Thursday, September 10, 2009

Epilog: Sejauh mana Festival Filem Asia Pasifik masih relevan?

KITA menyedari penganjuran Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) bukan acara baru dalam kalendar industri perfileman di rantau Asia mahupun Asia Pasifik? Malah, festival ini juga dikenali di serata dunia tetapi penyertaan untuk FFAP sekadar untuk negara yang menjadi ahli kepada penganjurnya saja - iaitu Federation of Motion Pictures in Asia Pacific (FPA) yang mana ibu pejabatnya berpangkalan di Taipei, Taiwan.

Malaysia menjadi ahli FPA menerusi keahlian Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM).

Sejak dulu, sudah banyak kali ia dianjurkan dan untuk musim ini, ia memasuki edisi ke-53. Ini bermakna FFAP akan diadakan buat kali ke-53 iaitu antara festival filem di dunia yang lama bertahan dari segi penganjurannya. Namun, hakikatnya yang harus diterima ialah FFAP bukan sebuah festival yang tinggi taraf prestijnya seperti mana Festival Filem Cannes atau Festival Filem Berlin yang berkiblatkan filem untuk artistik dan estetika, sebaliknya penganjuran FFAP lebih kepada semangat setia kawan pengamal filem dari negara yang menjadi ahli FPA.

Ahli-ahli dalam FPA mahu bersama-sama meraikan budaya filem dari negara masing-masing, itu saja. Kalau mungkin faktor lain, ia juga mampu membina jambatan budaya kerana pengisian menerusi FFAP selalunya akan berkait dengan seni budaya lain, selain juga membantu dalam prospek pelancongan. Inilah yang dibuat sejak dulu lagi tetapi ia turut memberi kesan baik dari segi membawa nama filem dari sesuatu negara itu ke pengetahuan masyarakat negara lain yang menjadi ahli FPA.

Malaysia juga banyak mendapat manfaat daripada festival ini sejak dulu lagi, malah berdasarkan rekod sudah lebih 40 anugerah diraih oleh Malaysia sejak festival berkenaan dianjurkan. Malah, pada era 1950-an dan 60-an dulu, kejayaan P Ramlee sebagai pengarah dan pelakon di pentas antarabangsa ketika itu juga diukur menerusi festival filem ini dan pada masa sama filem Seniman Agung itu mampu mendapat sambutan hebat di negara sendiri.

Seperti biasa, penganjuran FFAP juga membabitkan pertandingan filem cereka, selain disediakan juga pertandingan untuk filem dokumentari, animasi dan filem pendek. Selain itu ia juga diadakan tayangan percuma, seminar dan lawatan berkaitan sejarah dan industri filem di kota yang menjadi tuan rumah.

FFAP53 akan diadakan di Kaohsiung, Taiwan, dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 20 Disember ini. Tahun lalu, sepatutnya FFAP53 diadakan di Jakarta, Indonesia, tetapi pada saat akhir iaitu tidak sampai sebulan lagi acara berlangsung, tuan rumah terpaksa membatalkan acara berkenaan, dikatakan atas alasan masalah kewangan gara-gara kesan akibat kemelesetan kewangan global semasa.

Jadi, Taiwan sekali lagi mengambil alih jadi tuan rumah untuk FFAP53 meskipun pada FFAP52 Taiwan sudah pun menjadi tuan rumah.

Malaysia kali terakhir setakat ini menjadi tuan rumah FFAP ialah pada 2005, iaitu edisinya ke-50.

Dari segi catatan sejarah, FFAP adalah kesinambungan penganjuran Festival Filem Asia yang mula dianjurkan kali pertama pada 1954 di Tokyo. Ia terhasil sesudah FPA ditubuhkan pada 1952 di Manila, Filipina, yang dulu nama asalnya ialah Persatuan Pengeluar Filem Asia. Pada edisinya yang kelima pada 1958, ketika penganjurannya berlangsung di Manila, namanya diubah menjadi FFAP dan FPA juga ditukar menjadi Federation of Motion Pictures in Asia Pacific. Ia kemudian terus kekal dengan nama itu pada FFAP6 di Kuala Lumpur dan seterusnya tuan rumah saling silih berganti dan berkekalan hingga kini.

Sebelum ini, ada pihak mahukan saja kewujudan FFAP dibubarkan, malah dalam satu seminar FFAP sebelum ini juga ada saranan supaya FFAP dibubarkan kerana dikatakan sudah tidak lagi mencerminkan semangat filem dari Asia mahupun Asia Pasifik. Ini kerana saban tahun apa saja kata putus atau keputusan sebulat suara daripada mesyuarat Lembaga Pengarah FPA terutama dari segi tindakan untuk membantu pasaran filem dari negara masing-masing sering tidak kesampaian. Meskipun ada semangat setia kawan tetapi apabila berbalik pada kerjasama untuk pasaran filem, ia selalu tidak pernah berjaya.

Malah, dari segi pasaran filem Malaysia ke Indonesia juga begitu sukar untuk dilaksanakan gara-gara kerenah birokrasi dan sikap pihak di negara jiran itu. Ada pihak yang sering mempersoal FPA kerana cuma berperanan sebagai penganjur acara saja. Apa yang diputuskan, apa yang dihasratkan serta apa saja hasil untuk tanda kerjasama dari segi pasaran, memperkenal filem atau bintang filem membabitkan sesama negara di rantau berkenaan selalunya sekadar ‘indah khabar dari rupa’. Bantuan promosi dari sesama negara dalam FPA juga bagaikan hangat-hangat tahi ayam. Saban tahun apa yang nampak FPA cuma berseronok dengan penganjuran FFAP, itupun penyertaan delegasi ke festival harus ditanggung sendiri dari segi pengangkutan udara dan penginapan.

Meskipun ia bukan festival filem berprestij atau sekadar untuk simbolik persahabatan warga filem dari negara rantau Asia Pasifik, FFAP boleh dianggap sebagai medan promosi filem dari negara masing-masing seterusnya menjadi platform untuk warga filem kita dapat bersama memeriahkan filem dari rantau ini. Namun, keperluan untuk bekerjasama secara lebih jujur dan intim harus ditunjukkan kerana sebagai festivfal filem bertaraf antarabangsa, penganjurannya harus mempunyai kekuatan lebih baik kerana usianya kini sudah memasuki lebih separuh abad.

Apabila penganjurnya bertegas filem yang bertanding hanya untuk ahli FPA, maka ketegasan itu juga harus ada pada kerjasama dalam memperluaskan kekuatan filem dari rantau ini dari aspek pemasarannya. Namun, FPA selama ini gagal dalam hal ini. Inilah yang harus diberi penekanan untuk melihat kerjasama dalam FFAP bukan sekadar untuk berpesta dan melihat filem negara mana yang akan menang tetapi perkongsian pintar untuk membawa masa depan filem dari negara Asia Pasifik itu yang harus diperkasakan. Apapun tujuan dan matlamatnya, meskipun ia bukan bertaraf prestij atau boleh dianggap ada kelas sedikit berbanding ‘festival filem nyamuk’, FFAP tetap relevan untuk memainkan fungsinya sebagai

Kata orang, sesuatu itu tetap berguna sekalipun dibuang ke dalam air deras, dicampak ke atas tanah lekang...

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: