Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, 29, berkata, dia membuat keputusan tersebut bagi merancang masa depan sebuah keluarga yang sempurna.
"Saya bagi tempoh dia bekerja hingga hujung tahun ini sahaja, saya mahu dia duduk Malaysia dan bekerja di sini sahaja, kalau boleh saya mahu dapat cahaya mata tahun depan.
"Selama kami berkahwin memang agak sukar untuk berjumpa kerana dia menetap di Jeddah dan terpaksa mengambil cuti panjang jika ingin balik ke Malaysia," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Era FM, di Restoran Bora Ombak, di sini, Sabtu.
Bagaimanapun, Aril berkata, dia tidak menghalang isterinya untuk terus bekerja dalam bidang pernerbangan.
Katanya, dia menghormati minat dan kerjaya isterinya dalam bidang tersebut yang sudah hampir enam tahun dalam industri penerbangan.
"Saya tahu dia sangat berminat dengan kerjaya dia sekarang, dia sering bercerita tentang kapal terbang dan apa juga pengetahuannya tentang penerbangan.
"Saya tidak menghalang dia untuk terus terlibat dalam bidang tersebut terutama dibahagian tenaga pengajar," ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya tentang insiden pesawat MH370 dan MH17 yang berlaku kepada Syarikat Penerbangan Malaysian Airlines (MAS), Aril berkata perkara tersebut seringkali menjadi kebimbangan ketika isteri bertugas.
Jelasnya, ia merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi dia untuk membuat keputusan tersebut.
"Siapa yang tidak bimbang tentang insiden seperti itu, di negara Timur Tengah lebih banyak pergolakkan seperti itu,
"Kejadian yang menimpa MH370 dan MH17 membuatkan saya lebih menghormati kerjaya sebagai pramugari, tidak semua orang sanggup bekerja dengan risiko yang tinggi setiap hari," katanya.
Sementara itu, Aril berkata, dia tidak membenarkan isterinya menceburi bidang seni selepas berhenti daripada kerjaya pramugari itu nanti.
Katanya, jadual sebagai selebriti yang tidak menentu akan menyukarkan untuk membina sebuah keluarga yang sempurna.
"Dia pernah berlakon dahulu dan kawan-kawan baik dia juga ramai artis, namun saya rasa biar saya seorang sahaja jadi selebriti," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: