Thursday, August 7, 2014

Talha Harith Dalami Islam Selepas Terkena Ilmu Hitam



Foto terkini Talha Harith.
PETALING JAYA: Pelakon Talha Harith  mengambil pendekatan untuk lebih banyak mendekatkan diri kepada Allah dan mendalami ilmu agama Islam selepas dua kali terkena penyakit yang disebabkan oleh ilmu hitam.

Talha,25, berkata, penyakit yang dialami itu menyebabkan berat badannya menjadi susut selain ia memberi banyak tekanan lain kepada dirinya.

"Saya kena ilmu hitam tahun lalu sehingga menyebabkan badan saya susut teruk dan mengalami lemah badan serta muntah-muntah.

"Selepas kejadian itu saya banyak mendalami ilmu agama bagi mengubati sendiri penyakit tersebut. Alhamdulillah sedikit demi sedikit kesihatan saya sudah beransur pulih," ujarnya kepada mStar Online, ketika ditemui pada sidang media drama Plan B, di Sri Pentas, di sini, Rabu.

Talha berkata, dia menyedari terkena ilmu hitam pada awal tahun ketika mengusahakan sebuah perniagaan restoran di Setapak.

Perbuatan khianat itu bukan sahaja ditujukan kepadanya, malah rakan perniagaannya yang lain turut mengalami nasib yang sama.

"Ketika saya buka restoran di Setapak dahulu ada restoran lain yang kurang berpuas hati dan merasakan kami mengganggu perniagaan mereka.

"Pada mulanya isteri rakan saya yang menjaga restoran itu terkana dahulu, kemudian rakan saya pula, selepas itu saya turut mengalami kejadian yang sama iaitu hilang selera makan" ujarnya.


Tambah Talha, ketika dia belum pulih sepenuhnya dengan penyakit itu, dia sekali lagi ditimpa kejadian aneh yang dipercayai dilakukan oleh rakan artis.

Perkara tersebut katanya diketahui selepas diberitahu oleh seorang rakan bapanya yang sudah lama terlibat dalam bidang perubatan tradisional.

"Selepas beransur pulih daripada ilmu hitam berkaitan restoran itu datang pula penyakit aneh lain yang mana saya muntah-muntah secara mendadak sehingga tidak boleh makan dan minum.|

Selepas itu seorang rakan bapa saya menghubungi bapa saya dan bertanyakan tentang saya lalu menyuruh saya pergi berubat kerana dia beritahu ada dikalangan rakan baik cemburu dengan saya.

"Bila dia kata begitu saya syak seorang rakan baik saya yang memang pernah berkata tentang perasaan tidak senang hati dengan apa yang saya dapat sekarang.

"Dia kata dia cemburu dengan peluang yang saya dapat sedangkan dia kurang bernasib baik," katanya.

Bagaimanapun, Talha berkata, dia masih lagi dalam proses pemulihan dan kesihatannya ketika ini semakin baik.

Dia akui, pengalaman menderita terkena ilmu hitam itu mengajarnya untuk lebih berhati-hati dalan melakukan segala hal yang melibatkan individu lain.

Talha juga bersyukur sepanjang melalui pengalaman itu, pengarah dan produksi banyak bertolak ansur kerana memahami keadaannya.

Sementara itu drama Plan B bagi slot Aksi ini bakal keudara bermula 19 Ogos depan setiap Selasa pukul 10 malam di TV3.

Antara pelakon yang terlibat ialah Nur Risteena, Syukri Yahaya, Zoey Rahman dan Beto Kusyairy.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: