Monday, August 11, 2014

Maya rakam semula lagu Matahari

MAYA mahu terus bertahan lama dalam dunia nyanyian, dan salah satu strateginya untuk bersaing dengan golongan penyanyi baharu adalah dengan merakamkan semula lagu popularnya, Matahari yang diberi nafas baharu.


PERNAH meraih fenomena menerusi lagu Matahari yang dinyanyikannya sekitar tahun 90-an dahulu, Meyanaliza Rusli atau lebih dikenali sebagai Maya Matahari kini dilihat semakin menyepi.
Kelibat figura genit yang sudah menginjak usia 38 tahun itu jarang dilihat baik dalam dunia lakonan mahupun nyanyian.
Pelakon yang pernah membintangi drama Anak Betong itu mengakui, dia masih lagi bergiat aktif dalam bidang seni dan banyak menghabiskan masanya dengan memenuhi jemputan nyanyian dalam majlis-majlis persendirian.
Dia yang turut berjinak-jinak dengan perniagaan produk kecantikan berkata, agak sukar untuk membahagikan masa antara perniagaan dan bidang seni.
Justeru, dia hanya memandang nyanyian sebagai bidang yang serius.
“Buat masa sekarang, saya hanya menumpukan sepenuh perhatian saya terhadap bidang nyanyian, di samping menguruskan perniagaan produk kecantikan saya secara kecil-kecilan.
“Saya tidak mahu tamak dengan mengambil tawaran lakonan dan nyanyian serentak disebabkan faktor umur dan kekangan masa,” ujarnya yang sudah menapak hampir 21 tahun dalam bidang seni.
Maya mengakui tawaran lakonan yang diterimanya masih seperti dahulu. Namun, dia terpaksa menolak berikutan sedang sibuk merakamkan single terbaharu bersama seorang penyanyi wanita.
“Single duet bersama penyanyi wanita tersebut dijangka akan diterbitkan menjelang Ogos ini dan saya berharap ia mampu membuktikan saya masih lagi wujud dalam industri hiburan tanah air,” katanya bersungguh.
Bercerita lanjut mengenai single tersebut, ujar Maya, dia mengambil masa hampir setahun untuk mencari lagu yang sesuai. Tempoh tersebut menjadi lama disebabkan kekangan masa di studio.
“Single tersebut mengambil masa yang lama disebabkan umur dan komitmen kami berdua terhadap keluarga, di samping jadual studio yang padat yang membuatkan kami terpaksa menunggu giliran untuk menggunakannya.
“Selain itu, masa yang diambil untuk menghasilkan lagu agak lama disebabkan saya mahu memberikan yang terbaik untuk single duet kali ini. Ia juga kerana kami menggunakan kewangan sendiri untuk menerbitkan single ini,” katanya.
Kompilasi
Bercerita mengenai projek baharu yang dirangka oleh penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu, akuinya, dia juga kini sedang dalam proses untuk menghasilkan sebuah album yang memuatkan kesemua lagu nyanyiannya termasuk hit, Matahari dan Diari Biru.
“Album tersebut merupakan hadiah untuk peminat saya disebabkan permintaan daripada peminat. Saya sangat terharu apabila bukan sahaja golongan peringkat pertengahan sahaja yang mengingati lagu Matahari, malah golongan muda turut meminatinya.
“Ia sekali gus membuktikan lagu tersebut masih mendapat permintaan ramai dan menjadi siulan golongan muda sehingga kini. Ada juga yang bertanya kepada saya di mana untuk mendapatkan lagu seperti Matahariku dan Diari Biru. Justeru, album kompilasi ini khas buat mereka.
“Saya berharap boleh bertahan lama dalam industri ini memandangkan ramai penyanyi baharu muncul dan satu daripada strategi saya, tentunya memberi nafas baharu kepada lagu Matahari mengikut arus muzik sekarang,” katanya.
Album kompilasi yang memuatkan lima buah lagu daripada album pertama dan kedua Maya itu dijangka bakal diterbitkan menjelang akhir tahun ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: