Monday, August 11, 2014

Rumah terbuka Forteen meriah



SELEPAS mengadakan majlis Aidilfitri bersama 20 peminat mereka baru-baru ini, Forteen merancang sebuah lagi majlis Aidilfitri untuk sebahagian peminat lain pula sebelum Syawal melabuhkan tirai.


SEPERTI tiga tahun terdahulu, setiap kali Syawal kumpulan vokal pop popular Forteen tidak melepaskan meluang untuk memeriahkan lebaran dengan cara mengadakan rumah terbuka.
Tahun ini, rumah terbuka Forteen diadakan di lokasi serupa tahun-tahun sebelum ini, cuma kehadiran peminat mereka dihadkan kepada 20 orang sahaja.
“Bezanya tahun ini, tetamu yang hadir hanya atas jemputan sahaja dan lebih kecil jumlahnya. Maka, kami pun sempat meluangkan lebih masa dengan peminat yang selama ini setia dengan kami,” ujar wakil Forteen, Izzue Islam yang ditemui usai majlis rumah terbuka Forteen di Kondominium Puri Aiyu, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Izzue ditemani tiga anggota kumpulan Forteen lain, One, Ameerais dan Ariz bagaimanapun tidak menolak kemungkinan majlis rumah terbuka mereka akan diadakan sekali lagi tahun ini di tempat yang lebih kondusif.
“Jika tiada aral melintang kami merancang untuk mengadakan sekali lagi rumah terbuka Forteen bagi memberikan peluang kepada peminat, teman artis, saudara-mara dan petugas media hadir beramai-ramai demi meraikan Syawal yang cuma setahun sekali.
“Kami tidak mahu perkara sama berulang pada tahun lalu apabila ada antara tetamu Forteen yang hadir ke majlis rumah terbuka kami tidak mendapat layanan sewajarnya sampaikan tidak sempat bertemu dengan kami berempat,” tambahnya yang turut ditemani isteri tercinta, Awin Nurin.
Berlangsung dari pukul 2 petang hingga 10 malam, rumah terbuka Forteen kali ini masih mendapatkan khidmat daripada ibu saudara One, Mak Jiah terutama daripada segi penyediaan 43 jenis juadah berbeza untuk tetamu yang hadir.

SELAMAT HARI RAYA. Forteen bersama 20 peminat bertuah mereka meluangkan masa bersantai dan beramah mesra dalam majlis sambutan Aidilfitri yang diadakan baru-baru ini.


Sementara itu, bercerita lebih lanjut mengenai perancangan kumpulan Forteen selepas sambutan Syawal tahun ini, mereka bakal merakamkan sebuah single berbahasa Inggeris hasil ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim.
Malah, One dan Izzue memberitahu, mereka turut terbabit menyumbangkan suara untuk dua karakter animasi filem terbaharu KRU Studios berjudul Ribbit yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
“Ini merupakan pengalaman pertama kali menyumbangkan suara untuk sebuah filem animasi dan cabarannya memang sukar kerana sifat, perasaan dan ekspresi karakter tidak sama seperti manusia.
“One melakonkan watak seorang ahli sihir lelaki manakala Izzue diberikan peranan sebagai seekor labah-labah,” kongsi One.
Selain itu, Forteen diberikan tanggungjawab untuk menyanyikan sebuah lagu runut bunyi filem Ribbit berjudul Dikau Saja yang bakal diangkat sebagai single terbaharu kumpulan itu.
“Lagu Dikau Saja pernah dipersembahkan pada Konsert Kita 20Forteen sekitar April lalu dan klip video lagu ini bakal dilancarkan tidak lama lagi,” kata Ameerais.
Mengulas mengenai pembabitan Ameerais bersama kumpulan rap Dualiti untuk merakamkan sebuah single terbaharu berjudul Hitam, penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menegaskan tidak timbul isu percanggahan jadual mahu pun kekeliruan peminat terhadap projek terbaharu itu.
“Kita tetap Forteen dan diharapkan peminat tidak akan keliru dengan perkembangan terbaharu ini. Saya cuma ditampilkan dalam single itu untuk menyanyikan bahagian korus saja.
“Ini cabang baharu kumpulan Forteen dan masing-masing diberikan peluang untuk mengembangkan bakat dalam apa jua bidang yang diminati,” tegasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: