• Wang RM20 palsu (kiri) dan wang betul (kanan).Wang RM20 palsu (kiri) dan wang betul (kanan).
GEORGETOWN - Sama  tetapi tidak serupa. Itulah yang dapat dilihat dengan mata kasar wang kertas palsu RM20 yang diterima seorang peniaga di Jalan Air Itam di sini.

Sekali imbas, wang kertas palsu seakan-akan serupa dan sukar untuk dikenalpasti.

Seorang penjaja barangan runcit yang hanya mahu dikenali Maniam berkata, pekerjanya  menerima beberapa keping wang kertas RM20 daripada pelanggan.

Beliau hanya menyedari wang itu palsu sebaik pulang ke kedai selepas selesai urusan di luar.

“Saya hanya menyedari wang palsu itu ketika mengira wang untuk membuat pembayaran kepada pembekal barang. Nasib baik saya sedar dan mengasingkannya,” katanya.

Menurutnya, ini bukan kali pertama menerima wang palsu malah pernah ditipu pelanggan yang tidak bertanggungjawab sebelum ini.

Beliau berkata  beberapa peniaga lain di situ juga mendakwa wang palsu RM20 banyak berlegar di kawasan Air Itam berbanding kawasan lain di negeri.

Sehubungan itu, pihak berkuasa perlu menyiasat masalah itu untuk mengelakkan lebih banyak kejadian sama berlaku.

Mengikut semakan, individu yang memiliki dan menggunakan wang kertas palsu boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 489 (B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.  Manakala bagi kesalahan memiliki wang palsu, boleh didakwa mengikut Seksyen 489 (C) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun.