta basikal sering menjadi pilihan serta buruannya.
Namun, dalam sekian banyak antik disimpannya, Rubaidah mengaku amat sayangkan set gelas keluaran khas kemerdekaan memaparkan gambar Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman. Hasil peninggalan arwah neneknya, Juria, kata Rubaidah, gelas berkenaan bukan saja sukar lagi ditemui bahkan harganya turut melambung tinggi.
“Nilai setiap satunya mencecah RM300. Itu sebabnya saya katakan barang lama bermakna, berharga juga bagai menyimpan semangat tersendiri. Sekali terjebak dengannya, pasti payah berpuas hati melainkan yang dihajati berada dalam genggaman,” katanya yang membelanjakan kira-kira RM1,000 sebulan bagi melengkapkan koleksi antiknya.
Tidak semua yang dibeli diperoleh dalam keadaan baik sebaliknya ada cat menggelupas dan berkarat. Namun, selagi mampu diperbaiki, dia akan berusaha mengembalikan semula keindahan barangan itu.
Buktinya, meja solek dengan cermin motif naga berusia hampir 60 tahun ketika diambil dari rumah ibu saudara sangat uzur keadaannya namun berubah seperti baru selepas digantikan cermin pecah sebelum disapu kilatan barnis bagi mengembalikan keindahannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: