Thursday, August 7, 2014

Manusia purba 6,500 tahun ditemui di muzium



MUZIUM UNIVERSITI PENNSYLVANIA
BENTUK rangka tulang manusia purba itu


PHILADELPHIA - Sebuah muzium arkeologi di Amerika Syarikat (AS) menemui semula satu rangka manusia purba berusia 6,500 tahun yang berada di dalam sebuah bilik sejak beberapa dekad lalu.
Pengumuman mengenainya dibuat oleh pihak pengurusan muzium tersebut, Muzium Universiti Pennsylvania Penn di sini kelmarin.
"Rangka manusia yang masih sempurna itu ditemui di kota purba Ur, selatan Iraq (kini bandar Nasiriyah) pada tahun 1930 dan disimpan di dalam sebuah kotak yang menyerupai keranda" menurut kenyataan muzium berkenaan.
Pengurus projek Muzium Universiti Pennsylvania Penn, William Hafford berkata, beliau sedang menyemak senarai artifak ekskavasi berkenaan apabila mendapati terdapat satu rangka manusia di dalam sebuah bilik di muzium berkenaan.
Hafford kemudian menghubungi ketua kurator muzium itu, Janet Monge yang mengesahkan terdapat satu rangka manusia tidak berlabel di dalam bilik simpanan bawah tanah bangunan tersebut.
"Kami menemui dan membuka kotak itu, ternyata ia menyimpan rangka manusia seperti yang dinyatakan dalam inventori tersebut," kata Hafford.
Menurutnya, rangka itu adalah milik seorang lelaki sasa berusia 50 tahun dengan ketinggian 1.75 meter.
"Rangka manusia sempurna dari era tersebut yang dikenali sebagai Zaman Ubaid (5,500 hingga 4,000 tahun Sebelum Masihi) amat jarang ditemui antara lain kerana keadaan tanah di rantau berkenaan menyebabkan mayat cepat mereput," jelas Monge.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: