Wednesday, August 6, 2014

Chacha Maembong Terkejut Dituduh Kurang Ajar Kerana Baju


Chacha menafikan tuduhan buat perangai di lokasi penggambaran.
PETALING JAYA: Pelakon Chacha Maembong terkejut dituduh bersikap kurang ajar dengan menghayunkan beg tangan ke kepala pelakon lain hanya kerana tidak berpuas hati dengan baju yang terpaksa dipakai.

Chacha atau nama sebenarnya, Siti Aishah Ismail, 18, berkata, insiden sedemikian tidak pernah berlaku sepanjang kerjayanya sebagai artis.

"Cerita itu tidak benar sama sekali, saya ingin bercakap dengan pelakon lain pun ada kalanya saya malu, inikan pula sampai tergamak menghayunkan beg tangan. Saya tidak mungkin bersikap kurang ajar seperti itu.

"Saya ini jenis yang tidak pernah kisah tentang baju yang pihak produksi sediakan kerana saya yakin ia sesuai dengan watak saya. Entah daripada mana mereka dapat cerita buruk dan tidak benar ini, saya tak pasti.

"Kalau benar tuduhan saya menghayunkan beg tangan kepada seorang pelakon, saya minta individu itu bersemuka dengan saya untuk selesaikannya cara baik dan bukan melalui media,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Chacha berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gosip terbaharu apabila dia dikatakan sengaja menghayun beg tangan ke kepala seorang pelakon  kerana tidak berpuas hati dengan baju pelakon lain yang lebih cantik daripada baju yang disediakan untuknya.

Dia juga dituduh bersikap kurang sopan dan berlagak 'diva' terhadap kru produksi ketika di lokasi penggambaran.

Selain itu, ruangan pojok sebuah akhbar mingguan pada 27 Julai lalu turut melaporkan Chacha pernah menyalahkan orang lain kerana kecuaiannya menyebabkan telefon bimbit miliknya hilang.
"Saya kecewa bila gosip itu keluar sehari sebelum raya hingga merosakkan kegembiraan menyambut raya. Saya rapat dengan semua kru produksi drama dan tidak pernah meletakkan taraf berbeza dengan mereka.

"Berkenaan kejadian kehilangan telefon itu pun tidak pernah berlaku kerana saya masih pakai telefon saya yang lama, itu semua fitnah semata-mata," katanya.

Dalam pada itu, Chacha tidak menolak kemungkinan ada pihak yang tidak berpuas hati dan cuba mengambil kesempatan memburukkan namanya atas sebab-sebab tertentu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: