- Ramli yang enggan dikenali menunjukkan bil telefon dan iklan peraduan yang disertainya.
Mahu dikenali sebagai Ramli, 63, berkata, ketagihan bermula selepas dia memenangi satu peraduan sedemikian pada tahun lalu anjuran satu syarikat telekomunikasi terkemuka dalam negara.
Menurutnya, tertarik dengan iklan dan hadiah yang didakwa anjuran satu syarikat telekomunikasi, dia terus leka menjawab soalan berbentuk kuiz yang diterima.
“Pada mulanya saya anggap ini bukan satu penipuan dan mempunyai terma dan syarat yang perlu dipatuhi. Peraduan itu dibuka pada Februari dan akan berakhir pada April, tetapi sehingga hari ini saya masih menerima SMS dari peraduan tersebut.
“Ini menyebabkan saya menanggung beban bil telefon yang tinggi setiap bulan hingga mencecah hampir RM2,000. Saya mula sedar ini satu bentuk penipuan dan mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan,” katanya.
Ramli berkata, dia juga menghubungi syarikat telekomunikasi yang dilanggannya untuk mendapat penjelasan lanjut berhubung peraduan tersebut tetapi mendapat respons kurang memuaskan.
“Operator syarikat itu memberitahu peraduan itu tamat pada 27 Jun lalu, tetapi hingga hari ini saya masih menerima SMS peraduan. Setiap SMS yang diterima akan dicaj RM1, sehari paling kurang 50 atau lebih SMS.
“Saya juga membuat aduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk diambil tindakan ke atas syarikat yang menganjurkan peraduan berunsur penipuan ini. Saya tidak kisah mengenai bayaran bil sekiranya peraduan seperti ini tidak menipu pelanggan mereka,” katanya.
Tambah Ramli, tujuannya mendedahkan perkara ini adalah supaya orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk peraduan atas talian seumpama itu.
Menurutnya, dia tidak akan berhenti menyertai peraduan yang menawarkan hadiah tunai sehingga RM300,000 itu selagi penipuan tersebut tidak dibongkar oleh pihak berkuasa.
“Saya akan gunakan semua SMS diterima sebagai bukti penipuan termasuk terma dan syarat dikenakan jelas menipu pelanggan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: